Bab 2

10.3K 483 33
                                    

SIMPULAN tuala yang agak longgar di dada, Azalea kemaskan. Ikatan sanggul rambutnya yang juga melonggar ditarik dan rambutnya disanggul tinggi dengan lebih kemas. Kemudian, dia melabuhkan duduk di bangku meja solek dan merenung pantulan imejnya.

Senyuman kecil diukir untuk menghantar sedikit semangat kepada diri sendiri kerana masih bisa bangkit dan bertahan di hari yang baru. Sehinggalah senyuman itu perlahan-lahan memudar apabila lensa matanya jatuh di bahagian atas dada kirinya yang terdedah.

Jeda dia sendirian di situ. Kelopak matanya layu melihat kesan garisan sepanjang 7cm. Tangan kanannya diangkat dan jari jemarinya mula menyentuh garisan melintang yang sedikit timbul di atas kulitnya. Parut yang meninggalkan kecacatan kekal pada kulit itu.

"It's been 3 years..." Bisiknya perlahan. Matanya terpejam rapat apabila rasa ngilu dan sakit yang dirasakan waktu itu mula menghambat memori dan mencuit deria rasanya.

Ting!

Bunyi notifikasi Whatsapp yang tiba-tiba memecah sunyi bilik itu mengejutkan Azalea. Matanya terus dicelikkan. Duduknya dibangunkan dan dia menapak ke katil mengambil telefon pintarnya. Aplikasi itu dibuka lalu dibaca.

- Assalamualaikum, Lea.
- Lea boleh singgah Blooms & Bouquets sekejap?
- Mummy dah suruh Fara sediakan bunga  
   untuk daddy.

Menguntum senyumannya membaca pesanan yang diterima daripada ibu mertuanya. Laju saja jari jemarinya menekan aksara-aksara kecil di skrin.

Waalaikumsalam. Boleh, mummy -
Kejap lagi Lea singgah sana -

Selesai membalas mesej itu, Azalea menapak ke almari pakaiannya. Sehelai blouse berwarna merah jambu cair dan sehelai pleated skirt berwarna putih disarung ke tubuh. Kemudian, selendang pula dililitkan di kepala. Selesai merapikan diri, tas tangannya dicapai dan dia keluar dari bilik. Kaki dihayun ke dapur mencari ibunya.

"Lea dah nak pergi?"

Azalea mengangguk. Matanya melirik makanan yang terhidang di atas meja makan. Aroma masakan tengah hari ibunya menyucuk rongga pernafasan.

"Makan dulu, ya? Malam tadi Lea tak makan." Puan Hajar menarik tangan Azalea duduk di kerusi.

"Okey, ibu." Tak mahu mengecilkan hati Puan Hajar, Azalea akur meski seleranya tiada untuk menjamah apa-apa.

"Ambillah banyak sikit, Lea. Sikit sangat tu." Tegur Puan Hajar bersama kerutan di wajah tatkala melihat nasi yang tak sampai sesenduk disenduk oleh Azalea ke dalam pinggan.

"Cukuplah ni, ibu. Kejap lagi Lea ingat Lea nak mengaji sikit dekat daddy. Lea takut nanti kalau makan banyak-banyak Lea mengah bila mengaji." Jawab Azalea, beralasan.

Mengeluh Puan Hajar di dalam hati dengan jawapan itu. Dia tahu Azalea sengaja memberi alasan sebegitu. Namun, dia bersyukur juga kerana setidaknya Azalea mahu juga mengisi perut walau hanya sedikit. Tidaklah dia rungsing sangat memikirkan Azalea yang sering mengabaikan makan minumnya.

"Betul Lea tak nak ibu teman?"

Panggung kepala, Azalea menarik senyuman nipis bersama anggukan. "Betul, ibu. Harini biar Lea pergi sorang je. Lagipun Lea kesian dekat ibu terpaksa teman Lea berjam-jam dekat hospital."

"Ibu tak kisah. Ibu sentiasa ada untuk teman Lea ke mana-mana." Wajah Azalea yang sedang menyuap nasi itu ditenung sayu.

"Tak apa, ibu. Ibu berehat je kat rumah." Tangan kirinya menggenggam lembut tangan tua Puan Hajar.

Kerana DendamWhere stories live. Discover now