BABAD 32

195 16 8
                                    

Seluruh pelusuk kerajaan Darmenta berduka dengan khabar kemangkatan Raja Metheus. Khabar balasungkawa yang diwar-warkan dengan pukulan genta tembaga tujuh kali berturut-turut itu cukup membuatkan setiap warga di sekitar ibu kota menghentikan apa sahaja pekerjaan yang sedang dilakukan lalu berdiri tegak. Bertafakur seketika bagi menghormati pemergian Raja Metheus.

Lalu tanpa perlu diarahkan dan masing-masing telah tahu adat resam istana,tanglung berwarna-warni yang menghiasi setiap sudut rumah-rumah tumpangan ataupun kedai biasa diturunkan.Semua dekorasi berwarna-warni di setiap pelusuk ibu kota digantikan dengan kibaran kain putih menandakan setiap warga kerajaan Darmenta sedang berada dalam keadaan berkabung. Rumah-rumah kedai ditutup serta-merta dan lorong pejalan kaki juga sunyi mendadak.

Di istana,suasana muram menyelubungi.Daripada para petinggi kerajaan sehinggalah kepada para dayang pembantu semuanya mengenakan pakaian khas berkabung yakni persalinan daripada kain kapas yang kasar dan berwarna putih. Tidak ada hiasan-hiasan khusus para dayang pembantu melainkan mengikat sanggulan rambut dengan kain pengikat berwarna sama.

Langsir-langsir istana yang selalunya merupakan helaian baldu mewah berwarna merah keemasan bertukar wajah. Bahkan panji-panji kerajaan juga dikibarkan separuh tiang sementara di setiap bucu atap istana dinaikkan panji putih.Segalanya menggambarkan seluruh istana dan rakyat jelata berdukacita atas kemangkatan Raja Metheus.

Permaisuri Aerya,Putera Amadeus dan Putera Ardius duduk sugul dengan wajah sembap menghadap jenazah Raja Metheus.Sama seperti yang lain-lain, tidak ada pakaian kebesaran istana menyarung tubuh mereka.Pakaian kapas, tidak mengenakan sebarang perhiasan dan baginda permaisuri tidak mengenakan solekan. Bau setanggi menyeruak di mana-mana dalam suasana hening.Sementara para petinggi istana berdiri tegak tetapi menundukkan kepala masing-masing.

Hari itu -tepat ketika hari kelima dalam minggu kedua musim luruh-Kerajaan Darmenta kehilangan tonggak utamanya. Raja Metheus yang selama ini mengemudikan bahtera kerajaan menghembuskan nafas yang terakhir akibat menderita sakit yang sudah lama bersarang di dalam tubuhnya.

Untuk dua hari berikutnya, istana akan mengadakan upacara khas bagi menghormati jenazah baginda. Ruang hadapan balairong seri akan dibuka bagi membolehkan para menteri dan wakil setiap jajahan memberikan penghormatan terakhir kepada baginda sebelum upacara pemakaman dilangsungkan.

Namun, sebelum upacara pemakaman bermula-detik paling penting dalam sejarah kerajaan akan dilaksanakan iaitu majlis pertabalan raja yang baru di hadapan jenazah Raja Metheus. Majlis yang akan menobatkan pemerintah baru kerajaan Darmenta. Saat paling genting bagi seluruh kerajaan.

Tuan Ares sesekali mengerling kelibat Putera Amadeus yang berdiri di sebelah kanan keranda dengan tatapan nanar. Dia tahu fasa peralihan kuasa merupakan satu detik yang amat penting dalam kesinambungan kuasa dan pengusaan Keluarga Ares ke atas istana tetapi sehingga kemangkatan Raja Metheus, rancangan mereka untuk menjatuhkan putera mahkota selalu sahaja gagal.

Entah kerana Putera Amadeus memang selalu bernasib baik ataupun ramalan Marius tentang hal tersebut mulai memperlihatkan kebenaran tetapi yang jelas dia tidak akan membiarkan putera mahkota tersebut menguasai tampuk pemerintahan. Walau apa sekalipun, kuasa pemerintahan akan tetap dipegang oleh blok keluarga mereka dan untuk itu, Putera Ardius perlu dilantik sebagai putera mahkota.

Mana mungkin dia membiarkan anak daripada permaisuri yang dimakzulkan itu menggantikan Raja Metheus?

Perlantikan Putera Amadeus sebagai raja baru kerajaan Darmenta bermaksud Keluarga Hemera telah menewaskan Keluarga Ares dalam satu pertarungan yang panjang.Dia tahu satu hal yang pasti. Dengan perlantikan tersebut, seluruh blok Keluarga Ares akan berada dalam situasi yang sangat bahaya.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now