"SAYA tunggu Rose dekat luar ni je." Ujar Adam kepada Bik Mina
"Baiklah. Encik Adam nak minum apa?"
"Tak apa. Tak payah susah-susah. Lagipun sekejap lagi mesti Rose turun." Tolak Adam. Selepas Bik Mina masuk semula ke dalam rumah, dia menapak ke sebuah meja yang terletak di laman rumah banglo itu dan melabuhkan duduk di situ.
Sementara menunggu Rose bersiap, dia membuka e-mel daripada Encik Yusof, peguam keluarganya yang tak sempat dibaca semalam. Satu fail yang disertakan sekali pada e-mel itu dibuka.
"Hai, Abang Adam."
Mendengar namanya disapa, Adam terus mengangkat kepalanya. Senyumannya serta merta terbentuk saat melihat Zara yang berdiri di depannya.
"Ni, air untuk Abang Adam." Zara meletakkan segelas air kordial sejuk di atas meja. Kemudian, dia menjatuhkan duduknya di bangku batu itu.
"Tadi abang dah cakap dekat Bik Mina tak payah susah-susah buat air."
"Ini Zara yang saja buatkan untuk Abang Adam. Nak tunggu Kak Rose bersiap tu lama. Boleh kering tekak Abang Adam." Jawab Zara bersama tawa kecil.
Adam hanya menyimpul senyum nipis. E-mel yang baru dibuka tadi ditutup semula. Malam nanti sajalah dia baca. Air sejuk yang dibawa oleh Zara tadi diteguk perlahan.
"Abang Adam nak bawak Kak Rose keluar dating ke ni?" Tanya Zara sambil menyelitkan rambutnya ke belakang telinga apabila ditiup bayu lembut.
Angguk.
Zara mengerling sekilas ke arah pintu rumah. Masih tiada kelibat kakaknya. "Hmm..." Dia menggumam seketika sambil otaknya cuba menyusun ayat. "Betul ke Abang Adam tetap nak kahwin dengan Kak Rose?"
Ternaik sedikit kening Adam tiba-tiba diaju soalan itu. "Kenapa Zara tanya macam tu?"
"Tak ada apa. Cuma Zara terfikir kalau Abang Adam kahwin dengan Kak Rose, macam mana dengan isteri Abang Adam. Zara cuma kesian dekat dia je. Rasanya tak ada satu pun perempuan dalam dunia ni rela tengok suami dia kahwin dengan perempuan lain."
Adam hanya diam. Nampaknya Zara salah membuat kesimpulan. Zara tak tahu yang Azalea siap berjanji dengan Rose untuk pulangkan dia ini kepada kakaknya itu. Jadi, tak mungkin Azalea kisah kalau dia berkahwin dengan Rose. Yang menjadi permasalahnya sekarang adalah Rose yang dari awal sudah menyatakan pendiriannya yang tak mahu berkongsi serta mummynya yang begitu memangkah hubungannya dengan Rose.
"Mama pun tak suka Abang Adam teruskan hubungan dengan Kak Rose. Mama nak Kak Rose berhenti berharap dan kejar Abang Adam." Sorotan mata Zara melirik pada Abang Adam. Mahu melihat reaksi jejaka itu.
Berkerut halus dahi Adam cuba mencerna bicara Zara. Ini sesuatu yang baru. Selama ini tak pernah lagi telinganya ini mendengar sebarang bantahan hubungannya dengan Rose daripada keluarga Rose. Semua ahli keluarga Rose menerimanya dengan baik termasuklah Datin Zarina. Tapi kenapa sekarang tiba-tiba Datin Zarina berubah pula?
"Sebenarnya dari awal lagi mama tak suka Kak Rose jalin apa-apa hubungan dengan Abang Adam." Tokok Zara bagai mengerti apa yang ada di dalam kepala lelaki di depannya ini.
Terngadah sekejap Adam dengan penyataan yang dituturkan oleh Zara itu.
"Lagipun Zara rasa Kak Rose tak sesuai dengan Abang Adam. Lebih baik Abang Adam fikir masak-masak sebelum buat keputusan untuk kahwin dengan Kak Rose. Takut nanti menyesal." Sengaja Zara buat-buat ketawa di hujung kata.
Adam merenung wajah Zara yang sedang ketawa. Kedengaran sangat palsu di telinganya. Kenapa Zara sebagai seorang adik boleh berkata begitu tentang kakak sendiri? Zara sengaja mahu memburuk-burukkan Rose? Zara dengkikan Rose?
YOU ARE READING
Kerana Dendam
RomanceAdam Hirdy | Azalea **TRIGGER WARNING** READER DISCRETION IS ADVISED. This story may be upsetting for some readers, as it explores themes of mental illness and trauma. It also includes sensitive content such as sexual assault, violence, kidnapping...