"JOM."
Azalea mendongak sebelum bebola matanya turun memandang sekeping kad akses yang dipegang oleh Adam. Bibirnya digigit perlahan. Jangan cakap mereka akan tinggal sebilik.
Tak jadi Adam mahu menapak apabila melihat Azalea langsung tak berganjak dari sofa di lobi hotel itu.
"Kenapa?"
"Err... kita tinggal sebilik ke?"
Angguk.
"Boleh tak saya nak duduk bilik sendiri?" Soal Azalea.
Kening Adam berkerut rapat. Baru saya dia mahu bersuara, Azalea terlebih dahulu menyambung bicara.
"Tapi awak jangan risau. Saya bayar guna duit saya." Cepat saja Azalea menambah tatkala melihat perubahan riak muka Adam.
Adam mengambil tempat di sebelah Azalea. "Kenapa nak duduk bilik lain? Suite room ni besar. Terlebih besar untuk kita berdua."
Azalea menggaru hujung keningnya. Ini bukan masalah besar atau kecil. Masalahnya dia tak selesa. Dia takut untuk tinggal sebilik dengan Adam. Lagipun kalau ada sesiapa tahu mereka tinggal sebilik, apa dia nak jawab nanti?
Kenapalah dia tak tanya Adam awal-awal sebelum mereka terbang ke Sarawak? Kalau tak, dia boleh tempah sendiri bilik untuknya.
"Saya risau orang nampak kita tinggal sebilik. Nanti timbul cerita yang tak elok pulak."
Terlepas keluhan panjang Adam. Rimas sungguh dia rasa dengan pemikiran Azalea yang tak habis-habis risaukan benda yang remeh begitu. "Kita ni dekat Sarawak. Bukan dekat KL. Siapa yang nak nampak? Boleh tak kau jangan fikir benda-benda macam tu?"
"Mana tahu kenalan awak yang tinggal kat sini nam..."
"Peduli apa aku." Cantas Adam selamba seraya bangun kembali. Tangan Azalea ditarik mengikut langkahnya. Namun isterinya itu sengaja mengeraskan kaki di lantai.
"Jangan nak buat perangai boleh tak?" Mencerlung tajam panahan matanya dia menikam bening mata Azalea.
"Saya nak duduk bilik lain!" Bentak Azalea dalam berani-berani takut itu.
Adam menolak-nolak dinding pipinya dengan lidah. Lama dia merenung Azalea tanpa suara. Kesabarannya dibina setinggi langit menanggapi kedegilan Azalea sekarang.
Azalea meliarkan pandangannya ke sekitar lobi hotel itu. Mengelak dari terus menjadi mangsa panahan mata Adam yang menghunus tajam bagaikan pedang samurai. Setiap kali Adam memandangnya dengan renungan begitu tanpa suara, bulu romanya merinding. Adam mesti tengah menahan marah.
"Silalah."
Menoleh semula Azalea ke arah Adam apabila mendengar sepatah perkataan itu. Dia pula yang terpinga-pinga tak faham.
"Pergilah. Nak sangat duduk bilik lain, kan? Pergi minta bilik lain." Tangan Azalea dilepaskan lalu Adam mendepakan tangannya ke arah kaunter penyambut tetamu.
Macam tak percaya Azalea kala itu. Semudah itu? Jadi Adam tak marah? Alhamdulillah...
"Terima kasih!" Ucap Azalea bersama senyuman lebar sebelum dia menapak ke kaunter pendaftaran.
Adam hanya memerhati Azalea sambil berpeluk tubuh. Tak sampai lima minit, Azalea kembali semula dengan raut wajah yang sudak tidak seceria tadi. Secalit senyuman pun tiada.
"How?" Keningnya diangkat sedikit.
Azalea hanya diam. Melihat tampang wajah Adam yang seakan mengejeknya, tahulah dia yang Adam memang sengaja mahu mengenakannya. Mesti Adam awal-awal lagi dah tahu semua bilik sudah penuh ditempah memandangkan sekarang musim cuti sekolah. Lagipula hotel lima bintang ini memang menjadi tumpuan pelancong untuk menginap di sini.
YOU ARE READING
Kerana Dendam
RomanceAdam Hirdy | Azalea **TRIGGER WARNING** READER DISCRETION IS ADVISED. This story may be upsetting for some readers, as it explores themes of mental illness and trauma. It also includes sensitive content such as sexual assault, violence, kidnapping...