DIA melutut dan merayu kat aku supaya aku lepaskan dia. Dia menangis. Aku benci tengok dia menangis. Aku benci dengan apa yang aku rasa setiap kali aku tengok muka dia. Aku harap itu kali terakhir aku tengok dia...
Helaian seterusnya diselak. Bergerak-gerak iris matanya membaca ayat demi ayat yang tertulis bersama pelbagai rasa yang mencengkam sanubari.
Aku cuba lagi hari ni. Tapi masih gagal. Aku cuma buat benda yang sama macam semalam. Aku rasa macam nak potong tangan aku setiap kali aku sentuh badan dia. Aku rasa macam nak koyak mulut aku setiap kali bibir aku melekat pada kulit dia...
Diselak lagi.
Aku paksa diri aku untuk selesaikan semuanya hari ni. Aku hampir berjaya tapi aku tetap kalah dengan air mata dia. Aku tewas bila dia berkali-kali tanya apa salah dia pada aku...
Menggeletar tangannya mahu menyelak muka surat sebelah. Kerana dia tahu apa yang telah ditulis pada halaman itu. Tak mungkin dia lupa. Tangannya dikepal erat. Matanya terpejam apabila senario yang tertulis di situ terbayang di layar mata.
"Azalea..." Terluah perlahan sebaris nama itu daripada mulutnya. Matanya dicelikkan semula. Nafas panjang ditarik dan dihembus perlahan sebelum helaian kertas diselak dengan kadar yang perlahan.
Dia menjerit kesakitan. Memancut darah yang keluar bila dada dia ditoreh. Baju nikah dia yang terkoyak rabak habis basah dengan darah. Tak cukup dengan setiap inci badan dia yang dah aku sepak terajang sampai dia lembik, hari ni kesakitan dia berganda dan lebih parah. Dia tercungap-cungap mencari nafas. Aku harap dia mati...
Pap!
Diari itu ditutup. Kedua-dua tangannya terkepal erat sambil merenung kulit buku yang sudah lusuh itu. Huruf 'u' yang diukir pada kulit buku itu ditenung lama. Perlahan-lahan kepalan tangannya melonggar dan jari-jemarinya dibawa menyentuh ukiran huruf tersebut.
Hari ini, Uzair buka dan baca semula setiap curahan yanh ditulis di dalam diari. Sudah lama diari ini tidak disentuh sejak kepulangan Adam ke Malaysia. Namun malam ini hatinya mendesak untuk membaca semula apa yang dicoretkan tiga tahun lepas.
"Kenapa jadi macam ni? Kenapa aku yang kena tanggung rasa bersalah ni?" Bisiknya keras. Diari itu disimpan semula ke dalam laci. Sebuah bingkai gambar pula diambil.
Serta-merta rasa marah, sakit hati, benci dan dendam membuak-buak apabila melihat gambar di sebalik bingkai kaca itu. Gambar dua manusia yang sedang tersenyum bahagia.
Prang!
Pecah berderai bingkai gambar itu apabila dibaling ke dinding. Berselerakan kaca-kaca di atas lantai. Begitulah rupa bentuk hatinya saat kebenaran tersingkap dulu. Dia dapat rasa perasaan dikhianati menikam jiwanya ketika itu.
"Kau memang celaka!" Dia menyumpah dengan tiba-tiba. Bangun daripada duduk, dia menghampiri serpihan-serpihan kaca di atas lantai. Lalu gambar itu diambil.
"Aku benci kau, perempuan. Aku benci seluruh keturunan kau." Wajah wanita itu ditekan-tekan dengan ibu jarinya.
"Aku akan pastikan hidup kau betul-betul macam dalam neraka lepas ni. Aku akan buat kau terseksa sampai kau rasa nak gantung diri kau sendiri." Uzair ketawa sinis.
"Tak sabar aku nak tengok kau melutut dan merayu dekat aku. Tak sabar nak tengok apa bapak kesayangan kau yang cacat tu boleh buat untuk lindungi anak dia yang sama bangsat dengan dia." Satu serpihan kaca dicapai lalu ditoreh pada wajah wanita itu. Selepas itu dia meronyok geram gambar tersebut. Ketawa sinisnya semakin kuat memenuhi ruang bilik itu.
Klak!
Tawa Uzair terus mati apabila pintu bilik tiba-tiba dikuak dari luar. Segera wajahnya dimaniskan saat pandangan matanya bertemu dengan sepasang mata ayahnya. Gambar yang direnyuk tadi dimasukkan ke dalam poket seluar.
YOU ARE READING
Kerana Dendam
RomanceAdam Hirdy | Azalea **TRIGGER WARNING** READER DISCRETION IS ADVISED. This story may be upsetting for some readers, as it explores themes of mental illness and trauma. It also includes sensitive content such as sexual assault, violence, kidnapping...