BABAD 22

68 15 7
                                    

Perihal kejadian yang hampir membuatkan Tuan Andrios ditimpa kecelakaan menyebar dengan cepat dalam kalangan para petinggi istana Darmenta.

Para bangsawan yang berdiri di belakang Putera Amadeus sudah tidak senang duduk sementara mereka yang memihak kepada Keluarga Ares menunggu pagi menjelang dengan pelbagai kemungkinan yang kebanyakannya merupakan kemungkinan yang menyenangkan demi membayangkan bahawa peristiwa tersebut akan membuatkan rancangan mereka untuk memakzulkan putera mahkota Kerajaan Darmenta akan berjaya.

Sudah menjadi tradisi dan undang-undang kerajaan sesiapa sahaja yang didapati bersalah dengan kesalahan mendatangkan kecederaan kepada mana-mana pembesar akan berakibat dengan hukuman mati.

Rakyat apatahkan lagi.Mereka merupakan sasaran empuk para bangsawan yang hanya mementingkan kesenangan dan kekayaan masing-masing.

Matahari belum terbit dan embun masih bergayutan pada hujung rumput ketika dua orang pengawal dari Balai Temenggung mengheret sebuah tandu yang bertutup dengan tikar jerami.Seorang menarik di hadapan manakala seorang lagi menolak tandu yang kedengaran berkeriut-keriut petanda membawa beban yang sedikit berat.

Dua tiga orang peniaga yang paling awal lalu-lalang di hadapan pagar istana segera menepi lalu berbisik sesama sendiri.Diiringi oleh seorang yang berzirah lengkap dengan tombak petanda tiga lelaki tersebut merupakan anggota dari pasukan keselamatan istana.Mereka menarik tandu dengan senyap dan tidak ingin meladeni bisik-bisik hairan para penduduk pekan.

Ketika mereka melihat gudukan di bawah timbunan jerami,serta-merta mereka tergamam.Sepuluh ruas jari kaki berkasut jalinan jerami terjulur pucat!

Senyap seakan menjaga cerita sebenar daripada terlepas ke pengetahuan luar,kedua-dua lelaki tersebut tidak memperdulikan orang yang berbisik dan memandang mereka dengan hairan bercampur gerun.

Walaupun tahu sedikit sebanyak akan hal sebenar,bukan tugas mereka untuk menerangkan kepada orang ramai.Diarahkan untuk menghantarkan mayat para pesalah yang dijatuhi hukuman mati ke Gerbang Barat,sekadar itu sahajalah tugas mereka.

Mayat pesalah ditinggalkan sehingga tiga hari,sekiranya tidak ada ahli keluarga yang menuntut maka mayat para pesalah tersebut akan dikuburkan seadanya sahaja.Tidak ada tanda dan tanpa ritual adat setempat.

Namun dalam kebanyakan kes,terlalu sedikit waris yang berani datang menuntut mayat ahli keluarga masing-masing apatah lagi jika ia melibatkan kesalahan jenayah yang serius.Dapat-dapat hal akan menjadi semakin besar kerana bukan tidak pernah berlaku ahli waris yang datang menuntut mayat keluarga mereka menerima tempias yang sama.

Ketika menerima arahan untuk menghantarkan mayat ke Gerbang Barat,kedua-dua anggota Balai Temenggung tersebut tidak berani mengatakan apa-apa.
Apatah lagi jika banduan yang dijatuhi hukuman itu dihukum kerana kesalahan cuba untuk mencederakan orang penting kerajaan.

Melihat kematian para banduan dalam tahanan merupakan hal biasa kepada mereka.Tidak tahan menjalani proses soal siasat yang mengerikan lalu mengambil keputusan untuk mengakhiri hidup masing-masing dengan menggantung diri antara alasan yang selalu didengari.

Walaupun Balai Temenggung sedikit kecoh dengan kejadian dua banduan dalam tahanan mereka meninggal dunia tanpa sebab yang jelas,sesiapa pun tahu ia bukan semudah itu.Dua orang pesalah yang dipenjarakan kerana hampir membuatkan Tuan Andrios buta lalu dua hari berselang kedua-duanya didapati meninggal dunia kerana keracunan.

Mendiamkan diri walaupun tahu perkara sebenar yang berlaku merupakan sebahagian daripada sisi gelap Balai Temenggung yang sangat menakutkan.

Terang lagikan bersuluh demi mengetahui siapa Tuan Andrios dalam kalangan para bangsawan istana Darmenta.Tersilap kata boleh membawa akibat buruk kepada seluruh keluarga.Sehingga demikian besarnya cengkaman keluarga tersebut kepada seluruh Kerajaan Darmenta.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now