BABAD 23

76 11 3
                                    

Panglima Agean dalam balutan pakaian kapas dan selipar jerami juga rambut yang tidak kemas mendatangi pondok di kawasan berbukit Gerbang Barat istana kota sebaik sahaja dia melihat tiga orang pengawa Balai Temenggung yang ditugaskan untuk menghantar mayat pesalah tersebut kembali semula dengan menolak pedati beroda dua yang sudah kosong.

Sesuai dengan perintah Putera Amadeus,segala pergerakan di Balai Temenggung diperhatikan dengan penuh saksama dan dilaporkan terus kepada sang putera mahkota .Sepanjang malam mereka berada di situ namun menjelang siang,Putera Amadeus terpaksa kembali semula ke istana kerana menghadiri majlis jamuan pagi bersama para pembesar dan tetamu kehormat kerajaan yang datang ke ibu kota bagi meraikan sambutan hari keputeraan Putera Ardius semalam.

Sepincing mata pun Putera Amadeus tidak melelapkan mata walaupun atap genting Balai Temenggung boleh yang boleh menampung berat mereka berdua itu agak selesa untuk berbaring di atasnya terutama sekali jika hujan tidak turun.Bukan tidak pernah putera mahkota tersebut tidur di tempat sebegitu jika hatinya sedang ingin untuk melelapkan mata berbumbungkan langit yang terbuka.

Tetapi,khabar yang sampai ke pengetahuannya itu benar-benar meresahkan dan Panglima Agean tahu hal tersebut tidak akan dibiarkan begitu sahaja.Dua adik beradik malang tersebut yang hanya datang ke ibu kota atas perintah Putera Amadeus bertembung dengan satu kejadian yang sangat tidak menguntungkan dan kesan daripada hal tersebut berakhir dengan mereka berdua dijatuhi hukuman mati !

Dengan kecekapan yang sudah dilatih bertahun-tahun dan ditambah pula dengan Putera Amadeus yang selalu menyelinap keluar daripada istana dan ia bermakna dia juga terpaksa mengikuti sang majikan,tidak sukar untuknya mendaki gerbang tinggi di sebelah Barat istana kota itu.Panglima Agean tahu waktu begini merupakan masa yang sesuai untuk menyelinap kerana para pengawal yang bertugas mengawal gerbang tersebut sedang melakukan rutin pertukaran tugas di pondok pengawal .

Sebaik sahaja kakinya kembali menapak ke atas permukaan tanah yan dilitupi daun-daun kering,Panglima Agean berlari pantas ke arah pondok tidak berdinding di hadapan sana.Sebagaimana arahan yang diterimanya,dia perlu membawa dua beradik tersebut keluar dari ibu kota dengan kadar segera sebelum segala-galanya menjadi tidak terkawal lagi.

Namun ketika dia sampai ke pondok tersebut,pangkin lusuh yang dijadikan tempat untuk menyimpan mayat pesalah jelas kosong.Tidak ada apa-apa di situ melainkan ranting kayu dan daun kering yang berguguran dari pohon.

+             +            +

Lelaki tua dengan janggut hampir mencecah perut itu mengeluarkan isi beg kulit yang disandangnya ke bahu.Menggunakan bilah cahaya yang menerobos masuk daripada lubang rekahan gua,dia melabuhkan duduknya ke atas bonggolan batu yang lembap dan berlumut lalu nafasnya yang mengah dihela seketika .Gelap.Basah dan berbau dengan bunyi air menitik perlahan ke atas permukaan batu.

Tidak memperdulikan keadaan begitu ,helaian papirus yang dijilid semberono segera diterawang di bawah bilah cahaya matahari dan serta-merta kepalanya seakan-akan ditimpa langit-langit gua.

Demi apa pun! Deretan aksara yang disusunnya sendiri itu sudah lenyap menyisakan hanya helaian kertas yang lusuh dan kekuningan.

Kosong!

Matanya terbeliak nanar.Apakah kehilangan catatan di dalam lembaran kertas itu membawa maksud bahawa semuanya telah berubah? Diakah yang mengubahnya??

+              +             +

Naiya senyap tetapi tidak dapat menyembunyikan air mata yang mengalir perlahan menuruni lurah pipinya.Perkhabaran yang dibawa oleh Tarsus benar-benar meluluhkan hati dan semangatnya.Betapakan tidak.Anak yang dikandung sembilan bulan dikhabarkan telah meninggal dunia kerana melakukan kesalahan sehingga membawa hukuman mengerikan begitu.Kaii dan Athreyu bukanlah tipikal anak yang suka ingkar kata apatah lagi melakukan kesalahan yang dianggap satu bentuk jenayah dalam sistem perundangan Kerajaan Darmenta.

Seperti kata Tarsus,mereka berdua bukanlah anak yang tidak beribu berbapa untuk dibiarkan tergeletak di kawasan pergunungan Gerbang Barat istana kota.Mengenangkan betapa sejuknya suhu ketika hari menjelang malam ataupun bagaimana akan ada haiwan pemangsa mendatangi tempat tersebut lalu...

Serkupan cahaya kekuningan menyentuh sehingga ke penjuru bilik di mana susuk sang suami sedang duduk bersila .Wajah lelaki itu tegang dan tidak ada sepatah pun perkataan yang didengarinya sejak Tarsus meninggalkan mereka dan hal tersebut menakutkan Naiya.

Bukan kelaziman suaminya membuka peti kayu bermangga tembaga itu.Sangat jarang kerana isi peti tersebut mengingatkannya kepada tragedi yang telah menimpa mereka sekeluarga belasan tahun silam.

Kenangan yang melabelkan mereka berdua sebagai pengkhianat negara dan masih hidup sehingga kini merupakan suatu bentuk keberuntungan.Dahulu siapa yang tidak mengenali Panglima Argeia.Jeneral perang ayam tambatan Kerajaan Darmenta yang tidak pernah kalah dalam mana-mana peperangan menentang para penjarah gasar yang kerap mencerobohi sempadan .

Tetapi,hanya kerana dia menolak keras rancangan para bangsawan yang didalangi oleh Keluarga Ares untuk memakzulkan Permaisuri Adhreya dia terbuang.Hilang nama baik,hilang gelaran,hilang kekuasaan dan hilang harta benda.Lama sekali mereka hidup dalam buangan dan baru dua tiga tahun kebelakangan ini barulah mereka kembali ke Permukiman Lemuria.Hidup sebagai pandai besi di hujung kampung.

Segala kata yang ingin diluahkan Naiya termengkelan begitu sahaja.Riak tegas wajah lelaki itu semakin jelas apabila rambut panjangnya disanggul tinggi di atas ubun-ubun sesuai tataan rasmi para bangsawan dan petinggi kerajaan.Ketika bahunya yang jelas masih tegap dan padat kembali direngkuh oleh pakaian yang membawa kuasa bagi membolehkan dia mengerahkan ribuan orang tentera,sinar mata tegas malahan jambang rapi pada bingkai dagu kembali menyeruak aura seorang panglima yang tidak gentar kepada pihak musuh.

Otot pada pipinya menggelinjang tatkala dia mengetap gigi sebaik sahaja ruas jarinya menyentuh hulu pedang .Pedang yang pernah memenggal kepala musuh dan menjadi peneman setianya dalam setiap peperangan yang diketuainya.

Sehingga pagi kedua-dua suami isteri itu tidak dapat melelapkan mata dan sesekali sengguk tangis perlahan Naiya mengisi keheningan malam.Ketika hari masih terang tanah,Argeia sudah memacu kudanya bersama pedati menuju ke ibu kota sementara Naiya dengan mata yang membengkak hanya mampu menghantar pemergian sang suami dengan rasa hati yang sangat tidak nyaman.

Walaupun istana menjadi tujuan Argeia bergegas ke ibu kota tetapi dia tidak terus menuju ke Gerbang Barat tetapi sebaliknya melencongkan pacuan kudanya yang menarik pedati kosong itu ke satu tempat.Dia kadang kala terpaksa turun dari atas kuda tunggangannya ketika tanah sedikit tinggi dan mendaki,dia tahu jalan tersebut merupakan jalan pintas menuju ke pondok tersebut.Sebagai salah seorang daripada jeneral perang Darmenta,setiap ceruk dan lorong kawasan dalam dan sekitar ibu kota dia hafal di luar kepala.

Sebaik sahaja telinganya menangkap bunyi air terjun yang menderu-deru ,dia segera turun dari atas pelana dan menambat kudanya lalu kembali meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki.Melihat atap pondok daripada jerami dan ditindih menggunakan kepingan genting nun di atas sana,langkahan kakinya semakin besar dan tanpa sedar dia berlari anak.

"Tuanku.." Argeia melutut dengan meletakkan tangan kanannya pada lutut sementara lutut kiri mencecah permukaan tanah." Terima hormat patik Permaisuri Adhreya.."

Wanita berwajah lembut itu segera menoleh dan riak wajahnya pantas berubah demi melihatkan susuk tubuh berbalut pakaian kebesaran istana dan lengkap menyandang pedang pada belakangnya.

" Panglima Argeia." Ujarnya perlahan
" Ada apa?"

Permaisuri Adhreya pantas meletakkan belanga tanah liat yang dipegangnya lalu menghampiri lelaki tersebut.Dia tahu kunjungan bekas jeneral perang kerajaan tersebut pasti membawa khabar yang tidak menyenangkan.Tangannya menggeletar dengan hebat ketika melihat lipatan sehelai kain sutera berwana kekuningan dengan tekat benang merah tua yang dihulur kepadanya.

" Patik akan menerima apa sahaja hukuman daripada tuanku permaisuri kerana gagal melindungi puteri mahkota!"

+             +               +

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now