Bab 5

8.4K 500 47
                                    

BARU sahaja menghenyakkan tubuhnya ke dalam kereta, bunyi notifikasi Whatsapp tiba-tiba masuk. Lalu, pesanan itu dibuka. Sebelah tangan lagi menghidupkan enjin kereta. Merengus perlahan Adam membaca kiriman pesanan daripada mummynya, yang menyuruh dia pergi menjenguk Dato' Norman di hospital. Siap lengkap dengan maklumat wad yang menempatkan lelaki itu.

Badannya disandarkan pada kerusi. Memandang lurus ke depan kawasan parkir. Memikirkan sama ada perlu atau tidak dia mengikut suruhan Datin Fatimah itu. Dia yakin selagi dia tak jejakkan kakinya ke hospital selagi itulah Datin Fatimah akan terus mendesak.

Jam di dashboard dikerling sekilas. 6.55 petang. Boleh tahan lama juga dia bertapa di pejabat, berbincang dengan Dira tentang kerja Dato' Norman yang tak sempat dilunaskan. Teringat akan itu, fikirannya kembali terimbas bagaimana terkejutnya semua staf melihat kemunculannya tadi. Termasuklah Dira. Namun, wanita itu sempat meluahkan kelegaannya kerana dia buntu apa yang perlu dilakukan sejak ketiadaan Dato' Norman.

Menurut Dira, situasi di Solid Structures agak huru-hara. Persis yang Redza nyatakan kepadanya semalam. Dan selepas berbincang dengan Dira serta beberapa orang staf lagi, tekanan yang dia rasakan untuk mengambil tugas yang ditinggalkan Dato' Norman semakin menjadi-jadi. Kepalanya ini dari tadi tak berhenti berfikir dari mana dia harus mula dahulu. Semuanya tersangat mendadak.

Entah boleh atau tidak dia jalankan tanggungjawab sebesar ini. Sekarang, semua pekerja di Solid Structures bergantung kepada dia. Haih! Sepatutnya dia tak perlu semak kepala dengan semua ini! Ini bukan rancangannya! Sedikit sebanyak rancangan yang telah disusun sebelum balik ke sini terganggu apabila dia terpaksa kembali bekerja di syarikat ini.

Adam menghempas nafas beratnya. Gear ditolak dan pedal minyak ditekan beredar dari situ. Menuju ke hospital. Tiba di hospital, dia tidak terus ke wad. Sebaliknya dia mencari surau terlebih dahulu untuk menunaikan solat memandangkan waktu Maghrib sudah masuk.

Jam dipergelangan tangan dilirik sambil berjalan. Ada baki 30 minit lagi waktu untuk melawat. Hayunan langkahnya dilajukan. Jumpa saja wad yang dicari, pintu terus ditolak. Agak terkejut dia apabila melihat seseorang di dalam bilik itu. Sangkanya Datin Fatimah tetapi bukan.

Seorang lelaki yang dia kira lebih kurang seumuran dengannya sedang berdiri di tepi katil. Lelaki itu juga kelihatan kaget melihatnya meski dia tak dapat menilik dengan jelas wajah itu kerana terlindung dek hoodie dan topi yang ditarik agak ke bawah. Belum sempat dia bertanya, lelaki itu terlebih dahulu menghampirinya yang masih berdiri di muka pintu.

"Sorry, tersalah masuk wad."

Dan dengan begitu sahaja, lelaki itu melintasinya dan pergi dari situ. Bahunya dijungkit kecil. Malas mahu mengambil pusing. Mungkin memang benar tersalah masuk. Lantas, pintu ditutup dan dia menyusun langkah ke katil.

Adam merenung kosong laman wajah lesu tak bermaya yang sedang terbaring di depannya. Oxygen mask yang menekup di mulut itu dibetulkan sebelum dia menarik kerusi yang tersedia di tepi katil dan melabuhkan duduk di situ. Kedua tangannya dilipat silang di dadanya. Untuk beberapa ketika, dia hanya diam meneroka sekujur tubuh yang terbaring kaku itu.

"Saya merayu, tolonglah balik."

Semakin tajam renungan Adam di tubuh itu apabila gema suara wanita itu mengetuk halwa telinganya. Daripada berpeluk tubuh, dia menopang pula kedua tangannya di atas lutut bersama tubuh yang membongkok sedikit. Lurus bola matanya memandang lantai di bawah.

Kerana DendamWhere stories live. Discover now