Bab 1: Mana

2K 167 27
                                    

"RUDY tak hadir lagi harini?" soal Cikgu Lina, menggalas jawatan guru kelas untuk kelas tersebut.

Mereka yang lain di dalam kelas tersebut perlahan-lahan menggelengkan kepala. Tiada siapa tahu apa yang terjadi pada Rudy. Baru saja masuk sekolah, terus tak datang.

"Sudah masuk seminggu dia tak hadir," kata Cikgu Lina lagi, mengurut kedua belah dahinya.

"Penjaga dia pun tak cakap apa-apa," sambungnya pula berserta keluhan yang berat.

Satu kelas sunyi. Murid semua diam membisu umpama mayat hidup. Tiada siapa berani bersuara apabila guru kelas mereka sedang berbicara.

Cikgu Lina bukanlah guru yang garang, malah cikgu ini sangat lembut dan toleransi. Namun melihat keadaan guru mereka yang selalunya tenang ini menjadi serabut memikirkan seorang pelajar yang membuatkan masalah, mereka jadi terdiam dan tergamam.

"Weyh!" bisik Suria, menyiku lengan Iman yang duduk di sebelahnya.

Mata Iman automatik ditala memandang Suria.

"Asal kawan kau tak datang?" tanya Suria berbisik.

Iman sekadar menjongketkan bahunya sahaja, tanda tidak tahu. Dia bukan menipu tapi memang betul, dia tak tahu ke mana hilangnya kawan yang seorang itu.

Kali terakhir dia berjumpa dengan Rudy pun minggu lepas semasa di pusat rawatan M.A.T.A. Lepas saja daripada itu, bayang lelaki tersebut pun Iman sudah tidak nampak.

"Takda siapa di dalam kelas ni yang rapat dengan Rudy ke?"

Pantas jantung Iman berdegup laju. Tangannya menjadi basah tiba-tiba. 

Jika rapat yang dimaksudkan guru itu adalah kenalan, jawapan Iman adalah ya. Tapi kalau rapat yang dimaksudkan adalah kawan, Iman hanya mampu menggelengkan kepala.

"Takda rasanya cikgu," jawab salah seorang murid perempuan di dalam kelas itu.

"Falah?" soal Cikgu Lina pada ketua kelas.

"Dia memang langsung tak bercakap dengan kitorang cikgu," jawab Falah sambil menggeleng kecil.

"Dia macam sombong pun ada."

Iman pantas mengalihkan pandangannya memandang lelaki di suatu sudut di dalam kelas tersebut. Tercantum keningnya.

"Haah, cikgu. Saya tak rasa dia ada kawan."

"Ya?" soal Cikgu Lina ingin kepastian.

"Ya, cikgu. Macam anti sosial pun ada. Kuat jeling orang pulak tu."

"Kalau ikutkan, dia dah kena gantung kan, cikgu? Kena buang sekolah."

Tangan Iman tergenggam sendiri tanpa sedar. Mendengar rakan-rakan sekelasnya mengutuk dan mengumpat Rudy, Iman pula yang rasa... 

Sakit hati.

Iman menundukkan kepala ingin menyembunyikan kerutan dahinya yang tebal. Kalaulah Iman punya hak dan dibenarkan untuk bersuara bagi pihak Rudy, sudah lama dia melontarkan hakikat yang sebenar.

Rudy tak sihat. Dia sakit. Rudy sakit kerana menolong dirinya. Dan sebagai ganti, ingatan lelaki itu ditarik dan tidak tahu bila akan dikembalikan semula.

Memang mudah sungguh untuk manusia menyalah anggap dan memikirkan yang bukan-bukan daripada mengambil masa dan cuba memahami. Tak semua perkara di dunia ini boleh dijelaskan dengan mudah.

Tak semena, Suria menempatkan tangannya pada tangan Iman. Gadis itu tersentak dan lantas memandang kawannya yang di sebelah. Tak lama tangan itu ditarik semula.

ιиgαткαи ∂ια [яυdyмαη] - REWRITE PROCESSWhere stories live. Discover now