USAI mandi dan siap berpakaian, Adam menapak turun ke bawah mencari Datin Fatimah. Jam di pergelangan tangan dilirik sekilas. Sudah hampir pukul 11 pagi. Meliar bola matanya ke setiap pelusuk ruang tamu. Tiada kelibat sesiapa pun di situ. Lalu, kakinya dihayun ke dapur. Tiada sesiapa juga.
"Adam?"
Berpaling Adam ke belakang apabila mendengar namanya dipanggil. Langsung bertemu pandang dengan Bik Yanti.
"Adam nak sarapan ke?"
"Taklah. Saya cari mummy."
"Oh. Puan ada dekat taman bunga dia." Jawab Bik Yanti. "Adam nak sarapan ke? Kak Yanti boleh sediakan." Soalan yang sama diaju lagi.
"Tak apa, Kak Yanti. Saya tak rasa nak makan lagi. Nanti kalau saya nak makan saya boleh ambil sendiri." Dikerling sesaat ke arah meja makan.
"Iyalah."
Adam keluar dari dapur dan menuju ke pintu utama. Sandal disarung lalu dia terus menyusun langkah ke taman bunga Datin Fatimah yang terletak di tepi rumah. Dari jauh dia sudah melihat wanita itu sedang fokus membelek bunga orked yang tergantung. Perlahan-lahan dia menghampiri tanpa sebarang bunyi.
"Good morning, mummy." Tubuh Datin Fatimah dipeluk dari belakang.
"Astaghfirullahalazim..." Panjang harakat Datin Fatimah beristigfar gara-gara terkejut tiba-tiba dipeluk. "Terkejut mummy!" Tangan Adam yang melingkar diperutnya ditampar geram.
Tergelak Adam dengan reaksi Datin Fatimah. Pipi itu dicium sekilas sebelum pelukannya dileraikan. Bola matanya mula meneroka taman bunga mini yang penuh dengan pelbagai jenis bunga. Maklum sangat dengan hobi Datin Fatimah yang sangat sukakan bunga sehingga arwah bapanya, Dato' Maliki mencadangkan kepada mummynya untuk membuka sebuah kedai bunga. Dan dari cadangan itu Blooms & Bouquets terwujud.
Iris mata Adam beralih semula kepada Datin Fatimah. "Mummy nak keluar ke?" Atas bawah dia menilik penampilan wanita itu.
Datin Fatimah mengangguk. "Ya. Mummy nak pergi kedai tengok bunga lepas tu terus ke hospital kejap lagi. Adam nak ikut?" Lembut dia bertanya.
Terdiam Adam dengan soalan yang dituju. Faham sangat dengan tujuan Datin Fatimah ke hospital. "Tapi semalam Kak Yanti cakap mummy tak sihat. Kenapa mummy bersusah payah nak pergi hospital kalau dah tak sihat? Lebih baik mummy berehat je dekat rumah." Setapak demi setapak Adam bergerak masuk ke dalam taman bunga mini itu sambil mulutnya bercakap.
Senyuman tawar teroles di bibir Datin Fatimah. Bicara Adam itu sudah cukup buat dia mengerti yang Adam memang sengaja mahu mengelak pergi ke hospital. Langkahnya dibawa mengikut jejak Adam. Belakang badan Adam direnung.
"Mummy dah sihat bila tengok muka Adam semalam. Selama ni mummy selalu tak sihat mungkin sebab mummy terlampau rindukan Adam. Setiap masa mummy fikir sama ada mummy sempat atau tidak tengok muka Adam lagi. Mummy risau kalau mummy pergi dulu sebelum sempat jumpa Adam." Setiap bait kata itu terluah sayu.
Terhenti langkah Adam. Dengan pantas dia berpusing ke belakang. "Kenapa mummy cakap macam tu?" Agak tegang nada suaranya bertanya. Tak senang mendengar Datin Fatimah berkata begitu.
"Salah ke apa yang mummy cakap tu? Kita tak tahu bila ajal akan datang menjemput kita, kan? Tapi mummy lega dan bersyukur Allah makbulkan doa mummy. Akhirnya Adam balik juga ke sini. Sejak Adam pergi macam-macam yang berlaku. Mummy perlukan Adam..." Hujung katanya ditutur bersama suara yang bergetar.
Adam maju setapak, menghapuskan jarak antara mereka. Lalu, dia memeluk Puan Fatimah. "Adam minta maaf dah risaukan mummy. Adam salah tinggalkan mummy dekat sini tanpa khabar berita sampai hampir setahun lebih. Waktu itu Adam..."
YOU ARE READING
Kerana Dendam
RomanceAdam Hirdy | Azalea **TRIGGER WARNING** READER DISCRETION IS ADVISED. This story may be upsetting for some readers, as it explores themes of mental illness and trauma. It also includes sensitive content such as sexual assault, violence, kidnapping...