Bab 20

10.5K 562 132
                                    

SEKEJAP-SEKEJAP Azalea melirik jam di pergelangan tangannya. Lagi 10 minit jarum jam akan bergerak ke pukul 9 pagi. Semakin hampir ke waktu itu, semakin laju detak jantungnya. Punyalah dia takut dan gementar untuk memulakan tugas barunya pada hari ini sampaikan tingkahnya jadi serba tak kena. Duduk tak kena. Berdiri tak kena.

Bunyi derapan langkah yang semakin hampir memaksa Azalea memanggung kepala. Automatik tubuhnya tegak berdiri apabila melihat figura Adam menapak makin dekat. Peluh dingin yang melencunkan telapak tangannya dikesat pada baju.

Adam mengerling sekilas pada Azalea yang berdiri tegak bagaikan tiang lampu. Saat mata mereka berlaga, cepat saja wanita itu meliarkan bola matanya ke lain. Memang dia geram betul dengan kelakuan Azalea yang satu ini!

Terkebil-kebil kelopak mata Azalea memandang pintu bilik Adam yang sudah tertutup itu. Langsung tiada sapaan daripada Adam sebelum masuk ke dalam biliknya. Memang begitu ke? Tapi baguslah begitu. Tidaklah pagi-pagi lagi telinganya ini dicuci dengan bicara pedas Adam.

Azalea menunggu selama sepuluh minit seperti yang diberitahu oleh Dira. Cukup tempoh itu, pintu bilik Adam diketuk dalam debar yang menggila. Mendengar arahan daripada dalam, tombol pintu terus dipulas. Dengan lafaz bismillah dia menapak masuk.

Ketar lututnya berdiri di depan Adam begini meski dipisahkan dengan sebuah meja. Tambahan pula ditenung oleh Adam tanpa suara begini. Nak pandang ke mana pun dia tak tahu. Lalu, iPad di tangan diangkat tinggi menutup wajahnya. Bersedia untuk menerangkan jadual kerja Adam.

Atas bawah Adam melirik batang tubuh Azalea sebelum matanya berhenti tepat pada iPad yang betul-betul di depan muka itu. Terjungkit sinis hujung bibirnya. Lalu, laci mejanya ditarik. Sailor tape diambil.

"Nah, ambil ni." Dibaling perlahan sailor tape itu di atas meja.

Terpinga-pinga sekejap Azalea. Dia menurunkan sedikit iPad dari terus menutup wajahnya tadi. Sorotan matanya jatuh pada sailor tape di atas meja. Adam suruh dia ambil benda alah itu ke? Untuk apa?

"Ambil." Sepatah Adam mengarah.

"Hah?" Azalea masih tak berganjak.

"Ambil sailor tape ni. Tampal dekat iPad tu. Lepas tu, lekatkan iPad tu dekat muka kau terus. Nak tutup sangat muka tu, kan?" Sinis Adam memerli.

Berpijar panas rasanya wajah Azalea saat itu apabila disindir depan muka begini. Perlahan-lahan iPad dipeluk ke dadanya. "Maaf."

"Maaf untuk apa?" Menjungkit sebelah kening Adam.

Azalea mengemam bibirnya. Tak tahu nak jawab apa kerana dia sendiri tak pasti kenapa mulutnya mengungkap kata maaf tersebut.

Melihat Azalea terkulat-kulat begitu, Adam membatalkan niatnya untuk terus 'membuli' buat masa sekarang. Tunggu sekejap lagi.

"Kau dah tahu semua tugas kau? Dira dah ajar semua?" Soal Adam tanpa memandang Azalea lagi. Tumpuannya beralih pada laptop.

"Dah. Boleh ke saya mula sekarang?" Skrin iPad disentuh.

Angguk.

Nampak saja Adam mengangguk, Azalea mengeluh lega. Lega tidak dihentam amarah Adam seperti selalu. Dia menarik nafas dan dihembus halus sebelum dia memulakan tugas pertamanya pada hari itu.

Selesai menerangkan jadual kerja Adam, Azalea diam menanti kalau-kalau ada sebarang pesanan yang Adam mahu sampaikan. Namun, Adam masih membisu menghadap laptop dengan begitu serius.

Hujung keningnya digaru. Apa yang dia perlu buat sekarang? Terus menunggu atau keluar saja?

Adam menoleh memandang Azalea. "Dah habis?" Sengaja dia bertanya walhal dia bukannya tak dengar apa yang diterangkan tadi.

Kerana DendamWhere stories live. Discover now