Bab 5

53 7 0
                                    

"Along, jomlah balik... Dah pukul enam ni..." Indah berdecit dan mengerling sekilas pada jarum jam pendek yang tepat pada nombor enam itu. Sudah setengah jam dia menunggu Irzan yang masih sibuk dengan kerja.

Malah Irzan hanya menggumam sebagai balasan. Dia masih sibuk menulis sesuatu di atas kertas.

"Ish, along!"

"Ya ya... kejap..." Irzan menolak perlahan kunci kereta.

"Pergi start enjin, duduk dulu dalam kereta. Along ada kerja nak kena settle hari ni juga. Nanti kerja dah siap along datang."

"Hmmm..." Indah mencebik tanda tidak mahu.

"Indah Daliya... dengar cakap along, please? Along sibuk ni."

"Fine!" Kakinya terus dihentak dan laju dihayun pergi dari situ. Sempat kunci kereta dicapai. Pergi dengan rasa tidak puas hati.

Pintu kaca hotel terus ditolak dan kakinya melangkah ke arah kereta namun terbantut sejenak saat bahunya ditepuk dari arah belakang. Lekas-lekas Indah berpaling ke belakang.

"Puan?" Indah terpempan dengan wanita itu bersama dua orang lagi gadis.

"Sorry, nak minta tolong boleh?"

Indah angguk laju, "Tolong apa tu, puan?"

"Tadi saya order Grab sebab nak pergi Restoran Bayu, tapi driver Grab ni tiba-tiba cancel. Saya nak order balik tapi tak reti. Nak minta tolong anak saya yang sulung tu ambil kami pun, dia masih belum balik kerja," ujar wanita itu sambil menggaru kening.

"Oh, tak apa puan. Saya boleh bawakkan. Restoran Bayu tu dekat aje dari sini. Tak sampai 15 minit pun."

"Hah, tak susahkan ke?" Wanita itu tampak kurang senang, serba salah.

"Tak, puan. Jomlah saya bawa. Tapi sekejap." Indah terus berlari masuk ke dalam hotel semula, meminta izin Irzan untuk menggunakan kereta lelaki itu sebentar memandangkan lelaki itu sendiri sedang sibuk. Setelah mendapat keizinan Irzan, Indah terus menjemput mereka bertiga masuk ke dalam kereta.

"Terima kasih, susahkan kamu saja," kata wanita itu selepas kereta meluncur perlahan-lahan membelah jalan raya.

"Tak ada apa, puan. Hehe."

"Janganlah panggil puan, panggil aunty saja. Nama aunty, Caera. Panggil aunty Caera." Wanita yang memperkenalkan nama sebagai Caera tersenyum lagi. Sungguh, wanita itu langsung tidak kedekut dengan senyuman.

"Yang dua orang belakang ni anak aunty, kembar tak seiras. Yang kakak nama Julia, yang adik nama Jaina. Maaflah, pendiam sikit dua-dua ni," sambung Aunty Caera lagi sejurus mengundang senyum manis di bibir Indah pula. Aunty Caera pandai bermain dengan situasi supaya mereka tidak kekok.

"Saya Indah. Indah Daliya." Sopan Indah memperkenalkan diri. Tipulah jika dia tidak rasa gementar kerana wanita di sebelahnya ini ialah ibu Jay! Tetapi dia hanya berlagak tenang.

"Indah? Sedapnya nama... Pertama kali aunty dengar nama tu." Aunty Caera senyum lagi.

Lagi.

Indah tersenyum kekok dan fokus memandu hingga tiba di restoran yang dimaksudkan. Restoran Bayu.

"Terima kasih banyak-banyak, Indah. Aunty-"

"Mama! Itu Jay!"

Aunty Caera terus tersentak dan memandang ke arah luar tingkap. Tidak tunggu lama, wanita itu terus meluru keluar diikuti Julia dan Jaina. Di luar kereta, Aunty Caera terus memeluk erat Jay yang masih tidak bersedia dan bingung.

Indah simpul senyum. Comelnya...

Aunty Caera dan Jay berpelukan buat beberapa minit sebelum dua orang gadis kembar itu pula yang memeluk Jay bergilir-gilir.

Indah kemam bibir. Dia tidak boleh menipu perasaan sendiri yang di hadapan matanya, layanan yang Jay beri pada keluarga lelaki itu sendiri sangat lemah lembut. Wajah Jay juga tampak sangat gembira.

"Seronoknya dapat peluk mak sendiri..." Indah tepuk-tepuk bahu sendiri, cuba mengusir jauh rasa cemburu jelas sedang perlahan-lahan menapak dalam hati.

"Indah, marilah sini!"

Indah terus tersentak saat namanya dipanggil Aunty Caera. Wajahnya diangkat perlahan-lahan. Matanya terus bertembung dengan sepasang mata Jay yang tampak keliru dan tidak tahu apa-apa. Dahi lelaki itu berkerut-kerut.

Tidak betah berlama-lama di situ, Indah terus keluar dari kereta dan berdiri di sebelah Aunty Caera, berhadapan Jay.

"Indah? Kau buat apa dekat sini?"

Belum sempat Indah mahu membalas, Aunty Caera terus bercekak pinggang dan memandang Jay, lama. "Eh, kau kenal nya? (Eh, kau kenal dia?)"

"Aok, nya kawan kamek. (Ya, dia kawan saya.)"

"Kenak kau sik berik tauk mama? (Kenapa kau tak bagitahu mama?)" Aunty Caera jongket sebelah kening.

Jay garu kepala tidak tahu hendak balas apa. Dia hanya tersenyum kecil sebagai balasan.

Aunty Caera mengeluh lalu bahu Indah dipaut, "Tadi Indah tumpangkan kami datang sini."

Jay terus meluruskan pandangan pada Indah, "Betul ke? Sorry, aku baru aje balik kerja. Baru sampai sini tadi tak sampai lima minit. Aku fikir diaorang naik Grab."

"Oh, tak apa. Tadi Aunty Caera cakap Grab cancel, itu yang saya tumpangkan. Alah tak apa, dekat aje pun." Indah sengih. Dia tidak mahu Jay fikir yang keluarga lelaki itu telah susahkannya. Padahal tidak. Jarak dari hotel ke restoran ini bukannya jauh.

"Terima kasih." Kali ini giliran Jay pula yang mengucapkan terima kasih.

"Sama-sama. Saya minta diri dulu."

"Errr sekejap. Nak join kami makan sekali tak?" pelawa Jay.

"Eh? Tak apa tak apa. Saya tak nak menyibuk." Indah garu kepala. Malu!

"Haah, Indah. Marilah join kami sekali. Mana ada sibuk pun, lagi ramai lagi seronok," pujuk Aunty Caera.

"Lain kali ya, aunty. Saya kena balik ni," tolak Indah. Dia dapat lihat dengan jelas wajah Aunty Caera berubah keruh.

"Sorry tau aunty, Jay. Sorry."

"Tak apalah, nanti kita jumpa lagi tau." Bahu Indah ditepuk lembut oleh Aunty Caera. Dia sudah selesa dengan gadis itu.

Indah angguk, "Saya balik dulu. Bye!" Sempat bahu Aunty Caera dipeluk. Tangannya dilambai pada Julia dan Jaina, kali ini kembar itu turut tersenyum dan melambai semula.

.....

Indah menguap perlahan. Lampu tidur di sebelah ditutup, meninggalkan ruang bilik tidur menjadi gelap tanpa cahaya serta merta.

Sejenak, fikirannya kembali menerawang pada peristiwa petang tadi. Hanya satu, dia tak boleh lupa bagaimana wajah beku Jay selama ini boleh berubah sekelip mata saat berjumpa dengan keluarga. Bagi Indah, entahlah. Sangat mengharukan. Indah boleh nampak yang Jay sangat sayangkan Aunty Caera, Julia dan Jaina.

Ting!

Indah angkat wajah, rambut yang menutupi mata diraup sejenak. Telefon pintarnya yang sudah tertangkup di bawah bantal diambil dan dibuka. Serta merta matanya membulat.

Jay!

Aku datang pantai esok pagi.

Arunika [ارونيكا] ✓Tahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon