TANGAN Azalea menggagau-gagau di ruangan sebelahnya. Tiada lekuk-lekuk. Yang ada cuma hamparan rata. Lalu kelopak matanya diangkat. Ternyata memang bahagian tilam di kanannya tidak berpenghuni seperti sebelum lenanya tadi.
"Adam?" Panggilnya perlahan sambil mengangkat sedikit kepala mencari figura Adam.
"Awak?" Kini torsonya terus menegak duduk di atas tilam. Tiada sahutan yang kedengaran. Lantas, dia turun daripada katil mahu mencari Adam. Keluar dari bilik, dia turun ke tingkat bawah.
"Adam?" Di tengah-tengah ruang tamu yang luas itu Azalea menanti kemunculan suaminya. Namun selepas seminit dua tak juga muncul. Bukan saja kelibat Adam, tetapi kelibat penghuni lain juga tiada.
Diangkat pula kakinya ke dapur. Tiada sesiapa juga. Ke mana semua orang? Mana Adam? Mana Datin Fatimah?
"Lea?"
Terkejut Azalea apabila namanya diseru dari belakang dengan tiba-tiba. Kepalanya ditoleh.
"Lea nak makan ke?" tanya Bik Yanti.
Azalea menggeleng. "Mana Adam?"
"Adam keluar tadi."
Mengendur kedua-dua belah bahu Azalea mendengar dua patah perkataan itu. Tanpa bicara dia melangkah naik ke bilik semula. Suara Bik Yanti memanggil-manggil namanya langsung tak diendahkan.
Dia berbaring di atas katil. Matanya dipejam. Badannya yang lemah tak bermaya membuatkan dia mahu baring saja tanpa berbuat apa-apa. Realiti terlalu melelahkan. Jadi, biarkan dia dalam dunia ciptaannya sendirian.
"Lea, sayang..."
Satu suara bisikan kedengaran lembut menyeru. Dia kenal suara itu! Dia rindukan suara itu saban hari. Lalu, mata yang terpejam tadi dicelikkan.
"Lea..."
Automatik kepala Azalea menoleh ke kiri apabila mendengar suara yang sama memanggilnya.
"Ibu?"
"Lea..."
Lagi sekali gegendang telinganya menangkap suara Puan Hajar. Lantas, dia terus bangun daripada katil dan melangkah ke arah balkoni. Mungkin ibunya ada di situ. Pintu gelangsar ditolak. Spontan senyumannya terkoyak lebar melihat figura Puan Hajar yang sedang berdiri di hujung balkoni.
"Ibu." Serunya perlahan sambil menapak mendapatkan Puan Hajar. Tetapi baru dua langkah, tiba-tiba susuk tubuh itu hilang daripada pandangan mata.
"Ibu?" Kepalanya dipaling ke kiri kanan mencari Puan Hajar di balkoni itu. Tiada.
"Sepatutnya kau yang mati!"
Pantas Azalea berpaling ke kanan apabila bisikan keras itu melintas bagaikan angin di tepi telinga. Tiada sesiapa juga. Hanya langsir pintu gelangsar saja yang bergerak lembut ditiup bayu.
"Bagi aku duit!"
"Kau ni memang nak mampus dengan aku!"
"Sakit, pak cik..."
"Mampus kau hari ni!"
Datang pula tempikan berang Pak Cik Mazlan dengan tiba-tiba. Jantungnya mula berdetak kencang. Setapak dia berundur ke belakang saat bayangannya dipukul bertubi-tubi tanpa ihsan menjelma di ruang balkoni itu.
"Kau kena pergi dari sini!"
Sekelip mata tayangan senario dia dan Pak Cik Mazlan hilang apabila bisikan lain pula datang mengetuk gegendang telinganya.
"Kau tak ingat kau boleh lari?!"
"Tolong!"
"Jangan buat aku macam ni..."
YOU ARE READING
Kerana Dendam
RomanceAdam Hirdy | Azalea **TRIGGER WARNING** READER DISCRETION IS ADVISED. This story may be upsetting for some readers, as it explores themes of mental illness and trauma. It also includes sensitive content such as sexual assault, violence, kidnapping...