Bab 9

55 8 0
                                    

"Indah..." Pintu kayu itu diketuk perlahan. Sejak perbalahan tadi, Indah terus duduk menyepi di dalam bilik. Irzan pula yang naik risau. Sudahlah Indah masih belum makan apa-apa sejak tengah hari. Makan malam tadi pun gadis itu hanya minum segelas air sirap.

"Along ni... bukalah pintu... Indah..." Irzan mengeluh sekali. Dia bersandar di daun pintu sambil memejam mata. Sekarang sudah pukul satu setengah pagi, mengantuk.

"Jom along teman makan. Nanti perut tu masuk angin. Seharian Indah tak makan ni." Tangan masih setia mengetuk namun makin lama, makin perlahan. Dari pukul 11 malam dia di sini. Hampa.

Indah mengeluh. Dia dengar dan dia tahu Irzan masih tidak berputus asa. Namun dia masih mahu menyepikan diri buat sementara waktu. Lututnya ditarik rapat ke dada. Rambut hadapan yang menutupi mata diselit ke belakang cuping telinga. Jujur, perutnya memang terasa sangat lapar sekarang. Seharian dia hanya minum segelas air sirap waktu makan malam tadi. Lapar. Tetapi dia tak mahu keluar.

"Indah... along letak makanan ni dekat luar. Indah ambil eh makan dalam bilik?"

Indah terus meluruskan pandangan pada muka pintu yang sudah tidak diketuk.

"Along tunggu sini. Kalau Indah dah okey, Indah bukalah pintu."

"Along ada..."

Indah terus menyembamkan wajah pada lutut sekali lagi. Irzan sangat baik terhadapnya. Namun layanan buruk yang dibalas pada lelaki itu. Akhirnya, Indah terus rebahkan tubuh dan memejam mata.

Dia terlalu penat.

.....

Matanya dibuka perlahan, cukup-cukup untuk melihat jam jarum di dinding yang sudah menunjukkan tepat pukul tiga pagi. Indah terus meraup wajah dan melangkah ke pintu. Saat tombol pintu dipulas, Indah terus terkedu saat tubuh Irzan yang sedang tertidur sambil bersandar di dinding tepi biliknya menyapa mata. Di tepi riba lelaki itu turut ada sedulang pinggan nasi dan lauk.

Indah kemam bibir. Jahatkah dia kerana membiarkan Irzan seorang diri seperti ini.

"Along..." Indah melutut dan menggoncang lembut bahu lelaki itu.

Irzan terus terpisat-pisat dan menyenyeh mata. Wajah Indah di hadapannya ditatap sejenak sebelum tubuh gadis itu terus ditarik ke dalam pelukannya.

"Along minta maaf sebab marah Indah tadi..."

Indah geleng dalam pelukan, air matanya mula menitis setitik demi setitik. "Along tak marah... akong cuma tegur Indah, sebab kurang ajar dengan umi. Ini semua salah Indah... Indah yang salah..."

Tangisan Indah semakin menjadi-jadi saat belakang badannya ditepuk-tepuk oleh Irzan. "Shhh... shhh... bukan salah Indah. Along tahu Indah kecewa dengan umi sebab Indah dah lama teringin nak sambung belajar dekat Jakarta tu kan?"

Indah lepaskan pelukan dan mengangguk laju.

"Tak apa tak apa. Nanti along pujuk umi ya. Indah jangan menangis macam ni dah. Along tak suka tengok Indah menangis. Jangan menangis eh?" soal Irzan lembut sambil tangannya menggosok lembut hidung merah Indah yang sejak tadi disedut-sedut dek hingus.

"Jom along teman makan. Ni mesti lapar kan?"

Indah angguk lambat-lambat, "Tapi tak nak makan yang umi masak..."

Irzan senyum hambar, "Kita masak mi segera."

"Indah minta maaf sebab susahkan along." Indah tunduk sahaja sambil-sambil berjalan ke dapur. Setelah duduk, dia hanya menyembamkan wajah pada permukaan meja makan sementara Irzan mula menyediakan mi segera perisa kari untuk adiknya itu.

"Indah cakap macam itu lagi, along tarik telinga Indah sampai putus."

"Jahat," cebik Indah.

Irzan hanya ketawa perlahan sambil kembali fokus memasak mi segera. Setelah hampir tiga minit, Irzan menuang mi segera yang masih berasap ke dalam sebuah mangkuk kaca. Mangkuk kaca itu kemudian diletak ke atas meja makan.

"Makan kenyang-kenyang," ujar Irzan sambil menuangkan segelas air kosong sejuk ke dalam gelas untuk Indah.

"Terima kasih. Sorry sebab susahkan along-- aduh!" Indah meringis kesakitan saat telinga kirinya ditarik.

"Along pesan apa tadi? Jangan cakap macam itu kan? Padan muka. Cakaplah lagi macam itu kalau nak rasa tak ada sebelah telinga," ugut Irzan menahan tawa.

Indah mencebir bibir dan meniup mi segera di dalam mangkuk yang masih berasap sebelum digulung dengan garpu dan dijamah perlahan-lahan.

"Esok pagi nak pergi pantai?" tanya Irzan sambil menongkat dagu.

Indah angguk perlahan, "Tapi along jangan ikut."

"Eh, kenapa?"

"Indah nak tenangkan diri dulu, nak pergi sorang-sorang," balas Indah.

"Hmmm, ya ke sorang-sorang? Bukan ada si Jay tu ke?" teka Irzan.

Indah berhenti mengunyah sesaat sebelum menggeleng kepala. Memanglah dia sentiasa teruja untuk bertemu dengan Jay tetapi bukan untuk esok. Dia harap lelaki itu tidak datang pantai esok pagi. Dia mahu waktu seorang diri. Kalau Jay ada esok pagi pun, dia tidak mahu cakap apa-apa. Dia hanya perlu waktu untuk membuang semua aura negatif dalam kepala.

Seorang diri.

"Aik? Gaduh ke?"

"Mana ada gaduh, macam itu ajelah kami berdua." Indah menyuap semula mi segera ke dalam mulut. Sudah tinggal sesuku.

"Indah sebenarnya suka dia kan?"

Indah terus terbatuk-batuk dan lantas menggeleng kepala. Nahaslah kalau Irzan tahu!

Irzan ketawa, "Tak payah nak sorok daripada along. Tengok muka pun tahu. Hari tu siap pergi dinner dengan family Jay tu lagi. Ni mesti ada apa-apa kan?"

"Ah, tak ada. Kawan aje."

"Tapi Indah suka dia kan? Kan kan? Mengaku cepat." Irzan kecilkan mata, cuba mengorek rahsia.

"Along tak bagitahu sesiapa. Janji!" Irzan sengih sambil mengangkat sebelah tangan kanan seakan berikrar.

Indah berdecit. Malu dia kalau macam ini. Akhirnya, kepalanya diangguk sekali tanda ya.

"Apa angguk? Mengaku cepat, along nak dengar." Irzan sengih mengusik dan merapatkan wajah pada Indah.

"Yalah, Indah suka dia." Indah terus mengangkat mangkuk yang hanya tinggal kuah sebelum dicuci.

"Uyo, someone is in love. Deeply in love..." Irzan ketawa mengekek sambil memegang perut. Rasa lucu tiba-tiba.

"Ish, janganlah cakap kuat-kuat!" Indah terus meluru ke arah Irzan dan menutup mulut lelaki itu. Malah Irzan menolak tangan Indah sebelum menyambung ketawa.

"Esok pagi pergi confess." Irzan menyudahkan tawa namun masih tersisa senyuman mengusik di bibir.

"Memang taklah! Kan Indah cakap esok Indah nak pergi tenangkan diri sorang-sorang."

"Habis nak tunggu bila?" Irzan jongket kening.

"Lepas along kahwin," sinis Indah sejurus membuatkan wajah Irzan berubah keruh.

"Okey, kalau macam itu tunggulah 10 tahun lagi," jeling Irzan.

"Along payah sangat ni kenapa? Along tak suka perempuan eh? Ke along pernah bercinta senyap-senyap dulu lepas tu break? Pernah putus cinta?" Indah cekak pinggang.

"Tak pernah bercinta dan tak berminat nak bercinta atau berkahwin." Irzan menguap malas.

"Kak Tasnim kan ada."

"Tak habis-habis Tasnim dia tu." Irzan berdecit.

"Hah, along pergi confess dekat Kak Tasnim lepas tu baru Indah confess dekat Jay. Amacam?"

"Huh, memang taklah. Dah kenapa pula along terpalit dalam kes ni juga? Dahlah along tak ada apa-apa perasaan dekat Tasnim tu. Buat naya aje." Irzan menguap lagi.

"Tapi Kak Tasnim suka dekat along."

"Okey. Along tak nak ambil port." Irzan kibar bendera putih dan menjentik perlahan dahi Indah.

"Pergi masuk tidur. Along masuk dulu. Semalam malam, awek Jay."

Arunika [ارونيكا] ✓Where stories live. Discover now