_ 32 - R E B A H -

170 25 0
                                    

Nota:

Bab ini dan seterusnya ditulis dengan memetik nama dan tempat bersejarah namun diolah secara fiksyen semata-mata. Dan protokol istana yang ditulis tidak mengikut aturan sebenar.

Selamat membaca.

* * *

"Tidakkah kau tahu bahawa kau itu sebenarnya bodoh?"

Restu yang terbaring di atas kedinginan lantai menjeling Cempaka di ruangan sebelahnya yang hanya dipisahkan dengan palang. Dia menarik nafas panjang seraya mengalaskan kepala dengan lengannya. Kedua-dua lutut diangkat tinggi sebelum dia menyilangkan kaki.

"Kau tidak buta, Cempaka. Kau hanya enggan membuka mata lalu membiarkan diri kau terperuk kekhuatiran dalam kegelapan kau sendiri ciptakan."

Mata bulat milik Restu menghala ke satu arah. Pandangannya lurus dilempar keluar daripada satu tingkap kecil pada bahagian atas dinding penjara itu. Bulan yang tergantung cantik di dada langit menjadi tatapannya. Lama.

Bibir Restu lantas menggaritkan senyuman tipis.

"Dan tidaklah kau buta, Cempaka jika kau mendongak ke langit sana. Mungkin sahaja kau lupa. Lupa bahawa ada bulan yang sentiasa menerangi malam kau bersama manik sinaran bintang. Mungkin kau juga sudah lupa bahawa ada mentari yang sentiasa menantikan kau keesokan hari. Fajarnya indah, bahangnya lelah namun setia sentiasa menyuluh jalanmu untuk kembali. Kembali menapak ke medan peperangan."

Cempaka terdiam lagi. Esakannya sudah terhenti. Liur yang berpasir ditelan pahit.

"Bukalah mata kau, Cempaka. Kelak kau akan melihat ada tangan yang setia memimpin kau untuk jalan perjuangan yang penuh onak dan duri."

"Buat siapakah aku berjuang? Aku terperangkap di sini tanpa berkemampuan ke atas apapun."

"Buat keluarga kau yang menanti kepulangan kau di sisi. Buat sahabat kau yang ditawan musuh durjana si kuku besi. Buat kerajaan ini yang semakin dilanda sepi. Dan buat ... buat hati kau yang dihujani petir tanpa henti."

Restu menoleh ke arah Cempaka sekejap cuma sebelum menyambung madah pujangganya, "setiap nafasmu juga satu perjuangan, Cempaka. Sudah memadai tatkala kau masih mampu bernafas hingga ke saat ini. Dan aku yakin. Akan ada huluran tangan yang kelak memimpin kau dalam perjuangan ini."

Sekali lagi bibir Cempaka dipaku bisu dengan kata-kata Restu.

Jiwanya yang kosong mula menyemai benih harapan. Nafas ditarik dalam. Mahu memberikan semangat juang buat semaian harapannya.

Dan aku takkan mati dengan sia-sia di dalam penjara ini. Tidak akan.

* * *

Riuh-rendah seisi Balairong Istana apabila para pembesar kecoh berbicara sesama sendiri. Bibir masing-masing becok mengutarakan khabar berita yang semakin hangat menggemparkan seluruh isi istana.

"Badai menghentam pesisiran pantai,
Roboh musnah rumah nelayan,
Rakyat jelata cerdik pandai,
Tingkah zalim mencanak bayaran," serangkap pantun dilemparkan bagi menzahirkan kegusaran yang bertandang di hati.

Pantunnya disambut keluhan dan gelengan teman pembesar yang lain.

Gong mula dibunyikan sehingga bergema kuat pada pendengaran mereka. Masing-masing segera menjahit kebisuan di bibir daripada terus menghamburkan kata dan hujah tanpa henti.

"Mengisytiharkan ... ketibaan Yang Mulia Baginda Paduka Sultan Daris Jamil Kelabu al-Buana bersama Raja Permaisuri Azalea El-Riza Aminuddin Shah diiringi Tun Bendahara Kencana ke Balairong Istana."

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now