BABAD 16

108 16 8
                                    

Ruangan tersebut sempit dan terasa menyesakkan nafas. Dinding berupa susunan batuan yang pejal dan kukuh mulai berlumut.Ada bau pengap dan hancing yang bercampur-baur dan ia merupakan aroma gabungan antara air yang menitik dari langit-langit,kotoran manusia serta sisa-sisa makanan yang basi.

Satu-satunya cahaya yang menerobos masuk ke dalam ruang sempit tersebut ialah sejalur cahaya yang menerobos satu lubang yang ditebuk semberono nun di atas sana.Direka sebagai saluran pengudaraan dan amat mustahil untuk sesiapa sahaja mampu lolos dari ruangan tersebut.

Dari keadaanya yang begitu,jelas ruangan tersebut tidak layak untuk ditempati oleh manusia.Sempit,gelap dan pengap malahan ia lebih sesuai untuk tempat tikus dan kelawar beranak-pinak.

Tatkala mendengar bunyi tapak kaki dari kejauhan,susuk tubuh yang meromok di dalam kegelapan tersebut pantas bangun mengheret kakinya yang dibelenggu ke dindig yang kasar dan berat .Hampir serta-merta juga ada bau asap menyerbu indera baunya.Tekaannya tidak meleset.

Dari jangkauan api obor yang dipegang salah seorang daripada susuk berzirah tersebut,dia tahu kedua-duanya adalah para pengawal yang ditugaskan untuk menghantarkan makanan kepadanya.Jika beruntung,makanan akan dihantarkan tiga hari sekali dan bukan pula tidak pernah dia berlapar hampir seminggu lamanya dan menyambung hidup dengan menadah titisan air dari langit-langit untuk diminum.

Berada di dalam ruangan tersebut,dia hanya mengetahui perguliran waktu antara siang dengan malam dengan jalur cahaya yang menerobos lubang di atas sana maka dia tidak tahu sudah berapa lama dia dikurung di situ.Ada masanya ingin sahaja dia mengakhiri hidupnya sendiri kerana layanan dahsyat yang diterimanya tetapi dia tahu dia perlu terus hidup agar boleh keluar dari tempat tersebut.

Beberapa waktu lama dahulu sebelum semuanya berubah secara tiba-tiba,dia hanyalah seperti orang kebanyakan yang lain.Golongan petani yang mengusahakan tanam-tanaman untuk memenuhi keperluan keluarga dan jika ada yang lebih,dibawa ke pasar pagi untuk diperdagangkan.

Dia rakyat marhaen yang taat kepada pemerintah dan tidak banyak tingkah kerana bagi orang kebanyakan sepertinya-mengharapkan golongan bangsawan dan barisan petinggi kerajaan untuk perduli kepada mereka adalah suatu perbuatan yang sia-sia.

Rakyat akan tetap hidup sederhana,membanting tulang demi kelangsungan hidup keluarga sedangkan para bangsawan dan para menteri di istana sana lebih memilih untuk leka dalam gelumang politik dan cita-cita serakah mereka untuk terus memadatkan kantung masing-masing dengan tumpukan-tumpukan siling tembaga,perak dan emas.

Seolah-olah sahaja kekayaan nan tidak terhabiskan sehingga tujuh keturunan itu mampu menundakan kematian masing-masing !

Hal yang paling membuatkan dia tertanya-tanya adalah kesalahan apa yang telah dilakukannya terhadap Kerajaan Darmenta sehingga dia dihukum sedemikian rupa.Dia orang kebanyakan tetapi lahir dengan kemampuan menerawang bintang yang mempercayai bahawa setiap gugus bintang yang tergantung di dada langit sebenarnya membawa perkhabaran yang tersendiri.Tidak dihargai juga tidak mengapa tetapi jika anugerah itu dianggap tabu dan pembawa petaka, apa lagi yang boleh dilakukannya?

Lalu kerana itu,dia dikurung jauh dalam penjara bawah tanah setelah seluruh keluarganya dihukum bunuh . Sebenarnya hukuman tersebut tidak jauh bezanya daripada dijatuhi hukuman bunuh.Apa lagi yang tinggal dalam keadaannya begitu? Tidak ada ! Dan alasan mengapa dia dihukum demikian adalah kerana orang-orang sepertinya dianggap mampu mendatangkan ancaman kepada keharmonian Kerajaan Darmenta.Masuk akalkah semua itu?

Semakin mendekat, imej khas susuk lelaki
berpakaian tentera itu semakin jelas.Membawa obor dan satu ketulan yang dibungkus dengan daun serta bekas air minuman yang berkarat.

Dua biji keledek bakar yang dihulur kasar dari bawah kekisi rapat di depan pintu bilik kurungan dicapai dengan jari yang menggeletar.Dalam simbahan nyala kuning obor yang dipegang dua tentera itu,sempat dalam lirikan sesekali dia melihat riak wajah dua tentera berbaju besi itu menatapnya seperti dia adalah longgokan sampah yang perlu dijauhi.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now