BABAD 28

97 17 8
                                    

Kaii sehingga tercengang tidak tahu hendak memberikan respon yang bagaimana ketika semua penduduk di kawasan permukiman tersebut tunduk hormat kepadanya hatta daripada mereka yang berusia sekalipun.Dia bukan siapa-siapa untuk menerima penghormatan besar sedemikian rupa.Sepertinya kejadian dia dijatuhkan hukuman bunuh itu masih belum merupakan perkara paling buruk yang berlaku kepadanya.

" Tidak." Kaii cepat-cepat memapah seorang lelaki yang paling berusia dalam kalangan warga di situ yang tampak sukar untuk membengkokkan lututnya untuk tunduk hormat " Saya bukanlah orang yang kalian sebutkan.Saya cuma berada di tempat dan waktu yang salah."

Aduhai..bagaimana mungin dia hendak menerangkan segalanya kepada mereka semua bahawa dia bukanlah orang yang mereka nanti-nantikan selama ini? Dia hanyalah seseorang yang telah berputus-asa dan mengambil keputusan untuk menamatkan hidupnya sendiri tetapi entah bagaimana dia boleh terdampar ke dunia itu merupakan suatu perkara yang tidak akan mampu dijelaskan sampai bila-bila.Bahawa dia mengetahui perkara yang akan berlaku kerana dia pernah membacanya dalam sebuah buku?

Hanya sahaja Kaii tahu bahawa jalan cerita Babad Saribu Bhyangkara tidak akan pernah sama lagi seperti apa yang pernah dibacanya sejak kejadian dia menyelamatkan Putera Amadeus tempoh hari!Dia sedar dia telah merosakkan jalan cerita asal Babad Saribu Bhyangkara dan kini segala-galanya semakin tidak terkawal lagi.

Bukan tidak pernah Kaii melakukan eksperimen tidak masuk akal bagi membuktikan bahawa dia tidak akan terkesan dan memberikan impak kepada jalan cerita tersebut.Kejadian dia meneguk sahaja cairan hitam likat tersebut tanpa banyak soal walaupun dia tahu ia merupakan cairan beracun senjata penghukum atas kesalahan yang telah dilakukannya salah satu daripadanya.

Sangkanya bahawa jalan cerita akan ditetapkan semula selepas dia menyedari bahawa jalan cerita tersebut sudah berubah meleset sama sekali.Rasa panas yang menjalari kerongkongnya semakin aneh.Bercampur gatal lalu ada sakit yang merambat seluruh dadanya membuatkan dia lemah tidak berdaya.Rasa sakitnya nyata dan bukan main-main.Malahan ketika dia tumbang memuntahkan cairan darah yang bercampur  air liur pekat,sempat dia berfikir kemungkinan bahawa nyawanya akan melayang akibat keinginannya untuk membuktikan hal itu.

Namun,tahu-tahu sahaja dia sudah berada di tempat asing tersebut dan kini mendapat gelar Orakulus Agung pula.Satu gelaran yang berhak mendapatkan penghormatan daripada suku Marais sebagai seseorang yang telah dinantikan selama ini.Puncak hierarki dalam suku para penerawang bintang tersebut.

" Maafkan sekiranya kami kurang adab tetapi adik saya bukanlah orang yang tuan-tuan maksudkan." Athreyu ikut campur demi melihat wajah adiknya yang jelas-jelas kebingungan dengan kejadian tersebut malahan semakin mengerut di belakangnya.

" Tidak mengapa.Biarkan mereka berehat dulu.Kita akan bicarakan kemudian.."

 Neleus mencelah dan dengan perkataan tersebut Kaii di belakang abangnya mengangguk kecil.Dia tahu tidak ada gunanya memaksa gadis tersebut untuk menerima hal tersebut begitu sahaja.Lambat-laun masa akan membuktikan kebenarannya dan pada masa tersebut tidak ada sesiapa yang akan dapat menyangkalnya lagi hatta kepada sang tuan tubuh sendiri. 

Usai semua yang berkumpul di halaman gubuk tersebut kembali ke rumah masing-masing ataupun menyambung semula pekerjaan yang sempat tertangguh,Kaii menjengukkan kepalanya dari celah lengan Athreyu.

" Kita perlu pergi dari sini.."

Athreyu tidak menanggapi apa-apa namun dia mengiyakan kata-kata adiknya dalam senyap.Orakulus Agung? Apa sajalah itu dia tidak perduli.Yang penting baginya adalah mereka perlu pulang semula ke Permukiman Lemuria sebelum keluarganya bertambah risau.Mereka sepatutnya sudah bertolak balik semula ke permukiman sejak semalam.

Mendatangi Pekan Annara sesuai permintaan Putera Amadeus dan entah mengapa dan bagaimana mereka boleh terlibat pula dengan huru-hara tersebut.Jauh daripada itu,tidak habis fikirnya tentang bagaimana adiknya-Kaii-yang membunuh lalat pun tidak sanggup itu tiba-tiba sahaja mampu melepaskan panahan tepat dan berjaya memintas anak panah yang ditujukan kepada salah seorang daripada petinggi kerajaan itu.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now