BABAD 18

131 18 13
                                    

Euforia perayaan terus terasa sebaik sahaja memasuki gerbang utama Pekan Annara.Kerana Istana Darmenta dibina di atas sebuah kawasan yang lebih tinggi, maka walaupun pintu gerbang menuju istana dibuka hanya sebelah-lorong batu hampar menuju ke pintu utama istana tetap sahaja kelihatan dari jauh.

Sengaja dibina sedemikian rupa untuk tujuan perlindungan dan keselamatan, batu hampar yang disusun rapat antara satu sama lain kelihatan kelabu -serasi dengan warna bumbung tirus  yang menyembul antara kubah utama Istana Darmenta.

Tiang-tiang layar kapal yang berceracak di pelabuhan, Pekan Annara yang jauh lebih bersih dan meriah dengan kibaran panji baldu berwarna hijau bertekat benang keemasan dan derap telapak berladam kuda-kuda tunggangan yang memasuki istana kota membuatkan Athreyu tergamam dan termangu-mangu di bawah gerbang utama yang gagah merengkuh kedua-dua belah jalan berbatu hampar kelabu tersebut.

Ketika berjarak hanya beberapa langkah daripada pos kawalan dengan beberapa orang pengawal garrison lengkap bersenjata sedang berkawal dan memeriksa para orang awam yang lalu –lalang memasuki istana kota,Athreyu segera turun dari kuda yang ditungganginya itu.Melangkah perlahan seraya menarik tali kekang kudanya.

Berbanding hari-hari biasa,sepertinya kawalan yang dilakukan oleh para pengawal lebih longgar daripada kelazimannya.Pasti tidak mahu merosakkan suasana sambutan hari kelahiran putera kedua Kerajaan Darmenta.Tetapi walaubagaimana sekalipun,para pengawal yang mengawasi pintu masuk ke istana kota tetap sahaja bersiaga dengan senjata di tangan masingt-masing.

Dia meninggalkan Permukiman Lemuria awal subuh dan tiba di Pekan Annara tepat ketika matahari sedikit tergelincir ke langit Barat.Sebenarnya perjalanan tidaklah mengambil masa yang terlalu lama sedemikian jika bukan Kaii berkeras ingin mengikutinya walaupun ditegah oleh ayah mereka sementara dia sendiri tidak pernah melihat gurat tekad sebegitu pada bingkai wajah adiknya .

Maka,dengan peringatan yang tidak putus-putus daripada sang ayah mereka memacu kuda tunggangan ketika bulan masih mengintip-intip dalam gumpalan awan yang sedikit tebal.

Sebenarnya,jauh di sudut hati Athreyu mahu sahaja mengabaikan permintaan Aazael yang entah bagaimana secara ajaibnya tiba-tiba sahaja merupakan putera mahkota Kerajaan Darmenta.Mengingati kejadian di halaman rumah beberapa minggu yang sudah kadangkala membuatkan Athreyu panas dingin.

Terlalu banyak hal yang ingin ditanyakannya kepada Kaii tetapi jelas sekali adiknya itu cuba untuk mengelakkan diri daripada menjawab segala persoalan yang ingin diutarakan kepadanya.

Persoalan utama pastinya tentang bagaimana dan apa sebenarnya yang telah berlaku sehingga adiknya boleh terlibat dengan Putera Amadeus sementara itu bukan sebuah kejadian lazim apabila melihatkan seorang putera mahkota berlumuran darah dengan sebilah anak panah tertancap pada pinggang sebelah kanannya.

Lalu, siapa pula gerangan manusia berani yang cukup berhati kering untuk melakukan hal tersebut kepada putera mahkota kerajaan yang menjadi junjungan para rakyat jelata?

Baginya sendiri, boleh sahaja dia mengelakkan diri untuk tidak datang ke ibu kota sesuai permintaan putera mahkota sendiri tetapi sebagai rakyat biasa,kata-kata para bangsawan terutama sekali keluarga diraja bagaikan telah menjadi satu undang-undang tidak bertulis yang harus dipatuhi manakala ingkar arahan pula bukan satu kebiasaan dalam keluarga mereka.

Sementara itu,Kaii yang masih berada di atas pelana resah tidak keruan.Pemergian Athreyu ke ibu kota benar-benar membuatkan dia tidak menentu.Dia sudah berjaya mengelakkan punca kejadian yang bakal membuatkan Athreyu datang ke ibu kota untuk membalas dendam terhadap putera mahkota dengan menyelamatkan putera tersebut tetapi entah mengapa abangnya tetap sahaja memasuki ibu kota walaupun disebabkan oleh alasan yang jauh berbeza.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now