BAB 32 | DENDAM CINTA 2

4.6K 381 122
                                    

     "KALAU awak setuju, saya akan uruskan soal rawatan pembedahan tu nanti." Sambil berkata, Adam mencatit sesuatu di atas sehelai kertas. Apabila tiada balasan daripada Marissa, lekas kepalanya dipanggung. Bergerak-gerak bebola mata memerhati wajah Marissa.

"Jasmine, are you okay?" Hujung mata pen diketuk perlahan di atas tangan Marissa, sekali gus mengembalikan dunia Marissa ke alam nyata. Terkebil-kebil wanita itu memandang Adam.

Keluhan lemah Marissa mengundang tanda tanya. Tak senang hati Adam melihat muka keruh Marissa. Seolah-olah wanita itu sedang menanggung satu beban berat.

"Tell me what's wrong. I can help." Bukan niat mahu masuk campur urusan Marissa, tapi Adam berasa bertanggungjawab terhadap wanita itu. Kut-kut Marissa masih risau akan pembedahan yang bakal dijalankan, jadi bolehlah Adam memberi sedikit nasihat. Bukan Marissa seorang saja yang sering dilanda kegelisan setiap kali urusan pembedahan dibincangkan, tapi pesakit lain juga turut merasai perasaan yang sama.

Takut. Gelisah. Semua itu perkara biasa.

"Tolong saya bunuh orang, boleh?"

Mata Adam membulat tidak percaya. Apatah lagi reaksi di wajah Marissa kelihatan serius, seakan memaksudkan apa yang baru dituturkan tadi. Buat pertama kali, peluh dingin membasahi dahi Adam. Profesionnya adalah sebagai seorang doktor yang merawat pesakit. Bukan penjenayah yang mengambil upah untuk merenggut satu nyawa.

Sambil berfikir kewarasan Marissa, benak Adam tak berhenti tertanya-tanya. Siapa agaknya gerangan yang berjaya merabakkan hati wanita itu sehinggakan Marissa mengambil keputusan untuk bertindak di luar kewarasan akalnya sendiri?

Harraz? Boleh jadi itulah jawapan yang Adam sendiri cari. Mungkin Harraz memaksa Marissa untuk kembali ke pangkuannya? Bukan Adam tak kenal fiil Marissa macam mana. Wanita itu jenis yang tak suka dipaksa.

"Hahaha!"

Tak semena-mena, gelak besar Marissa memenuhi ruang. Hampir kejang rahangnya menahan tawa tatkala senario yang direka membuatkan air wajah Adam berubah mendadak. Riak risau dan terkejut jelas terpancar di wajah kacak itu.

Adam pula terkejip-kejip.

"Aduh-aduh sakit perut saya!"

"Adam! Janganlah ambil serius sangat dengan apa yang saya cakap tadi." Tubir mata diseka lembut. Bahu masih terhinggut-hinggut dek sisa tawa. Belum pernah Marissa lihat Adam seserius ini. Niatnya cuma mahu bergurau. Tak sangka pula Adam anggap dia betul-betul mahu membunuh orang.

Baru sekarang Adam dapat tarik nafas lega. Hampir luruh jantung dibuatnya. Tahulah dia yang kata-kata Marissa tadi sekadar bermain di bibir, bukan datang dari hati.

"Awak buat saya terkejut, Jasmine." Tergeleng-geleng kepala Adam. Mata dipincilkan melihat sengih yang bergayutan di bibir Marissa.

"Awak ni pun, takkanlah saya nak bunuh orang pula? Hisy, minta simpang!" Jari telunjuk digawangkan ke kiri kanan. Bibir dicebik seraya mata menjeling Adam yang sedang bersandar tenang pada tempat duduknya. Pakaian lelaki itu diteliti dari kepala hinggalah separa pinggang. Lengkap dengan scrubs bewarna biru.

Tubuh Adam bergerak ke depan, rapat ke tubir meja. Matanya redup merenung wajah Marissa.

"Manalah tahu sebab awak sakit hati sangat, awak pilih jalan pendek macam tu." Senyuman yang bergarit di tepi bibir makin melebar saat Marissa mentalakan penumbuk di depan matanya.

"Kalau saya sakit hati, awak orang pertama yang saya bunuh." Marissa membidas. Terkumat-kamit mulutnya memarahi kelancangan mulut Adam. Tapi Marissa tahu, Adam cuma bergurau. Dan kerana itu, Marissa tak ambil hati. Dia pun kadang-kadang bercakap tak bertapis juga.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [OG]Where stories live. Discover now