Bab 25

10.1K 542 53
                                    

"HER mental state was really terrible when she was brought here three years ago."

Buk!

"She was really scared of everyone, especially men."

Buk!

Adam menghayun sepakan padu pada punching bag yang tergantung apabila suara Doktor Syarifah bergema dengan begitu kuat di corong telinganya menyatakan setiap ayat tersebut.

Buk!

Buk!

Buk!

Semakin bertalu-talu sepakannya dihayun tatkala satu ayat yang menghantar kejutan besar kepadanya pula menerjah koklea sebelum dia berhenti menyepak dengan tiba-tiba. Dadanya berombak ganas. Turun naik bersama nafas yang tidak teratur. Punching bag yang terhuyung-hayang tanpa arah itu ditenung bagai mahu tembus beberapa saat.

Perlahan-lahan Adam membongkokkan tubuhnya. Kedua-dua tangan menekan lutut. Lurus matanya merenung lantai, memandang titisan demi titisan peluhnya yang jatuh di atas lantai gym.

"Azalea..." Desirnya perlahan sebelum dia merebahkan dirinya di atas lantai, berbaring terlentang dengan nafas kasar yang terhembus. Matanya dipejam rapat. Serta merta imbasan pertemuannya dengan Doktor Syarifah pagi tadi menjelma di angkasa mata.

Sudah hampir 10 minit keretanya terpakir di kawasan tempat letak kereta hospital ini tetapi Adam masih belum melangkah keluar dari perut kereta. Botol ubat di tangannya ditenung lagi.

"Kenapa kau ambil ubat ni, Lea? Sebab kau ada depression ke? Atau sebab trauma kau tu?" Soal Adam seolah-olah Azalea ada bersamanya.

Kalau diikutkan sedikit maklumat yang dia cari di google malam tadi tentang nama ubat yang tertera di botol ini, ubat ini adalah ubat penenang. Kebanyakan yang ambil ubat ini kerana mengalami depresi dan keresahan. Ada juga disebabkan masalah mental.

Teruk sangat ke trauma yang Azalea alami sehingga terpaksa mengambil ubat ini? Teruk sangat ke kesan penderaan mental dan fizikal Pak Cik Mazlan terhadap Azalea? Atau lelaki jahanam itu buat lebih dari sekadar dera?

Dengan ketakutan Azalea terhadap sentuhannya memang dia tak dapat nak elak dari terus memasang syak wasangka yang Azalea pernah menjadi mangsa amang seksual. Atau lebih teruk mangsa rogol.

Tapi kalau betul perkara keji itu berlaku pada Azalea pasti Datin Fatimah akan ceritakan padanya sewaktu di wad Dato' Norman tempoh hari. Tak mungkin hal sebesar itu disembunyikan daripadanya. Mungkin ke Azalea dan ibu mertuanya merahsiakan hal itu daripada Datin Fatimah?

Ataupun syak wasangkanya ini salah?

Haih...

Terlepas satu keluhan dari belahan bibir Adam. Tolak tepi sekejap tentang firasatnya itu. Apa yang penting sekarang dia perlu berjumpa dengan doktor yang bertanggungjawab memberi bekalan ubat ini kepada Azalea. Manalah tahu apabila dia berjumpa dengan doktor itu nanti segala persoalannya akan terjawab.

Keluar dari kereta, Adam terus menapak masuk ke dalam hospital dan kaunter pendaftaran dan pertanyaan dituju. Langkahnya dihala pula ke bilik doktor pakar psikiatri setelah mendapat maklumat di kaunter tadi.

Harapnya memang betullah doktor bahagian itu yang merawat dan memberikan ubat ini kepada Azalea. Dia pun cuma mengagak saja doktor psikiatri yang Azalea jumpa selama ini memandangkan ubat yang diambil berkait rapat dengan mental.

Jumpa bilik yang dicari, Adam menghampiri satu lagi kaunter yang terletak di depan bilik itu. Senyuman nipis diukir pada gadis muda yang berada di sebalik kaunter.

Kerana DendamWhere stories live. Discover now