Bab 38

10.1K 710 115
                                    

AZALEA merenung kedua-dua belah telapak tangannya yang berlumuran dengan darah merah yang sudah kering di atas riba. Rasa kesejukan tangan Puan Hajar yang berada dalam genggamannya di rumah tadi masih begitu terasa. Perlahan-lahan tangan kanannya diangkat dan dilekapkan pada pipi mahu merasai sentuhan terakhir daripada Puan Hajar. Kemudian, matanya dipejam.

"Ibu... sayang... Lea."

"Ibu... sayang... Lea."

Bibirnya digigit kuat bilamana ungkapan sayang yang diucapkan oleh Puan Hajar di atas ribanya tadi terdengar-dengar di halwa telinga. Itu adalah ungkapan sayang terakhir. Itu adalah suara Puan Hajar yang terakhir.

Selepas ini tiada lagi.

Tiada lagi suara ibunya menyuruh dia makan. Tiada lagi suara ibunya memujuk dia apabila dia terjaga daripada mimpi ngeri. Tiada lagi suara ibunya memberi semangat untuknya terus berjuang untuk hidup. Tiada lagi suara gelak tawa ibunya bercanda berusaha untuk membuat dia tersenyum.

Ibunya benar-benar sudah tiada.

Macam mana dengan dia? Macam mana dia nak teruskan hidup tanpa kehadiran ibunya? Selama 29 tahun dia hidup, tak pernah sekali pun mereka berpisah. Lalu, bagaimana dia harus menerima perpisahan yang tiba-tiba ini?

Perpisahan ini sungguh kejam. Tuhan mengambil ibunya tanpa dia rela.

"Ibu..." Air mata yang tak kering-kering dari tadi makin merembes laju.

"Kenapa ibu tinggalkan Lea..." Bahunya mula bergegar apabila esakannya mula tidak terbendung.

"Ibu tak boleh tinggalkan Lea macam ni." Serak suara bisikannya bersulam sedu tangisan. "Ibu janji takkan tinggalkan Lea tapi kenapa..."

"Lea, sayang."

Kelopak mata Azalea yang basah terbuka apabila lengannya disentuh lembut. Berkecai bayangan Puan Hajar dan diganti pula dengan susuk tubuh Datin Fatimah yang entah bila tiba dan duduk di sebelahnya.

"Mummy..." Begetar hiba suaranya memanggil Datin Fatimah.

Datin Fatimah mendakap erat tubuh longlai Azalea. Empangan air matanya pecah lagi. Lebih deras berbanding semasa dia mendapat berita kematian besannya yang dimaklumkan sendiri oleh Adam tadi. Sungguh, dia terkejut sampai jatuh terduduk. Sampai sekarang pun dia masih dalam rasa percaya dan tak percaya dengan pemergian mengejutkan itu.

"Ibu dah tak ada, mummy..."

Hanya anggukan kecil saja yang mampu Datin Fatimah balas mendengarkan itu. Dia juga bagai sudah hilang diksi untuk menenangkan Azalea. Kerana dia tahu ketenangan itu tiada bersama Azalea ketika ini. Mahu menuturkan sabar juga dia tidak mampu. Siapa yang mampu bersabar apabila diuji begini?

"Lea tak puas lagi hidup dengan ibu. Kenapa ibu pergi cepat sangat?" Azalea mengongoi di sebalik pelukan itu.

Makin pilu hati Datin Fatimah. Cecair jernih yang mengalir di pipinya makin mencurah-curah. Belakang badan Azalea diusap lembut. Bebola matanya terhala pada Adam yang masih belum selesai berurusan dengan pihak polis di hadapan bilik autopsi. Turut berada di situ beberapa orang doktor.

"Ibu tinggal Lea sorang-sorang. Lea tak biasa."

Datin Fatimah merenggangkan sedikit pelukan itu. "Lea tak sorang-sorang. Mummy ada. Daddy ada. Adam pun ada. Kami takkan biarkan Lea sorang-sorang. Kami takkan tinggalkan Lea." pujuknya.

Azalea menggeleng. "Ibu pun cakap macam tu. Tapi ibu tetap tinggalkan Lea. Nanti semua orang akan tinggalkan Lea."

"Tak, sayang. Lea jangan fikir..."

Kerana DendamWhere stories live. Discover now