BABAD 9

176 15 3
                                    

Rumah tumpangan Phinny dengan binaan paling mewah di Pekan Annara meriah seperti biasa.Membawa reputasi sebagai sebuah tempat yang selalu dikunjungi oleh kebanyakan para pembesar istana menjadikan rumah tumpangan itu lebih indah dan luar biasa keadaannya.Berbeza daripada rumah tumpangan lain yang terdapat di pekan tersebut-Rumah Phinny terasing sedikit daripada hiruk-pikuk Pekan Annara.

Terletak di atas sebuah kawasan yang sedikit tinggi berbanding rumah-rumah tumpangan dan deretan kedai ,Rumah Phinny malah lebih luas anjungnya dan terletak betul-betul di tebing sungai berbatu arah Barat Pekan Annara.Tiang-tiang besar yang menyokong atap anjung tidak berdinding itu kemas dengan ukiran yang halus sementara meja yang memenuhi anjung tersebut diperbuat daripada kepingan jubin yang mahal.

Daripada hiasan sehingga kepada makanan dan pemain-pemain muzik malahan kepada para pembantu atau pekerja-pekerja di situ,memang Rumah Phinny jauh diatas paras biasa rumah tumpangan lain di ibu kota.Bukan itu sahaja,bilik-bilik penginapan di Rumah Phinny juga lebih banyak berbanding rumah tumpangan lain.

Di dalam sebuah bilik yang paling besar dan mewah hiasannya,seorang lelaki separuh usia duduk tenang menghadap meja rendah dihadapannya yang menadah belasan pinggan berisi hidangan yang dihantarkan para pembantu dengan tertunduk-tunduk hormat.

Dengan adanya dia di situ,tidak mudah untuk sesiapa pun keluar atau masuk ke dalam bilik tersebut bukan sahaja kerana reputasinya sebagai antara orang penting Istana Darmenta,tetapi juga kerana kelibat beberapa orang pengawal yang siaga dengan pedang di tangan masing-masing.Berdiri takzim mengapit pintu bilik tersebut dan tidak akan pernah teragak-agak untuk menebas leher sesiapa sahaja yang menimbulkan kecurigaan kepada mereka.

" Berapa ramai lagi yang tahu?" tatapannya tajam menikam ke arah seorang pemuda yang bersila dengan riak gelisah di hadapannya itu.

" Saya tidak pasti,Tuan.Setakat ini,masih belum kedengaran desas-desus di seluruh ibu kota."

" Pastikan tidak ada sesiapa yang tahu mengenainya." Geramnya seraya mencampakkan gumpalan kertas yang keronyok itu ke lantai dengan wajah geram bukan kepalang.

" Baik,Tuan."

Rasa teh jernih yang membawa aroma lembut teh hijau dan kudup bunga itu mendadak tidak enak pada tekaknya membuatkan dia membanting cawan ke dinding.Perkhabaran yang dibawa oleh pengawal tersebut buat seketika menyebabkan darahnya mendidih.

" Setelah apa yang telah aku lakukan selama ini,ada orang yang cuba merosakkannya?"

Menggenggam penumbuknya terketar-ketar dan otot pipi yang menggerenyat berang,nafas yang berat menunjang dada dilepaskan sekaligus.Tidak.Dia tidak akan menyerah dengan sebegitu mudah.Tidak sama sekali !

Untuknya berada di tempat sekarang,dia sudah mengorbankan terlalu banyak hal.Kini,dengan segala-galanya sudah berada di dalam genggaman tangannya,bagaimana mungkin dia akan mengelah begitu sahaja?

* * *

Sementara itu,beberapa susuk tubuh lelaki dalam usia pertengahan lima puluhan sedang duduk bersila saling berhadapan antara satu sama lain sambil saling pandang memandang sesama mereka.Salah seorang daripada lelaki tersebut kelihatan paling gelisah antara semua.

Sehelai kertas yang sudah bergumpal itu ditatapnya dengan sepasang mata yang mengecil.Jika diperhatikan dengan saksama,urat-urat pada pelipisnya timbul dan ia sudah cukup menandakan kegelisahannya yang bukan sedikit.

" Menurut Tuan,siapa yang memulakan semua ini?"

Salah seorang daripada lelaki yang berada di situ memulakan perbualan dalam nada suara yang rendah dan amat berhati-hati kerana isu yang sedang dibincangkan mereka kali itu merupakan satu isu yang sangat sensitif.Tersilap sedikit sahaja nyawa mereka mungkin boleh melayang dan seluruh ahli keluarga mereka juga menghadapi risiko yang tidak kurang dahsyatnya.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now