BAB 27 | DENDAM CINTA 2

5.6K 639 209
                                    

"TANDA abang sayangkan Ris. Abang cintakan Ris."

Ah, lidah mengeras tanpa sengaja, membisukan bibir dari mengeluarkan kata. Tajam renungan Harraz membuatkan lutut Marissa melembik tanpa dia pinta. Spontan, kerusi yang ditarik oleh Harraz tadi didukinya.

Jus buah yang tersedia di atas meja disedut rakus. Entah kenapa, malam ini terasa panas meskipun angin sejuk menampar-nampar lembut kulit muka. Gugup tiba-tiba terasa antara dia dan Harraz yang masih lagi berdiri.

"What are you trying to say?" Marissa ketawa-ketawa. Kekok apabila bait ayat itu yang terluah daripada suaminya. Dalam masa yang sama juga, Marissa memarahi diri sendiri dek tewas mengawal emosinya tadi. Kenapalah dia perlu menangis? Bukan itu pilihan yang dibuat ke? Oh Marissa, memalukan!

Eh, sekejap. Tak salah pun kalau dia nak menangis kan? Mahu atau tidak, Marissa tak boleh menafikan yang Harraz masih suaminya dan lelaki itu pernah membahagiakan dia. Bukanlah sepanjang hidupnya bersama dengan lelaki itu, kekurangan Harraz yang sering dilihat.

Sekurang-kurangnya, dia masih ada perasaan. Rasa sebak tu tetap ada. Yalah, tak lama lagi mereka akan berpisah. Salah, bukan tak lama lagi, tapi sekejap je lagi ikatan perkahwinan ini akan terlerai. Jadi, setakat menangis itu perkara biasa. Sedikit sebanyak, rasa sedih itu tetap menghuni ruang hati. Jangan ingat dia melalak tadi sebab tak sanggup nak berpisah. Eh, silap besar tu!

Kata orang, hati wanita ini ibarat kerak nasi. Kerak nasi kalau dicurah air lama-lama lembut juga. Macam tu jugalah dengan hati perempuan. Kalau kena dengan cara pujuknya, lembut juga hatinya nanti. Tapi pepatah itu ditujukan buat wanita lain. Marissa? Jangan haraplah dia nak terima balik! Dan Marissa yakin, keputusan untuk berpisah ini adalah sebaik-baik keputusan yang dia buat.

"Abang cakap yang abang sayang Ris, cintakan Ris." Harraz menarik kerusi lalu duduk di sebelah Marissa. Matanya tunak merenung si bunga yang kekal diam tak berkutik. Salah ke apa yang dia cakap? Kenapa reaksi Marissa seolah-olah tidak selesa apabila dia berkata begitu?

"Kelakarlah awak ni," gelaknya lagi. Jus buah disedut sampai habis, mengusir rasa kurang enak yang melilit hati. Jujur, kalau dulu dia bangga apabila Harraz menzahirkan rasa cintanya. Tapi kalau tanya apa yang Marissa rasa sekarang tatkala mendengar luahan Harraz, dia rasa kosong.

"Abang serius. Abang masih sayangkan Ris." Harraz duduk tegak seraya tangannya meliar mencari jemari Marissa. Tekadnya, Marissa akan cuba dipujuk habis-habisan. Hati isterinya akan ditawan selagi talak itu belum dilafazkan. Mana tahu, Marissa terbuka hati mahu menerimanya malam ini.

Mati tawa kepuraan-puraan Marissa. Liurnya diteguk kesat. Rasa macam nak lari pun ada ni. Sumpah, dia betul-betul rasa tak selesa. Marissa ingatkan Harraz dah boleh terima yang mereka takkan lagi bersama. Ini tidak. Kenapa mesti ayat keramat tu yang perlu dia dengar lagi?

"Saya rasa awak lupa ni, Harraz. Awak tak ingat ke hari ni hari apa? Hari ni ulang tahun perkahwinan kita tau. Bermakna, antara saya dengan awak dah tak ada apa-apa lagi seperti yang kita janjikan. Tolonglah, bukan ini yang saya nak dengar daripada awak." Marissa merungut diselangi keluhan berat.

Harraz tak sepatutnya membuka topik ini. Jujur, dia sudah memaafkan lelaki itu. Dia terima Harraz sebagai kawan bukan lagi seorang suami. Tiada istilah sayang dan cinta antara mereka.

"Selagi abang tak lafazkan talak ke atas Ris, Marissa Jasmine masih isteri abang." Harraz tak kurangnya pula. Ditekankan perkataan isteri itu selagi boleh. Itu saja senjata yang dia ada. Kuasa veto sebagai suami digunakan tanpa rasa bersalah.

Apa lagi, naik beranglah Marissa jadinya. Tapi disabarkan sang hati. Jangan bertindak melulu, jangan ikutkan sangat bisikan emosi. Lalu, senyuman dibuat-buat diukir.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [OG]Where stories live. Discover now