BABAD 25

73 14 3
                                    

Sepertinya Tuhan menciptakan tempat tersebut untuk bersembunyi, sekali pandang pasti tidak akan ada yang menyangka bahawa wujud warga yang punya nyali cukup besar untuk tinggal di situ.

Kerana untuk sampai ke tempat tersebut perlu melalui kawasan berbukit yang berceranggah dan keadaan hutan yang sama sahaja di mana-mana pasti akan membuatkan sesiapa yang tidak arif dengan kawasan tersebut akan mudah sesat.

Namun ketika berdiri di atas puncak rabung terakhir yang sempit,terbentanglah pemandangan sebuah perdesaan subur yang menganjur sepanjang lembah dengan sebatang sungai mengalir deras di antara bonggolan batu.

Dikelilingi oleh ceranggah bukit batu kapur dan air terjun di sebelah utara, kawasan terpencil tersebut tidak ubah seperti sebuah dunia yang tidak pernah disentuh ketamadunan luar.

Dihuni hanya kira-kira 20  buah keluarga,mereka sedikit sebanyak masih kerabat dan saling bertetangga.Mengusahakan tanaman dan penternakan untuk memenuhi keperluan harian sesama sendiri dan sesekali akan berangkat ke pekan berhampiran untuk mendapatkan barang keperluan yang tidak didapati di kawasan perkampungan tersebut.

Pondok yang menjadi kediaman para warga dengan beratapkan jerami dan berdinding tanah liat, bertiang rendah dengan beranda-beranda tidak berdinding, halaman bersih lalu ada pula pagar-pagar dari potongan kayu bulat yang memisahkan antara kawasan rumah dengan ladang kepunyaan masing-masing.

Ketika sebuah pedati ditarik terhuyung-hayang menuruni jalan yang berbatu, setiap warga perdesaan tersebut hampir serentak menoleh. Bahkan sehingga ada yang melepaskan cangkul di tangan lalu bergerak menghampiri susuk berselubung tersebut dengan penuh tanda tanya.

Bukan selalu lelaki tersebut membawa seseorang untuk mendatangi tempat tersebut apatah lagi mereka yang tidak dikenali.Perdesaan tersebut sememangnya tempat yang sesuai untuk menyembunyikan diri dan kewujudan mereka perlu dirahsiakan daripada pengetahuan sesiapa terutama sekali daripada golongan bangsawan kerajaan Darmenta.

Kerana mereka telah disingkirkan dengan kejam hanya semata-mata mereka mampu mentafsir khabar yang dibawa oleh gugus bintang di dada langit !

Dengan mengah dan peluh yang menitis menuruni cerun dagu,pasti kudrat lelaki tersebut tidak mampu menandingi beban berat yang dimuatkan ke dalam pedati beroda dua yang ditolaknya dengan penuh susah payah itu.

Satu gudukan yang berselubung timbunan jerami itu segera menjadi pusat perhatian para warga yang pantas menghampiri pedati tersebut dengan penuh tanda tanya tetapi kemudian menepi apabila seorang lelaki mendatangi pedati itu .

" Neleus.." ujarnya kepada si pembawa pedati yang masih mengap-mengap mengumpul tenaga" Ada apa?"

" Bawa mereka masuk.."

" Siapa .."

" Orakulus Agung.."

Disebabkan bilah-bilah perkataan tersebut bukan sesuatu yang asing kepada mereka,jawapan daripada Neleus serta-merta membuatkan kawasan halaman pondok tersebut mendadak riuh dengan bisikan dan percakapan yang bercampu aduk butir bicaranya.

Mereka,antara galur terakhir keturunan suku Marais tahu benar apa yang dimaksudkan Neleus.Walaupun mereka memiliki kemampuan menerawang khabar yang di bawa oleh rasi dan bintang-bintang,mereka tahu tidak ada sesiapa yang akan dapat menandingi Orakulus Agung bahkan susuk tersebut merupakan susuk yang sangat ditunggu-tunggu oleh mereka.

Orakulus Agung .Susuk yang akan membersihkan nama dan kembali menempatkan suku Marais di tempat yang sepatutnya!

Hanya dengan sedikit anggukan,dua tiga orang pemuda yang bersusuk tegap segera mendatangi pedati tersebut dan meletakkan timbunan jerami ke tepi . Suara-suara hairan senyap ketika dua susuk tubuh yang kaku diangkat daripada pedati lalu dibawa ke dalam pondok . Tikar dibentangkan dan dua susuk tubuh tersebut segera dibaringkan di situ.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now