Bab 29

12.7K 591 104
                                    

PLEASE BE ADVISED THAT THIS CHAPTER CONTAINS A TW FOR S/A




BOLA mata Adam meliar ke segenap ballroom yang luas itu mencari Azalea dan Datin Fatimah. Semasa dia berucap di atas pentas tadi dia nampak Azalea meluru keluar dari ballroom dan tak lama kemudian Datin Fatimah juga sama. Sudah hampir 20 minit dia menunggu tapi kelibat mereka berdua masih belum muncul. Ke mana mummy dan isterinya pergi?

Telefon pintar di dalam suitnya ditarik keluar ingin menghubungi Azalea. Namun, belum sempat pun skrin gelap itu disentuh, namanya dipanggil.

"Adam."

Menoleh Adam ke kanan apabila kerusi di sebelahnya ditarik. Terus nafasnya terhela panjang. Orang lain yang dicari, orang lain yang muncul.

"You tak makan?"

Adam menggeleng. Matanya mengerling sekilas ke bahagian buffet yang dikerumuni oleh staf-stafnya sebelum kembali memandang pengacara selebriti yang berceloteh di atas pentas.

"I ambil banyak makanan ni. Kita share, okey?" Rose menolak sedikit pinggannya kepada Adam.

"Nah, it's okay. I tak lapar lagi. Nanti I lapar I pergi ambil sendiri. You makanlah." Tolaknya.

Terhembus keluhan Rose. Langsung mati seleranya untuk menyuap makanan yang diambil. Wajah Adam yang tak beriak itu direnung. Hatinya yang sakit tentang kejadian tadi belum surut sepenuhnya. Sekarang, kembali membengkak dengan layanan acuh tak acuh Adam.

"You cakap, you datang event ni dengan mummy you. Tapi kenapa you datang dengan Lea?" Soalnya. Sejak dia nampak Adam dan Azalea di luar tadi lagi persoalan itu sudah mengasak di fikiran.

"Mummy yang suruh." Ringkas Adam menjawab. Sesekali dia memandang lagi ke sekeliling mencari dua wanita itu.

"Betul ke mummy you yang suruh. Atau you yang sengaja nak pergi dengan Lea?" Penuh curiga soalan itu meniti di bibir Rose.

Iris mata Adam yang melingas tadi berhenti di bening mata Rose. "Tanyalah mummy kalau you tak percaya sangat."

Rose mengemam bibirnya. Mana mungkin dia berani bertanya tentang itu kepada Datin Fatimah. Tapi dia tak percayakan omongan Adam. Lalu, pada siapa dia harus rujuk untuk mendapatkan kesahihan tersebut?

Azalea?

Huh! Tak usah! Nanti dia akan ditipu lagi! Wanita itu sudah tidak boleh dipercayai. Sama seperti Adam.

Adam bangun dari duduk ingin mencari Datin Fatimah dan Azalea di luar. Tak betah menunggu di sini terus. Sudahlah dengan kondisi Azalea tadi yang belum bertenang sepenuhnya.

"Eh, you nak pergi mana?" Pantas Rose bertanya apabila melihat Adam bangun dan berura-ura mahu melangkah. Dia turut sama bangun.

"I nak pergi dekat Redza sekejap." Nama Redza dipetik tatkala matanya terpandang akan Redza yang sedang rancak bersembang dengan beberapa orang staf di mejanya.

"I nak ikut."

"Tak payahlah. You duduk sini habiskan makanan you ni. Lagipun I nak pergi jumpa Redza je. Dekat situ je pun." Jari telunjuknya ditala pada meja Redza.

"Alaa... tapi I nak..." Tutur kata Rose terhenti apabila telefon pintar Adam berbunyi.

Tak menunggu walau sesaat, panggilan daripada Datin Fatimah itu terus dijawab. Dia berjalan jauh sedikit dari orang ramai dan juga pentas yang mula bingit dengan persembahan nyanyian artis jemputan. Sempat dia memberi isyarat kepada Rose supaya tidak mengekorinya.

Kerana DendamWhere stories live. Discover now