SATU demi satu anak tangga dipijak. Sesekali belakang tangan Azalea naik menyeka peluh di dahi dan berhenti seketika dari terus memanjat tangga. Penat. Namun, dia lebih rela menanggung rasa penat ini sejak seminggu yang lalu daripada dia perlu menghadap kemungkinan terserempak dengan Adam di lif. Cukuplah sekali itu saja. Selagi ada cara untuk dia mengelak daripada Adam, selagi itulah dia akan elak.
Lagi 2 tingkat. Come on, Lea. Cepat! Dah nak dekat pukul 9!
Hatinya menjerit nyaring apabila jam pergelangan tangan dikerling. Lalu, dengan pantas dia berlari anak memijak kembali tangga demi tangga.
Dalam nafas yang senteng dan mulutnya terbuka kecil menyedut udara, lariannya memanjat tangga itu mendadak berhenti apabila sepasang matanya menangkap satu figura yang sedang berdiri sambil bersandar di dinding laluan kecemasan itu.
Dup!
Dup!
Dup!
Automatik jantungnya yang sedia laju menjadi semakin laju. Debarnya begitu menggila melihat Adam yang nampak gayanya memang sengaja menunggunya di tangga kecemasan ini.
"Penat?" Adam menjungkit kecil hujung keningnya. Menyorot ke bawah bola matanya menjelajah seluruh roman wajah Azalea yang nampak begitu terkejut itu.
Azalea menundukkan kepalanya yang terdongak tadi. Dalam kondisi yang masih termengah-mengah itu, dia cuba mengisi ruang paru-parunya dengan oksigen yang rasanya tak mencukupi gara-gara ada di ruang lingkup yang sama dengan Adam. Peluh semakin merinik di dahi.
Adam mula memijak tangga, turun mendekati Azalea perlahan-lahan. "Sanggup kau panjat tangga ni sampai ke tingkat 7 semata-mata nak mengelak daripada aku. Kau ingat aku tak tahu, Lea?" Ujarnya senada.
Tak tertelan rasanya air liur Azalea kala itu. Melihat Adam mula turun dari tangga itu, Azalea dengan pantas juga mengundurkan langkahnya ke bawah. Lalu, badannya dipusingkan ingin berlari turun semula. Biarlah dia lewat masuk ke pejabat hari ini asalkan dia dapat lari daripada Adam. Tetapi tak sempat pun sampai ke anak tangga yang paling bawah, lengannya disambar.
Buk!
Dalam sekelip mata tubuhnya sudah tersandar di dinding.
Kedua bahu Azalea ditekan rapat ke dinding. "Nak lari? Kau ingat kau boleh lari daripada aku?" Tajam anak mata Adam menikam wajah lesi itu.
Tak tinggal diam, Azalea cuba menolak tubuh Adam tapi sikit pun tak bergerak. Malah, Adam semakin menghimpitnya sehinggakan segala aroma parfum dari tubuh itu menyucuk tajam rongga pernafasannya.
Adam menundukkan kepalanya setara dengan wajah Azalea. Serta merta Azalea membatu, tidak lagi menolak tubuhnya. Menderu-deru nafas hangat itu menampar wajahnya.
Azalea memalingkan wajahnya ke kiri. Tak sanggup untuk terus menadah mukanya daripada berterusan menjadi mangsa panahan mata hitam Adam. Perutnya terasa memulas menandakan yang dia benar-benar takut sekarang. Kala itu dia benar-benar berharap agar ada sesiapa saja muncul di situ supaya dia dapat terlepas dari Adam.
Rahang Azalea dicengkam dan Adam memalingkan semula wajah itu menghadapnya. "Kenapa kau lari daripada aku? Bukan ke kau yang nak sangat aku balik? Sekarang, aku dah balik macam yang kau nak. Kau sepatutnya sambut kepulangan aku. Bukannya lari macam ni, Lea."
"Jangan pegang saya. Lepas." Akhirnya terluah juga suara Azalea meski sangat perlahan. Tangan Adam di rahangnya ditepis tapi Adam semakin menekan.
Semakin melebar senyuman sinis Adam. "Salah ke aku pegang isteri aku sendiri?" Tangan yang mencengkam dirahang halus itu tadi, dibawa pula mengusap pipi lembut itu. Meliar iris matanya menjamah setiap pelusuk wajah bujur sirih yang hanya berjarak 2-3 inci saja.
YOU ARE READING
Kerana Dendam
RomanceAdam Hirdy | Azalea **TRIGGER WARNING** READER DISCRETION IS ADVISED. This story may be upsetting for some readers, as it explores themes of mental illness and trauma. It also includes sensitive content such as sexual assault, violence, kidnapping...