Assalamualaikum 2025!
Masih tak terlewat untuk aku ucapkan selamat tahun baru kan? Dan, selamat menerjah ke bulan mulia, bulan Rejab!
Hurm... tahun baru. Mestilah ada azam baru kan? Tapi... azam tahun lepas macam mana?
Heks!
Azam tahun lepas pun tidak kesampaian. Sebagai seorang penulis(penuliskah?), azam 2024 aku adalah untuk kusiapkan karangan cerita. Namun hampeh! Sama seperti azam-azam tahun sebelumnya. Kalau ditanyakan soal azam sebagai insan penuntut ilmu, target aku tidak terealisasikan. Namun alhamdulillah tidak jauh tersasar lagi.
Maka, azamku pada tahun 2025 ini aku mahu mencari solusinya. Disamping itu menjadi seorang yang lebih produktif.
solusi?
Ya, solusi kepada semua azam yang tidak tercapai.
Tidak perlu fikir panjang atau tunggu sambungan berepisod panjangnya, sudah aku temukan solusi. Akalku dijentik kesedaran dunia nyata setelah merenung lama satu 'posting' milik Sir Iqbal. Tidak perlu diulas lebih detil tentang insan hebat ini. Yang perlu aku ingin highlight kan di sini adalah posting beliau berkenaan POPCORN-BRAIN.
Di mana setelah aku hadamkan penjelasan beliau, aku kira masalah ini tersangatlah membahayakan. Dan, inilah yang membawa aku tersasar jauh dari jalan kejayaan.
Aku perasaan, memang diri aku mengalami simptom POPCORN-BRAIN ini.
Fokusku senang sekali teralih. Minatku terhadap sesuatu seringkali berubah. Seakan ada pergolakan pendirian dalam diri aku. Membuatkan aku menjadi tidak konsisten. Kesabaranku jadi tipis. Segala maklumat sukar kuterima dan kufahamkan sebaik mungkin.
Bahaya. Sangat bahaya jika aku tidak ubah secepat mungkin.