Bab 39

11.3K 721 93
                                    

BALIK daripada membawa Azalea menziarahi pusara pagi itu, Adam terus bersiap-siap untuk ke pejabat. Sambil melilit tali pinggang, dia mengerling Azalea yang sudah terbaring di atas katil sambil memeluk baju arwah ibu mentuanya bersama juraian air mata yang tak tahu erti kering.

Itu sajalah pemandangan yang dia lihat sejurus saja Azalea bangun dari tidur selepas mengamuk padanya semalam. Sangkanya Azalea akan terus-menerus menyerangnya tanpa henti dengan pukulan dan tuduhan seperti sebelum itu. Tetapi dia silap. Azalea terus menyepi sendirian melayan perasaan sedihnya tanpa menghiraukan kewujudan dia atau sesiapa pun di dalam rumah ini.

Siap merapikan diri, Adam mengambil tempat di birai katil dan duduk menghadap Azalea yang mengiring ke kiri memandang balkoni. Sikit pun sorotan mata itu tak berganjak padanya. Lalu, dia menarik lembut lengan Azalea, membangunkan tubuh itu dari perbaringan dan sang isteri hanya akur tanpa kata.

"Lea." Serunya perlahan. Tiada sahutan balas tetapi iris mata yang berlinangan itu memandangnya. Ibu jari Adam menyeka lembut titisan air mata yang jatuh tanpa henti. Bertambah berat hatinya mahu meninggalkan Azalea begini tapi dia perlu juga ke pejabat.

"Aku nak pergi ofis dah. Kau okey aku tinggalkan kau sekejap?"

Senyap.

"Kau masih marahkan aku?"

Senyap lagi.

Adam membuang keluh di dalam hati. Sungguh, dia rela Azalea mengamuk dan menuduh dia macam-macam seperti semalam daripada terus berdiam diri memendam rasa. Sekurang-kurangnya, dengan begitu sedikit sebanyak dia dapat membaca emosi Azalea. Tapi kalau begini, dia tak tahu apa yang sedang bermain di dalam fikiran isterinya ini.

"Kalau kau masih marahkan aku, kau boleh pukul aku sekarang. Pukul sampai kau rasa puas." Tangan Azalea yang menggenggam baju arwah Puan Hajar dicapai dan diletakkan pada dadanya. Tetapi selepas beberapa saat, Azalea menjatuhkan semula tangannya dan kembali berbaring di atas tilam. Membelakangi dia.

Lagi sekali keluhan Adam terhembus. Badannya direndahkan sedikit, mendekatkan mulutnya di cuping telinga Azalea yang tertutup oleh rambut.

"Tunggu aku balik, okey? Aku pergi dulu," ujarnya sebelum mencium tepi kepala Azalea sekilas. Tiada juga apa-apa respons seperti tadi.

Keluar dari bilik, Adam pergi ke bilik Datin Fatimah pula. Daun pintu yang tertutup itu diketuk beberapa kali. Dengar saja suara mummynya dari dalam, terus pintu dikuak. Senyuman nipis dicarik sembari melangkah masuk mendapatkan Datin Fatimah yang sedang berdiri di depan almari yang terbuka.

"Adam dah nak pergi kerja?"

Adam mengangguk. "Adam minta maaf terpaksa susahkan mummy tolong jagakan Lea sementara Adam pergi kerja."

"Mummy tak kisah pun, Adam. Mummy tak rasa terpaksa pun." Lembut Datin Fatimah menjawab, tak mahu anaknya rasa bersalah.

"Tapi Uncle Norman pun perlukan mummy. Selalunya setiap hari mummy pergi hospital jaga Uncle Norman."

"Pasal Uncle Norman tu Adam jangan risau. Uncle Norman tentu faham. Lagipun keadaan Uncle Norman dah makin okey. Dekat hospital sana ramai yang boleh jagakan Uncle Norman. Tapi kat sini tak ada siapa yang boleh tengokkan Lea." Pintu almari ditutup. Datin Fatimah mendongak memandang Adam.

"Mummy pun risau nak tinggalkan Lea sorang-sorang dalam keadaan dia macam sekarang. Mummy takut benda sama yang pernah jadi dulu berulang lagi."

Dahi Adam berkerut sedikit tanda tak mengerti apa makna di sebalik bicara tersebut. "Benda yang pernah jadi? Apa maksud mummy?"

Datin Fatimah menarik nafas pendek. Tangan Adam dipegang. "Adam tahu kan Lea pernah cuba bunuh diri dulu? Mummy takut sangat Lea cuba buat macam tu lagi. Sebab tu mummy tak kisah jaga Lea 24 jam pun."

Kerana DendamWhere stories live. Discover now