BABAD 41

70 14 3
                                    

IMBAS SEMULA

" Kita akan culik baginda raja!"

Athreyu sememangnya tidak akan terkejut lagi jika adiknya akan mengeluarkan idea gila namun ketika Kaii mencadangkan untuk menculik Raja Metheus,air teh suam yang baru hendak menuruni rengkungnya mendadak tersembur keluar.Cadangan gila yang bakal menyebabkan tujuh keturunan mereka akan dicop sebagai pengkhianat kepada Kerajaan Darmenta itu diucapkan dengan begitu bersahaja seperti Kaii mengatakan dia hendak memesan semangkuk bubur barli sahaja.

Bahkan Ren,Enuma dan Hatra yang setakat ini dilihat Athreyu selalu menyebelahi Kaii dalam apa sahaja urusan berdasarkan kepercayaan buta bahawa adiknya merupakan Nineveh yang entah apalah maksudnya itu serentak berpandangan sesama sendiri dengan riak wajah bagaikan baru disambar kilat.Kaku dengan mata terbuntang.

" Kaii ada lagi idea yang lebih gila daripada ini?"

Gadis itu menoleh mendengarkan kata-kata sinis daripada abangnya tetapi dia buat-buat tidak tahu.Baginya cuma satu.Melengkapkan jalan cerita Babad Saribu Bhyangkara ialah satu-satunya jalan untuk dia keluar dari dunia itu.

" Bukankah kita tahu bahawa ada orang yang tidak mahukan baginda raja sembuh?"

Baiklah....Athreyu mulai menautkan kening.Langsung tidak berkenan dengan nada Kaii begitu.

" Dan kita juga tahu ada orang meracuni baginda secara senyap-senyap ?"

Enuma memandang Ren yang kebetulan memandangnya juga sementara Hatra masih terkebil-kebil.Cuba mencerna apa sebenarnya yang hendak dikatakan oleh gadis aneh tersebut.

" Kita akan menggunakan cara yang sama bagaimana Putera Amadeus menyelamatkan kami daripada hukuman Balai Temenggung tempoh hari."

Semua orang tahu bagaimana kejadian tersebut berlaku tetapi apakah ia akan berhasil untuk kali ini? Memberikan minuman campuran herba untuk melemahkan denyutan jantung sehingga jika tidak diperiksa dengan teliti oleh tabib ,semua akan menyangka orang tersebut telah meninggal dunia.

" Kaii.." Athreyu semakin tidak tahan dengan kegilaan adiknya itu menyeru dalam nada tidak berkenannya." Ada apa-apa yang abang patut tahukah?"

" Hanya dengan cara itu kita dapat menyelamatkan baginda raja.Orang-orang Keluarga Ares ada dimana-mana dan nampaknya mereka langsung tidak berniat untuk menyembuhkan tuanku."

"Persoalannya,bagaimana kita hendak menyelinap ke dalam kamar peraduan baginda?Putera Amadeus sendiri dilarang berjumpa dengan baginda dan Kaii fikir kita akan dialu-alukan dan dihidangkan teh ?"

Samar-samar ada senyuman aneh yang melintas pada dua ulas bibir Kaii membuatkan kerut kening Athreyu semakin tebal bergumpal di tengah dahi.Perasaan terkejut dengan cadangan paling gila yang diajukan Kaii itu mulai bertukar menjadi ngeri sebaik sahaja dia mulai memahami makna disebalik senyuman tersebut.

Kaii telah merancangkan semuanya dengan teliti!

*               *              *

Kaii,Athreyu dan Ren menunggu dalam kegelapan malam dengan senyap sehinggalah loceng tembaga di atas menara istana kota berbunyi bagi menandakan waktu semakin menghampiri dinihari.

Mereka sudah hafal benar rutin pertukaran pembantu yang menunggui kamar peraduan diraja.Pada waktu begitu,para pembantu akan bertukar dengan pembantu yang lain pula.Bergilir-gilir siang dan malam hanya bagi memastikan keperluan sang baginda raja dipenuhi apatah lagi dalam keadaan baginda sedang gering begitu.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now