Bab 1 - Pengenalan

53.3K 89 1
                                    

Bagaimana hendak aku mulakan ceritaku ini? Aku termenung seketika di verandah studio apartmentku sambil menyandarkan kedua-dua lenganku pada besi penghadang. Jariku pula mengepit kemas puntung rokok berjenama Pall Mall. Perlahan-lahan mulutku menghembus asap rokok. Kenangan-kenangan lama diputarkan kembali di dalam fikiranku. Lantas membuatkan aku tertanya-tanya, “apa yang membuatkan aku menjadi sebegini sentimental? Adakah disebabkan pertemuan pagi tadi dengan sahabat lamaku, Linda?”.

Namaku Violet, aku dilahirkan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah. Mamaku dari suku kaum Dusun, manakala Papaku pula berasal daripada Australia. Mereka berkenalan sewaktu Papa bertugas di Kuala Lumpur. Kemudiannya mereka terus berkahwin lalu dikurniakan lima orang cahaya mata. Kami berpindah ke Semenanjung sejak dari aku berumur  setahun. Sungguhpun Papa berketurunan mat saleh, namun tidak ramai di dalam adik-beradikku yang mengikuti rupa paras Papa. Mungkin hanya kakak dan abang yang berambut perang semulajadi.

Aku ini pula, hanyalah wanita biasa yang bekerja sebagai setiausaha di dalam sebuah syarikat swasta. Namun aku sangat menyukai kerjaku itu kerana sifat pekerjaanku itu yang tidak membuatkanku berkahwin dengan kerja. Habis saja waktu pejabat atau pada hujung minggu, aku bebas membuat halku sendiri. Tidak ada sesiapa yang akan menelefon atau whatsapp meminta aku untuk hadirkan diri ke pejabat. Kalau kadang-kadang balik lambat itu kira biasalah. Sedang aku asyik di dalam dunia zon selesaku sendiri, aku diingatkan kembali akan sejarah lamaku sewaktu di bangku sekolah dahulu. Dan orang yang menghidupkan semula memori yang telah lama terpendam itu ialah Linda, salah seorang kawan karibku sewaktu di sekolah berasrama penuh dahulu.

Sewaktu di sekolah berasrama penuh dahulu, aku mempunyai empat orang kawan rapat. Bagaimana rapat? Sehinggakan hampir tiada rahsia di antara kami. Dan terlalu banyak perkara-perkara gila yang dilakukan kami sewaktu di asrama.

Segalanya bermula apabila Papa ditukarkan ke Sabah. Aku memilih untuk dimasukkan ke sekolah berasrama penuh kerana aku telah selesa di Semenanjung. Aku juga tidak tahu berdialek Sabah kerana di rumah, kami hanya bercakap menggunakan bahasa yang boleh difahami Papa iaitu Bahasa Inggeris. Papa dan Mama juga tidak risau akan aku tinggal seorang diri di Semenanjung memandangkan Kakakku bekerja di Kuala Lumpur dan boleh memantauku dari masa ke semasa.

Hari pertama aku di Asrama Puteri, hanya kakakku sahaja yang menghantarku ke asrama tersebut kerana ahli keluargaku yang lain telahpun selamat tiba di Sabah. Langkahku atur satu persatu menuju ke arah Dorm Melati sambil menyandang beg galas berisi buku-buku sekolah dan alat tulis. Manakala, tangan kananku pula menjinjing duffle bag yang berisi pakaian. Hatiku berdebar-debar, aku juga tertanya-tanya bagaimana kehidupan aku di asrama ini nanti? Sudahlah keluargaku nun jauh di Sabah.

Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam Dorm Melati, aku dikejutkan dengan suara yang memanggilku.

“Hah…kau! Yang baru masuk tu cepat sikit berkumpul depan aku ni”, kakak senior tersebut meninggikan suaranya kepadaku.

Manakala seorang lagi rakannya menolak aku beratur bersebelahan dengan penghuni-penghuni Dorm Melati yang lain. Perasaanku bercampur baur, takut ada, gemuruh pun ada. Jantungku rancak berdebar-debar. Sebelum aku memohon untuk memasuki asrama, aku mendapat maklumat yang tidak ada lagi amalan buli di dalam asrama tersebut.

“Korang semua tengok depan ni, jangan ada seorang pun yang pejam mata,” sekali lagi kakak senior tersebut meninggikan suaranya.

Perlahan-lahan aku mengangkat mukaku memandang ke arah suara tersebut. Terdapat dua orang kakak senior di hadapan kami, di sebelahnya pula, ada seorang gadis di dalam keadaan berbogel.

“Eh? Apa yang dah jadi ni?”, aku bertanya di dalam hati kepelikkan.

Violet [Complete]Where stories live. Discover now