Bab 40

13.3K 819 147
                                    

"INI diari arwah Uwais." Uzair menolak sebuah buku yang dibawa bersama kepada Adam.

Pandangan mata Adam berlabuh pada buku di atas meja sesaat sebelum kembali terpasak di halaman wajah Uzair. Kesan-kesan lebam akibat tumbukannya tempoh hari masih tertampal di wajah rakannya itu.

"Aku minta maaf. Aku tahu walau sejuta kali aku minta maaf pun tetap takkan dapat ubah apa yang dah berlaku. Aku pun tak nak paksa kau untuk maafkan setiap perbuatan keji yang Uwais buat pada Azalea. Kalau aku dekat tempat kau pun aku takkan dapat maafkan orang yang dah hancurkan hidup isteri aku." Bibirnya dibasahkan dengan lidah sebelum menyambung.

"Cuma itulah... dah tak ada cara lain lagi boleh aku tebus bagi pihak Uwais selain daripada minta maaf. Aku sendiri sampai sekarang masih tak dapat terima yang kembar aku sendiri tergamak buat benda sejahat itu. Mungkin dah terlampau kemaruk dengan Rose dan dibutakan dengan cinta perempuan tu sampai dia sanggup buat apa saja." Intonasi Uzair mula berubah datar. Betapa bencinya dia pada Rose setiap kali mengenangkan betapa manipulatifnya wanita itu.

Adam bersandar pada kerusi sambil berpeluk tubuh. Persoalan yang bertapak di fikirannya sejak mengetahui tentang Uwais sedia diutarakan.

"Kenapa kau tak pernah bagi tahu aku Rose dengan Uwais ada hubungan belakang aku masa kita sama-sama belajar dekat UK dulu? Kenapa kau rahsiakan daripada aku? Kenapa lepas dah bertahun-tahun baru kau terus-terang dengan aku?"

"Bukan aku sengaja rahsiakan daripada kau tapi aku memang tak tahu. Aku tak tahu sejak bila Rose dengan Uwais bercinta. Aku tahu semuanya lepas Uwais meninggal. Itu pun sebab aku terjumpa diari ni. Kalau tak, memang aku pun tak tahu," jawab Uzair dengan jujur.

Sungguh, dia tak tipu. Dia juga terkejut ketika menemui diari ini dan melihat sekeping gambar Uwais bersama Rose yang terselit di celah buku. Tak tercapai dek akalnya macam mana Rose yang sememangnya sudah diketahui ramai mempunyai hubungan cinta dengan Adam, menjalinkan satu hubungan rahsia dengan Uwais.

Bukannya dia tak tahu betapa sombongnya Rose sewaktu zaman belajar dulu. Wanita itu takkan sesekali mahu berkawan dengan golongan bawahan yang bukan setaraf dengannya. Sebab itu dia rasa aneh saat mengetahui Rose menjalin hubungan cinta dengan Uwais sedangkan Adam jauh meninggalkan Uwais dari segi harta benda dan status sosial.

Adam diam mencerna logika di sebalik jawapan Uzair. Boleh jadi Rose curang dengan Uwais semasa dia di Kanada. Tapi kalau diambil kira dengan garis masa penculikan Azalea, mungkin saja Rose dan Uwais sudah ada hubungan sebelum dia ke Kanada lagi.

"Uwais tak pernah langsung ke cerita kat kau pasal Rose?"

Uzair menggeleng kecil berserta senyuman tawar. Pandangannya dihala ke luar restoran. "Aku dengan Uwais bukan macam kembar yang lain. Kami langsung tak rapat. Aku tinggal dengan ayah aku. Uwais pulak tinggal dengan arwah mak aku lepas parents aku bercerai masa umur kitorang 10 tahun."

"Sejak tu, aku langsung tak dengar berita pasal Uwais dengan arwah mak aku. Aku tak tahu ke mana arwah mak aku bawak Uwais. Ayah aku ada jugak cari tapi tak jumpa. Sampailah satu hari, tiga bulan lepas, ayah aku beritahu Uwais tiba-tiba muncul kat rumah ayah aku." Bicara Uzair terhenti seketika apabila rasa sebu datang menghimpit di satu sudut hatinya.

"Ayah aku cakap Uwais datang cari aku tapi masa tu aku tak ada kat Malaysia. Aku ada kerja kat Munich seminggu. Dia ada call aku lepas tu tapi aku tak jawab sebab aku busy. Aku pun terlupa nak call dia semula." Bebola mata Uzair kembali singgah di wajah Adam.

"Kalau kau nak tahu, Uwais meninggal lepas sehari selepas kali kedua dia datang rumah ayah aku. Sampai sekarang aku marah dengan diri aku sendiri sebab tak call dia semula. Mungkin kalau aku call dia, keadaan akan berubah. Mungkin dia takkan mati." Hanya Tuhan saja yang tahu betapa ralat dia rasakan saat mendapat perkhabaran tentang kematian Uwais. Sehingga ke saat ini dia masih merasakan itu.

Kerana DendamWhere stories live. Discover now