AIR teh o panas di dalam cawan Azalea cicip perlahan-lahan sambil melirik Puan Hajar yang sedang menyuap nasi goreng. Cawan diletakkan semula. "Ibu."
Puan Hajar mengangkat kepala, memandang Azalea. Keningnya dijungkit sedikit.
"Betul ke duit yang setiap bulan mummy bagi tu duit daripada Adam?" Walaupun sudah mendengar sendiri daripada mulut Adam, tetapi Azalea mahu tahu apa alasan Puan Hajar menyembunyikan hal tersebut daripada pengetahuannya.
Terkedu sesaat Puan Hajar dengan soalan itu. Bergerak-gerak bola matanya membalas renungan teduh Azalea. Macam mana Azalea boleh tahu tentang itu?
"Betul ke, ibu?" Tanya Azalea lagi.
Perlahan-lahan Puan Hajar mengangguk.
Terlepas keluhan kecewa dari belahan bibir Azalea. "Kenapa ibu tak pernah bagitahu Lea pasal ni? Kenapa ibu sorok daripada Lea?"
"Ibu bukan sengaja nak sorok tapi mummy Lea yang tak nak Lea tahu. Mummy Lea cakap, kalau Lea tahu duit tu daripada Adam, mesti Lea tak nak terima. Mummy Lea tak nak macam tu. Dia nak Lea guna nafkah yang Adam bagi tu sebab itu tanggungjawab Adam." Panjang lebar penjelasan Puan Hajar.
Semakin berat keluhan Azalea. "Memang Lea tak nak. Lea tak nak satu sen pun duit Adam. Lea tak nak apa-apa nafkah pun daripada Adam. Lea tak nak Adam tunaikan tanggungjawab dia pada Lea. Lea tak perlukan semua tu. Lea dah pernah cakap dekat ibu, kan?"
"Ibu tahu Lea tak nak. Tapi ibu tak boleh jugak nak halang Adam bagi nafkah untuk Lea. Walau macam mana pun Adam masih suami Lea. Adam tahu tanggungjawab dia pada Lea. Adam tetap jalankan tanggungjawab dia sebagai suami walaupun dia tak sukakan Lea. Jadi..."
"Adam buat semua tu sebab ada makna, ibu. Bukannya dia nak bertanggungjawab sangat pun pada Lea." Potong Azalea.
Berkerut halus dahi Puan Hajar. "Maksud Lea?"
Azalea membasahkan bibirnya dengan lidah sebelum bersuara. "Adam tak nak lepaskan Lea. Sebab tu dia ikat Lea dengan cara macam tu. Lea tak dapat nak tuntut cerai daripada Adam sebab isu nafkah ni nanti akan jadi penghalang untuk Lea minta fasakh."
Terdiam sekejap Puan Hajar mendengarkan itu. Tak pernah pula dia fikir sampai ke tahap ini. "Tapi ibu rasa tak semestinya Lea boleh guna alasan nafkah itu semata-mata, kan?"
"Bukan senang, ibu. Adam tu banyak duit. Dia boleh upah lawyer yang bagus untuk fight sampai Lea tak boleh nak lawan dia langsung. Adam akan buat apa saja supaya Lea tak dapat nak lepas daripada dia." Lemah semangat Azalea apabila memikirkan itu.
Puan Hajar mula rasa bersalah. Gara-gara dia merahsiakan perkara ini, Azalea yang terpaksa menanggung kesannya. Dia tahu betapa tinggi harapan Azalea untuk bercerai dengan Adam. Mereka sudah sama-sama merancang untuk pergi dari sini sebaik sahaja Azalea bercerai. Tetapi ini pula jadinya sekarang.
"Lea cuma nak bebas daripada Adam tapi kenapa susah sangat? Lea cuma nak hidup jauh daripada Adam. Jauh dari sini." Ujarnya perlahan.
"Lea..." Lembut Puan Hajar menyeru. "Ibu minta maaf. Ibu salah. Kalau ibu tahu akan jadi macam ni, ibu takkan rahsiakan benda ni daripada Lea." Tangan Azalea di atas meja digenggam.
Azalea menghela nafas panjang. Senyuman cuba digariskan buat ibunya. Tak mahu Puan Hajar rasa bersalah. Sementalah semua masalah yang terjadi berpunca dari dirinya sendiri. Kalau dia tak buat keputusan untuk kahwin dengan Adam, perkara seperti ini takkan wujud.
"Tapi kenapa Adam tak nak lepaskan Lea?" Soal Puan Hajar. Sungguh, dia musykil. Kalau Adam memang bencikan Azalea buat apa lagi terus bersama. Lagipula Adam sudah punya pilihan hati.
YOU ARE READING
Kerana Dendam
RomanceAdam Hirdy | Azalea **TRIGGER WARNING** READER DISCRETION IS ADVISED. This story may be upsetting for some readers, as it explores themes of mental illness and trauma. It also includes sensitive content such as sexual assault, violence, kidnapping...