ADAM melipat lengan baju kemejanya sambil memijak anak tangga turun ke bawah. Sempat dia mengerling jarum jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 7.05 pagi. Hari ini sengaja dia keluar awal dari rumah. Dia mahu melawat 'tahanannya' yang sudah lima hari tak dikunjungi kerana memberi perhatian sepenuhnya kepada Azalea.
Jadi, dia mahu mencuri sedikit masa di awal pagi ini untuk ke sana mahu memberi sedikit 'bekalan' kepada bunga tawanannya sebelum dia kembali fokus kepada Azalea yang akan pulang ke rumah tengah hari nanti. Betapa dia lega serta bersyukur sangat paru-paru serta organ dalaman Azalea yang lain-lain berfungsi dengan baik selepas beberapa kali melakukan ujian darah dah x-ray.
"Adam dah nak pergi kerja?" Soal Datin Fatimah sebaik sahaja melihat kelibat anaknya.
Adam mengangguk.
"Jom, breakfast dulu." Tangan Adam ditarik mengikut langkahnya ke ruang makan. Namun, Adam mengeraskan badannya.
"Mummy, Adam rasa tak sempat nak breakfast. Adam nak cepat." Alasan diberi.
"Bukannya lama pun. Mummy tengok sejak Lea masuk hospital, Adam abaikan kesihatan Adam sendiri. Makan minum Adam dah tak teratur. Terkejar-kejar dengan kerja, dengan nak jaga Lea lagi. Nanti kalau Adam pulak yang jatuh sakit macam mana?" Datin Fatimah menarik semula tangan Adam sambil mulutnya tak berhenti mengomel.
Tersenyum nipis Adam mendengar bebelan itu. Mahu tak mahu, dia terpaksa akur juga duduk di meja makan. Lagipun dia tak mahu mengecilkan hati Datin Fatimah. Sudah banyak kali dia menolak untuk duduk makan sekali setiap kali diajak makan bersama. Bukan dia tak mahu tetapi bila sudah letih selera makan pun tiada.
Menguruskan hal kerja dan Azalea dalam masa yang sama memang membuatkan dia rasa masa 24 jam sehari itu tidak mencukupi. Terkejar-kejar dia ulang-alik antara pejabat dan hospital. Tapi dia tak kisah. Penat macam mana sekalipun, tak pernah sehari pun dia tak pergi melawat Azalea.
"Kalau Adam sibuk, mummy boleh pergi ambil Lea tengah hari nanti," ujar Datin Fatimah sembari melabuhkan duduk berhadapan dengan Adam. Kemudian, dia mencedok bihun goreng ke dalam pinggan.
"Tak apa, mummy. Adam boleh pergi ambil Lea," jawabnya sebelum mencicip air kopi di dalam cawan.
"Adam dah buat keputusan pasal yang kita bincang kelmarin?"
Faham dengan maksud di sebalik soalan itu, Adam mengangguk perlahan. "Adam ikut cadangan mummy. Adam rasa memang itu yang terbaik. Lagipun Doktor Syarifah memang therapist Lea. Jadi, dia dah tahu semua pasal masalah kesihatan mental Lea. Eloklah kita proceed dengan Doktor Syarifah je untuk rawatan psikosis Lea tu."
Selepas dia memberitahu kepada Datin Fatimah tentang kemungkinan mengalami psikosis seperti apa yang diberitahu oleh Doktor Syikin, mummynya terus menyarankan dia membawa Azalea berjumpa dengan Doktor Syarifah. Bukanlah mereka tidak yakin dengan kemampuan doktor lain, tetapi lebih elok jika mereka teruskan saja dengan perkhidmatan terapi daripada Doktor Syarifah. Tak perlu diganti dengan doktor lain. Lagipula Azalea memang sudah selesa dengan doktor itu selama ini.
"Bila Adam nak bawak Lea jumpa dengan Doktor Syarifah?"
"Adam dah call Doktor Syarifah semalam. Dia cakap kalau ikutkan appointment Lea lagi seminggu." Bihun goreng dikunyah perlahan.
"Tak boleh cepatkan sikit ke? Mummy risau keadaan Lea makin teruk. Mummy takut sangat kalau jadi lagi benda yang sama. Pertama dan kedua mungkin kita dapat selamatkan Lea. Tapi kalau terjadi lagi untuk kali ketiga, mummy risau nasib dah tak menyebelahi kita." Penuh kebimbangan nada suara Datin Fatimah menutur baris-baris ayat tersebut.
YOU ARE READING
Kerana Dendam
RomanceAdam Hirdy | Azalea **TRIGGER WARNING** READER DISCRETION IS ADVISED. This story may be upsetting for some readers, as it explores themes of mental illness and trauma. It also includes sensitive content such as sexual assault, violence, kidnapping...