RASA lega yang Azalea rasakan apabila dia celikkan mata sewaktu Subuh tadi sirna dalam sekelip mata. Sangkanya Adam sudah pulang dan tak akan datang lagi ke hospital. Rupa-rupanya Adam datang semula. Mungkin Adam balik untuk mandi dan bersiap ke pejabat berdasarkan pakaian yang dipakai oleh Adam sekarang.
"Jom."
Belakang badan Adam yang mula membuka langkah dipandang kosong. Langsung Azalea tak berniat mengikut jejak lelaki itu.
Menoleh Adam ke belakang apabila menyedari Azalea tidak mengekorinya. "Tercegat apa lagi dekat situ?"
Azalea mengerling sekilas pada Adam. Dia masih bergeming di tepi katil. "Saya boleh balik sendiri." Katanya perlahan.
Adam merengus. Tubuhnya dipusing sepenuhnya menghadap Azalea. Kedua-dua belah tangannya mula mencekak pinggang. Tajam panahan matanya menikam wajah sang isteri.
Merinding bulu roma Azalea ditenung begitu oleh Adam. Sungguh, dia lebih takut kalau Adam diam tak bercakap. Dia lebih rela menadah telinga mendengar Adam memarahinya daripada membisu begini. Kebisuan Adam itu bukan kebisuan biasa. Itu tandanya Adam sedang menahan amarahnya di dalam.
"Aku hantar." Nada suara Adam masih senada meski suhu kemarahannya sudah naik ke takuk yang paling atas dicabar kedegilan Azalea.
Kepalanya digeleng. Azalea cuba berlagak berani. Renungan membunuh itu ditentang dalam debar yang menggila. "Kalau awak hantar saya balik nanti awak lewat masuk office. Sekarang pun dah pukul 8.30 pagi." Jam di dinding bilik wadnya dilirik sesaat.
"Kalau dah takut sangat aku lewat masuk office jangan nak buat perangai macam ni. Jom, cepat."
Azalea masih statik di situ.
"Seriously, Azalea? Kau masih nak tunjuk degil dengan aku sekarang?" Makin mencerun tajam panahan mata Adam.
"Saya dah cakap kan saya balik sendiri." Berani-berani takut Azalea melawan. "Saya boleh balik dengan grab." Telefon pintarnya terus dikeluarkan dari tas tangan. Aplikasi grab ditekan. Walaupun sebenarnya masih ada rasa takut untuk naik kereta orang asing tapi dia lagi tak rela naik kereta Adam.
Kecil besar saja Azalea dia mata Adam sekarang. Kesabarannya sudah menipis habis. Lantas, dia menghampiri Azalea lalu, tangan Azalea ditarik mengikut langkahnya meninggalkan bilik itu. Tangan itu semakin dicengkam kemas apabila cuba ditarik oleh Azalea.
"Lepaslah, Adam! Nanti orang nampak!" Azalea merentap-rentap tangannya dengan kaki yang terkejar-kejar diheret oleh Adam.
Sikit pun Adam tak peduli. Pandangan orang-orang yang melihat mereka pun dia buat tak nampak saja. Rayuan Azalea yang minta dilepaskan lagilah dia buat tak dengar.
"Awak tak takut ke orang nampak?! Nanti apa orang fikir kalau nampak awak pegang tangan saya macam ni! Awak tak fikir ke semua tu?!" Tegang Azalea menyoal sebaik sahaja mereka berdua masuk ke dalam perut lif.
Diam.
"Lepaslah!" Jari jemari Adam yang membelit erat tangannya cuba dirungkaikan dengan susah payah. Ini jari ke ular sawa!
Adam sekadar menjeling dengan ekor matanya melihat Azalea di sebelah bertungkus lumus mahu membebaskan tangannya. Keluar dari lif, langkahnya sengaja dilajukan. Tak dihirau dengan Azalea yang pincang berjalan mengikutnya.
Tiba di kereta, tubuh Azalea ditolak masuk dengan mudah. Namun, wanita itu masih nak melawan. "Kau duduk diam-diam. Jangan cuba nak keluar kalau kau tak nak aku mengamuk dekat sini." Tegas Adam tatkala Azalea mahu keluar semula dari kereta.
Sikit pun Azalea tak gentar dengan ugutan tersebut. Adam nak mengamuk atau nak pukul dia sekali pun, terserah. Asalkan dia tak balik bersama Adam. "Saya tak nak balik dengan awak! Saya boleh balik sendiri!"
YOU ARE READING
Kerana Dendam
RomanceAdam Hirdy | Azalea **TRIGGER WARNING** READER DISCRETION IS ADVISED. This story may be upsetting for some readers, as it explores themes of mental illness and trauma. It also includes sensitive content such as sexual assault, violence, kidnapping...