P R O L O G | Dia.

1.5K 83 30
                                    

Coming soon, insya Allah.

Expect nothing from this book so you won't get disappointed. Mungkin akan update bab baru setiap jumaat, sabtu & ahad. We'll see cemana nanti.

*****

DERAS dia berlari di dalam kepekatan malam. Sesekali kepala menoleh ke belakang untuk mencari kelibat seseorang.

Masih ada!

Insan itu masih mengekori dia!

Ya Tuhan, detik-detik sebeginilah dia membenci fizikal badannya. Gempal dan berisi lalu menyukarkan dia untuk berlari. Entah-entah sepuluh langkah dia berlari, bersamaan dengan tiga sahaja langkah insan tersebut.

Dia pandang depan semula. Tahap kelajuan cuba ditingkatkan tapi detik itu juga, bar tenaganya sudah jatuh menjunam. Mungkin hampir mencecah sifar. Dalam keadaan termengah-mengah dan separa membongkok sambil tangan mencengkam kepala lutut, mata dilingaskan ke serata tempat.

Tadi sewaktu dia terlalu fokus melarikan diri daripada insan itu, dia tak sedar dia sudah tiba di lorong belakang kedai yang dipenuhi tong sampah dan kotak-kotak yang menjelikkan. Bayu malam meniupkan aroma kurang menyenangkan kepadanya, langsung dia sekat nafas kerana tidak rela menghirup udara kotor sebegitu.

Pap.Pap.Pap.

Dalam keheningan, bunyi derap langkah itu kedengaran begitu jelas. Automatik tubuhnya melurus. Bulu tengkuk serasa merinding tiba-tiba. Apalagi berdasarkan daya imaginasinya, dia membayangkan insan tersebut sedang menapak ke arahnya sambil menyeringai.

Ah, kian melambung degupan jantungnya!

Tika itulah matanya tertancap pada tong besi hitam yang besar. Demi keselamatan nyawanya, dia tidak berfikir untuk sedetik lebih. Terus badan dihumban ke dalam tong busuk itu lalu dia tahan nafas sekali lagi. Terasa ada cecair dan beberapa objek yang mampu membuatkan dia mual tapi tangan cepat-cepat menekup mulut. Ditahan-tahan dirinya daripada melepaskan segala isi perut.

Dia tak boleh termuntah sekarang. Itu hanya akan mendedahkan keberadaannya!

Pap.Pap.Pap.Pap.

Semakin kuat tangan melekap ke hidung dan mulut. Betapa dia berharap tong besi ini berupaya menelan dia. Mata terkelip-kelip memandang dada langit yang gelap gelita, dalam pada dadanya berdebar-debar. Tiba-tiba dia rasa menyesal pula kerana terlupa untuk menarik penutup. Sekurang-kurangnya kalau dia tarik penutup, semakin tipis peluang untuk insan itu menemuinya.

Setelah beberapa minit berlalu, dia sedar sesuatu. Tak ada lagi bunyi langkahan seseorang. Telinga cuba ditajamkan, cuba menangkap mana-mana bunyi pernafasan tapi yang kedengaran hanyalah bunyi-bunyi pergerakan binatang-binatang yang selalu mendiami kawasan kotor seperti ini. Bunyi lipas dan tikus bersahut-sahutan seolah-olah mereka sedang berkomunikasi dengan satu sama lain.

Sudah terlalu lama waktu berjalan, barulah dia yakin untuk menjatuhkan tangan.

"Huhhh..." Panjang hembusan nafas dilepaskan. Dada naik turun sewaktu menjemput udara keluar masuk dari rongga pernafasannya.Syukurlah. Syukurlah dia sudah selamat. Sekarang, dia perlu keluar dari sini dan segera ke balai polis berdekatan. Dia perlu buat laporan kepada pihak berkuasa tentang ancaman nyawa ke atasnya. Dia perlu cari tahu kenapa tiba-tiba dia menerima amaran bunuh dan tanpa sebarang kesempatan untuk mempersiapkan diri menghadap ancaman, dia dikejar oleh seseorang.

Dia mengangkat badan tanpa berlengah. Sedikit sukar untuk keluar dari tong besar ini tapi dia gagahkan diri jua.

"Akhirnya kau keluar juga."

Mata automatik membulat dan melingas mencari punca suara tersebut. Lagi, bunyi derap langkah kedengaran. Seiring itu juga, seseorang keluar dari kegelapan. Terima kasih kepada cahaya rembulan, figura insan itu kelihatan semakin jelas di setiap langkahnya.

Insan yang berbaju dan berseluar putih sedang berdiri sambil memeluk tubuh. Rambutnya lurus dan panjang hingga ke pinggang, hitam berkilat. Dua ulas bibir yang berwarna merah terang itu mampu menggamit perhatian sesiapa sahaja.

Termasuklah dia.

Yang tadinya bersungguh-sungguh cuba melarikan diri dan bersembunyi, sekarang pegun di tempatnya dengan mata terbuntang luas. Setia memerhati si baju putih tanpa berkedip hatta sekali.

Masing-masing menyepi. Hanya tautan mata menjadi penghubung, seolah-olah mereka sama-sama terlupa apa yang sedang berlaku. Sepertinya dunia kini hanya berkisarkan mereka berdua sahaja.

Dia.

Dan wanita itu.

YUKI (Twisted Tales: Queen Series #1)Where stories live. Discover now