Bab 35

12.9K 725 185
                                    

"NAH, ambillah."

Azalea hanya merenung botol air yang dihulurkan sebelum menggeleng kecil. "Saya tak dahaga."

"Saya tengok bibir Cik Lea kering tu. Mesti kurang air."

Automatik Azalea mengemam bibirnya dan berpaling ke kiri. Tak selesa apabila lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Khairul ini meneroka setiap inci wajahnya.

Kalau dia tahu Khairul akan datang mengganggunya di sini, dia akan lebih berdegil ketika Adam menyuruh dia menunggu di bawah bangsal kayu ini sementara Adam dan beberapa lagi wakil Telekom berbincang sambil melihat tiang-tiang elektrik yang rosak di seberang jalan sana. Tak perlulah dia hadap Khairul sekarang.

Sebenarnya sejak dari dia dan Adam tiba di sini tadi lagi perasaan tak enak sudah datang bertamu tatkala dia bertentang mata dengan Khairul. Entah kenapa dia rasa renungan lelaki itu semacam saja. Ataupun dia yang berburuk sangka? Entahlah. Yang pasti dia memang rasa tak selesa.

"Lagipun cuaca panas ni. Mesti tekak pun kering. Ambillah." Lagi sekali Khairul menghulur botol air mineral kepada Azalea. Wanita yang mencuri perhatiannya sejak awal tadi.

"Tak apa, Encik Khairul. Saya tak nak. Saya memang tak dahaga." Sesopan yang mungkin Azalea menolak.

Khairul menjatuhkan huluran botol itu ke sisi. Senyumannya tercarik nipis. Sisi wajah Azalea yang memerah ditenung seketika.

"Panas sangat cuaca sekarang kan sampai merah pipi Cik Lea. Ambillah air ni. Kalau tak nak minum sekarang, boleh minum kejap lagi." Botol minuman itu dihulur lagi.

Dalam keterpaksaan, akhirnya Azalea menyambut juga botol air tersebut. Dia berharap sangat Khairul segera pergi tapi lelaki itu langsung tak berganjak.

"Sekejap lagi Cik Lea join kami meeting sekali ke?" Soal Khairul.

Terdiam sekejap Azalea mendengar soalan itu. Meeting? Kenapa dia tak tahu ada meeting lain selepas ini? Adam tak ada pun beritahu dia apa-apa.

"Cik Lea?" Setapak Khairul mendekat.

Lekas-lekas Azalea berganjak ke kiri apabila melihat Khairul mengecilkan ruang antara mereka. "Err... join kut. Kalau Encik Adam terlibat dengan meeting tu maknanya saya kena ikut sekalilah sebab saya PA Encik Adam."

Terangguk-angguk kepala Khairul ."Cik Lea pernah datang Sarawak sebelum ni?" Ada saja topik yang cuba dicipta untuk memancing perhatian wanita itu.

Geleng.

"Kalau macam tu lepas habis meeting nanti jomlah saya bawak Cik Lea jalan-jalan kat sini."

Geleng lagi.

Terletus tawa kecil daripada mulut Khairul. Susah betul nak diajak berbual. "Rugilah Cik Lea datang jauh-jauh dari KL tapi tak nak tengok apa yang menarik kat sini. Jomlah. Saya bawak Cik Lea makan laksa Sarawak yang paling sedap."

Azalea mengeluh perlahan. "Saya tak boleh pergi mana-mana. Nanti Encik Adam marah."

"Kenapa Encik Adam nak marah pulak? Saya bawak Cik Lea keluar lepas habis waktu kerja. Dia tak boleh nak halang. Dia bukannya suami Cik Lea sampai nak marah Cik Lea keluar ke mana-mana. Dia tak ada hak, kan?" Khairul membentang logiknya.

"Siapa kata tak ada hak?"

Serentak Azalea dan Khairul menoleh apabila mendengar sebaris ayat itu. Betapa lega Azalea dengan kemunculan Adam. Namun kelegaan itu bercempera pergi saat melihat panahan tajam iris mata Adam.

Adam berdiri di sebelah Azalea lalu pinggang itu dipeluk dan ditarik rapat dengannya. Dapat dia rasa tubuh Azalea mengeras dengan serta-merta. Senyuman nipis dilukis buat Khairul yang terkebil-kebil melihat tangannya membelit di pinggang Azalea.

Kerana DendamWhere stories live. Discover now