DAUN pintu dikuak sedikit. Terus pandangan Azalea terpasak pada sarira Adam yang sedang duduk di atas karpet sedang menunaikan solat subuh. Bebola matanya bergerak memerhati pakaian yang tersarung di tubuh Adam. Pakaian semalam. Bermakna semalam Adam tidur dengan pakaian basah itu?
Rasa bersalah serta-merta datang memenuhi ruang hati. Gara-gara terlampau terkejut dan takut dengan Adam semalam, dia mengunci diri di dalam bilik sampailah ke subuh ini. Langsung dia tak beri peluang pada Adam untuk menjelaskan letak duduk yang sebenar.
Macam mana kalau Adam memang tak berniat untuk apa-apakan dia? Macam mana kalau Adam memang cuma mahu melihat parut itu saja?
Keluhan dihembus halus. Makin bertimpa-timpa rasa bersalahnya terhadap Adam. Kalau dia dapat kawal emosi dan tak membiarkan traumanya mengambil alih rasionalnya semalam, pasti perkara seperti ini takkan berlaku.
Pintu ditutup semula dan Azalea bersandar di belakang pintu itu. Bibir dalamnya digigit kecil. Apa yang dia perlu buat sekarang?
Minta maaflah. Dahlah kau siap tampar dia tapi dia sikit pun tak marah kau.
Azalea menghela nafas sedalam-dalamnya sebelum membuka pintu bilik semula. Kali ini lebih luas. Langsung saja renungan mereka bertemu. Kakinya yang mahu melangkah mendekati Adam terasa berat untuk diangkat. Suara yang mahu menutur kata maaf seakan tersekat di rengkung.
"Awak... awak pergilah mandi. Tukar pakaian tu." Sudahnya, itu yang terkeluar.
Lekas-lekas Azalea berganjak ke tepi apabila Adam terus berlalu masuk ke dalam bilik. Dia hanya melihat segala tingkah Adam yang mencapai tuala dan menghilang di dalam kamar mandi.
Hampir setengah jam Azalea menunggu Adam di ruang tamu. Tapi Adam tak keluar-keluar. Takkan Adam tak siap mandi lagi? Bangun dari duduk, pintu bilik yang tertutup itu didekati. Telinganya dilekapkan di situ. Tiada sebarang bunyi pancuran air. Mungkin Adam sudah siap mandi.
"Adam?" Pintu diketuk perlahan.
Senyap.
"Awak dah siap?"
Masih senyap.
Dengan lafaz bismillah, tombol pintu dipulas dan ditolak sedikit demi sedikit. Lega hatinya melihat Adam sudah lengkap berpakaian sedang mengemas begnya di atas katil.
Mereka akan pulang hari ini? Mungkin kerja Adam di sini sudah selesai. Lagipun memang pada asalnya mereka di Sarawak cuma tiga hari.
Lambat-lambat Azalea menyusun langkah ke katil. Teragak-agak duduknya dilabuhkan di atas tilam bersebelahan beg pakaian Adam. Lalu, dia mendongak memandang wajah yang tak beriak itu. Sesaat, dua saat, dia menunggu Adam bersuara namun mulut itu kekal membisu.
Awak marahkan saya ke, Adam?
Azalea gelisah sendiri. Tak pernah Adam bersikap begini dengannya. Dia juga tak biasa apabila Adam berterusan diam tanpa kata. Dia lebih rela mendengar bicara pedas dan tajam Adam daripada suaminya itu senyap seperti sekarang.
Melihat Adam sudah mengangkat beg pakaiannya turun daripada katil dan berura-ura mahu keluar dari bilik, cepat-cepat Azalea memanggil.
"Awak..."
Adam menoleh memandang Azalea yang juga sedang mendongak memandangnya sebelum matanya jatuh pada jemari Azalea yang sedang memegang jari kelengkengnya.
YOU ARE READING
Kerana Dendam
RomanceAdam Hirdy | Azalea **TRIGGER WARNING** READER DISCRETION IS ADVISED. This story may be upsetting for some readers, as it explores themes of mental illness and trauma. It also includes sensitive content such as sexual assault, violence, kidnapping...