Bab 13

8.2K 494 42
                                    

"JOM."

Azalea mengeraskan kakinya di lantai. Tangan Datin Fatimah yang sedang menarik tangannya dipegang. "Boleh tak Lea tidur dekat bilik yang selalu Lea tidur tu, mummy? Lea tak nak tidur dekat atas."

Datin Fatimah mengerutkan keningnya. "Kenapa tak nak tidur dekat bilik atas?"

"Lea tak nak. Lea..."

"Lea jangan risau. Adam tak balik sini." Potong Puan Fatimah. "Adam tinggal dekat kondo dia. Jadi, Lea jangan takut, ya? Adam takkan balik. Jom." Tangan Azalea ditarik sekali lagi tapi sepasang kaki itu bagai digam di atas lantai.

Untuk kesekian kalinya, Azalea menggeleng lagi. Mati hidup semula pun dia tak mahu menjejakkan kakinya di bilik Adam. Apatah lagi untuk tidur di bilik itu biarpun tuan empunya bilik tiada. Lagipun selama ini tak pernah Datin Fatimah menyuruh dia tidur di bilik Adam sewaktu Adam berada di Kanada. Kenapa apabila Adam ada di Malaysia dia disuruh tidur di bilik Adam pula.

"Mummy cuma nak Lea biasakan diri berkongsi segala milik Adam sebab Lea isteri Adam. Lea ada hak."

Terbungkam Azalea mendengarkan itu. Kemahuan Datin Fatimah itu sungguh di luar jangkaannya. Dia tak nak biasakan dirinya dengan Adam. Dia tak nak berkongsi apa-apa pun dengan Adam. Dia tak mahukan haknya. Biarlah mereka seperti orang asing begini. Itu lebih baik.

Melihat Azalea membisu, Datin Fatimah mengoyak senyuman kecil. "Kalau Lea memang tak nak, tak apalah. Mummy takkan paksa."

Keluhan lega dihela di dalam hati. Azalea mengikut langkah ibu mertuanya ke sebuah bilik berhampiran tangga. Bilik yang memang menjadi tempat dia huni setiap kali bermalam di sini, yang boleh dihitung dengan sebelah tangan saja kekerapannya.

Masuk di dalam bilik, dia dan Puan Fatimah melabuhkan duduk di birai katil. Tudung di kepala di tanggalkan apabila mengetahui yang Adam takkan balik ke rumah ini. Ikatan rambut ditarik membebaskan rambut panjangnya.

"Terima kasih ya, Lea. Sudi makan malam dengan mummy. Sudi bermalam di sini malam ni." Ucap Puan Fatimah. Tangan Azalea dielus lembut. "Mummy ingat Lea dah tak nak datang sini lagi. Mummy tahu, Lea setuju untuk tidur dekat sini malam ni sebab ibu Lea pujuk, kan?"

Azalea menggigit bibir dalamnya. Mengiakan kata-kata itu di dalam hati. Kalau bukan kerana ibunya yang memujuk, tak mungkin dia ada di sini sekarang. Juga, kerana tak mahu mengguris perasaan Datin Fatimah dengan pelbagai alasan lagi. Sudah sering kali dia mengelak untuk ke sini. Jadi, dengan berat hati dia paksa juga dirinya untuk bermalam di rumah ini.

"Lea minta maaf, mummy. Bukan Lea sengaja tak nak datang sini tapi Lea betul-betul tak selesa." Ujarnya perlahan. "Lea takut..."

"Lea takut dengan Adam?" Lembut Puan Fatimah bertanya.

Angguk.

Mengeluh perlahan Datin Fatimah melihat anggukan itu. "Adam ada buat apa-apa dekat Lea belakang mummy? Adam ada pukul Lea?"

Azalea menggeleng pula. Memang Adam tak pernah lagi naik tangan terhadapnya. Tetapi bicara sinis Adam sudah cukup menyakiti hatinya. Renungan yang sentiasa tajam membuatkan dia takut untuk bersemuka dengan lelaki itu.

Datin Fatimah mengurai-urai rambut panjang itu. Sungguh, dia sangat sayangkan Azalea. Dari pertama kali dia bertentang mata dengan wanita ini, hatinya sudah terpaut suka. Alangkah bagusnya kalau Adam juga boleh sukakan Azalea.

"Mummy sayangkan Lea."

Terangkat sedikit kening Azalea apabila Datin Fatimah tiba-tiba mengucapkan kata sayang itu. "Lea pun sayangkan mummy. Sayangkan daddy." Balasnya bersama senyuman lebar.

Kerana DendamWhere stories live. Discover now