BAB 34 | DENDAM CINTA 2

4.3K 400 68
                                    

     DEE berlari-lari anak menuju ke arah dewan bedah. Nampak saja susuk tubuh Aini, lariannya dipercepatkan.

"Aini!" laungnya separa kuat. Serentak itu juga, keluarga Marissa dan keluarga mentuanya menoleh. Aini lekas berdiri lalu mendapatkan tubuh Dee.

"Dee... Ya Allah rindunya aku kat kau." Tubuh Dee dipeluk kemas. Aini menangis perlahan.

"Kau sihat, Aini?" Memerah wajah Dee. Sungguh dia rindu pada temannya ini. Hampir dua tahun mereka tidak bertemu.

"Aku sihat." Aini angguk sambil menyeka air mata. Tangan Dee digenggam ketat.

"Marissa baru masuk ke?" Dee menoleh sekilas ke arah dewan bedah.

"Adalah dalam setengah jam macam tu. Kau sorang je ke, Dee? Damian mana?" Tercari-cari Aini keberadaan suami Dee. Takkan Dee saja yang datang? Ke mana pula Damian pergi? Takkan lelaki itu tak pulang sekali ke Malaysia?

"Damian pergi ambil botol susu Daiyan sekejap."

Aini senyum nipis. Sesekali, dia menjeling ke satu arah di mana mata Dee asyik meliar. Mengerti dengan renungan sayu si teman, tangan naik mengusap perlahan bahu wanita itu.

"Pergilah jumpa mak mentua kau." Aini membisik.

Dee menghempas nafas berat. Dia belum sepenuhnya bersedia. Namun untuk mengelak lagi, dia tak mampu. Realitinya, dia tetap perlu berdepan dengan ibu mentuanya sama ada lambat atau cepat.

"Takpe, pergi aje. Ambil hati dia." Aini mengangguk, menabur semangat untuk Dee.

Dee menyedut udara buat beberapa saat. Lalu dengan langkah yang berat, Dee menapak ke arah Datin Kalsom. Dia senyum sekilas pada Datin Syarifah yang turut memandangnya. Lega sikit sang hati apabila senyumannya dibalas mesra.

"Mama..." Tubuh dibongkokkan sedikit. Tangan dihulur mahu menyalam si ibu mentua. Hujung bibir digigit apabila hulurannya dibiarkan tidak bersambut. Terasa hati, namun cepat-cepat Dee menyingkirkan perasaan itu. Dengan rasa remuk, Dee menarik kembali huluran tangannya.

"Mama sihat?" Cuba diambil hati Datin Kalsom. Meskipun Dee tahu, wanita berusia itu tidak akan termakan dengan 'lakonan' yang dibuatnya.

Ya, memang selama ini dia dianggap pelakon. Pelakon yang dimainkan watak untuk menghuru-harakan keluarga ini. Itulah yang selalu Datin Kalsom beritahu kepadanya. Dee tak ubah seperti parasit yang makan perumahnya. Sampai begitu sekali Datin Kalsom tidak menyukai menantunya ini.

Cuma hujung mata saja Datin Kalsom memandang menantunya. Langsung tidak dipalingkan wajah bahkan mendongak untuk bertentang mata pun dia tidak sudi. Dia cukup benci dengan menantunya yang sorang ini. Langsung tidak berkenan di hati. Sebab itu selama ini dia cuma anggap Marissa saja menantunya. Walhal, Datin Kalsom lupa. Dia juga mempunyai seorang lagi anak lelaki yang sudah berkahwin.

"Kau buat apa kat sini? Datang sebab nak porak perandakan rumah tangga Harraz? Tak payah, dia orang dah bercerai!" Naik seoktaf nada Datin Kalsom. Bengis wajahnya menikam muka si menantu. Hujung bibirnya mengherot, tanda dia cukup menyampah.

Air wajah Dee berubah total. Malu bercampur sedih apabila ditengking begitu. Kalau dia bersama wanita itu saja tidak mengapa. Ini di depan keluarga Marissa sekali.

"Som, itu kan menantu awak juga." Datin Syarifah menggeleng kecil. Telapak tangan besannya ditepuk perlahan. Kasihan pula dia tengok muka sendu Dee. Pasti gadis itu terasa hati dengan bidasan mentuanya.

Datin Kalsom mendengus geram. Mukanya memang jelas tidak berpuas hati.

"Menantu saya hanya Marissa je, Pah. Dia ni saya tak anggap menantu langsung. Hisy, sakit hati betul tengok muka dia ni. Manusia hipokrit!" cemuh Datin Kalsom. Jelas-jelas dia bengang.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [OG]Where stories live. Discover now