BABAD 19

99 17 3
                                    

Barangkali berpegang dengan kenyataan bahawa mencecah umur 23 tahun hanya berlaku sekali dalam seumur hidup maka ia haruslah diraikan secara besar-besaran dan itu adalah penjelasan paling logik yang dirasakan Athreyu setiap kali melihat semarak hiasan yang memeriahkan segenap sudut istana kota sehinggakan dia kerap benar tercengang-cengang sendiri.

Panji biru tua bertekat benang keperakan yang berkibaran di atas pos-pos kawalan,lampu hiasan dan tanglung bergantungan pada tali yang merentangi halaman istana,kain berwarna-warni dan bunga hiasan yang memenuhi sudut serta halaman istana sudah cukup menggambarkan kemeriahan upacara sambutan hari kelahiran Putera Ardius nanti.

Bukan sahaja hiasan,malahan kesibukan para dayang dan pekerja istana ke hulu-ke hilir mengerjakan sesuatu juga menempiaskan euforia meriah majlis itu kelak.Rumpun tanaman renek berdaun hijau yang tebal dan berkilat dipangkas sama rata sementara setiap helai daun tua yang gugur dari rantingnya tidak kelihatan di atas permukaan rumput halaman hadapan dan sisi istana.

Arca batu bersih tidak berlumut sementara kolam besar di sisi kanan istana lebih jernih airnya dan kuntum-kuntum teratai putih kembang mekar dalam riak air yang beralun perlahan.

" Tunggu sebentar "

Salah seorang daripada pengawal istana yang menjalankan rutin rondaan sekitar halaman depan istana Darmenta yang megah itu menahan langkah Athreyu yang sebenarnya lebih banyak berhenti kerana mengagumi kemeriahan istana .Panggilannya membuatkan pemuda itu memaku langkah lalu menoleh.

" Saya Athreyu dan ini adik saya,Kaiiara." Sambil berkata sedemikian Athreyu mengeluarkan plak pengenalan keluarga mereka lalu menyerahkan plak tembaga tersebut kepada sang pengawal yang serta-merta menyambutnya." Keluarga Eleius dari Permukiman Lemuria."

" Maafkan saya,tuan .Tetapi boleh saya tahu apa hajat tuan datang ke mari?"

" Ini.." Athreyu menghulurkan pula plak perak yang diberikan Aazael kepadanya dari dalam saku." Kami datang ingin bertemu dengan Tuan Medeia "

Melihat plak perak tersebut sempat pengawal keselamatan tersebut menatap mereka berdua dengan tatapan menyelidik kerana dia kenal plak perak itu.Di Balai Temenggung hanya Tuan Medeia yang memiliki plak serupa dan jika pemuda itu memiliki plak yang sama bermakna dia bukan calang-calang orang.

Plak perak tersebut hanya dimiliki oleh para petinggi kerajaan yang berpangkat jeneral dan bilangan mereka yang memiliki plak sama dalam Kerajaan Darmenta tidak pun sampai lima orang.Jeneral yang menguasai 2 Legius yakni menyamai dua batalion ketumbukan tentera dengan kekuatan seramai sepuluh ribu orang.

" Maaf sekali lagi kerana tidak mengenali Tuan Athreyu.Persilakan ikut saya." Tangan pemuda yang lengkap berpakaian seragam tentera Kerajaan Darmenta itu mendepa hormat ke kanan.

Balai Temenggung yang menjalankan fungsi terus di bawah portfolio Kementerian Undang-undang Kerajaan Darmenta terletak di sebelah kanan istana kota.Sebuah binaan berasingan yang dikelilingi tembok batuan dan satu-satunya jalan bagi memasuki kawasan tersebut ialah dengan melalui sebuah gerbang kayu yang tinggi dan kukuh serta pemeriksaan ketat para anggota garrison Balai Temenggung.Selepas melepasi pemeriksaan identiti dan kedatangan mereka dicatatkan dalam sebuah daftar masuk berupa lembaran kertas papirus yang dijilid rapi,Athreyu dan Kaii akhirnya tiba di halaman utama Balai Temenggung.

Sementara menunggu peronda keselamatan tersebut memanggil seseorang yang diyakini Athreyu sebagai Tuan Medeia,pandangan matanya ralit memerhatikan keadaan sekeliling.Jika halaman Balai Temenggung tersebut tidak dipenuhi puluhan susuk pemuda yang datang dari segenap pelusuk negara,pasti halaman tersebut tampak luas.

Di sebelah kanannya, ada binaan-binaan panjang yang mengapit sebuah lorong pejalan kaki.Rumah panjang dengan beranda saling bersambung yang memiliki belasan pintu bertutup erat.Bersih,rapi dan terjaga maka hampir pasti bilik-bilik tersebut merupakan berek kediaman para anggota pasukan keselamatan Balai Temenggung.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now