Bab 28

29 4 0
                                    

Tunggu dekat pantai. Sekejap lagi saya datang tau...

Love you <3

Pesanan WhatsApp itu ditenung sekejap sebelum telefon pintarnya terus ditutup dan disumbat dalam poket seluar tracksuit.

8:34 malam.

Jay tunduk melorek entah apa-apa di atas sehelai kertas kosong. Bersimbahkan cahaya bulan, dia terus fokus melukis tanpa arah. Tiada mood sebenarnya kerana dia masih belum makan daripada pagi lagi. Hanya minum air mineral sedikit. Selepas dia 'dihalau' oleh Puan Diana pagi tadi, dia terus pulang ke rumah dan tidur. Tiada semangat.

Bau tenang bayu malam dihirup lembut. Buku lukisan ditutup lalu diletak di sebelah. Wajahnya terus didongak merenung dada langit yang luas terbentang dengan taburan bintang. Sedikit sebanyak, mampu menghilangkan segenap gundah di dalam dada.

"Hai, Jay!"

Jay hembus nafas perlahan. Wajah dikalih ke belakang, memandang Indah yang sedang tersenyum manis ke arahnya sambil mengangkat sebuah mangkuk tiga tingkat. Seperti biasa, ada Irzan sekali kerana sekarang waktu malam namun lelaki itu hanya duduk di tempat lain untuk memberi mereka ruang.

Jay lorek senyum paksa.

"Awak tak makan lagi, Jay?" soal Indah sambil duduk di sebelah. Mangkuk tingkat tadi dibuka satu persatu. Turut dikeluarkan sebuah piring kertas pakai buang dan sudu.

"Dah makan petang tadi."

Bohong.

"Ya? Baguslah kalau macam tu. Saya bawa makanan untuk awak ni. Ada pulut kuning dengan nasi impit," jelas Indah sambil membuka mangkuk tingkat paling atas.

"Tahun ni kami tak buat rendang daging tapi rendang ayam."

"Haa, yang ni saya guarantee awak mesti suka." Indah sengih sejurus membuka mangkuk tingkat yang paling bawah.

"Kuah kacang! Saya tahu awak suka makan yang manis-manis."

"Oh... semua ni untuk aku?" soal Jay. Wajah Indah ditatap sejenak sebelum jatuh semula pada mangkuk-mangkuk besi di hadapannya yang sudah kemas tersusun.

"Yup, semua ni saya masak tau!" Indah tersenyum lebar, bangga dengan diri sendiri. Walaupun dia agak sibuk bekerja, namun bab memasak, boleh sahaja serahkan pada dia. Sebenarnya memasak rendang dan semua juadah raya, semua dia yang lakukan dengan bantuan Irzan. Umi pula sudah 'bersara' dan hanya berehat sambil menonton televisyen ketika malam raya.

"Okey, aku rasa." Jay terus menyuap sesudu nasi impit yang sudah dipotong kecil-kecil bersama sedikit kuah kacang.

Kunyahannya terus terhenti lalu wajah Indah ditatap lama.

"Sedap tak?"

"Sedap..." Jay angguk laju dan sekali lagi menusuk nasi impit menggunakan garpu lalu dicecah ke dalam kuah kacang. Selagi lagi. Betul-betul sedap, dia tidak tipu.

Indah sengih.

"Aku sebenarnya... ini kali pertama aku makan makanan macam ni..." Jay berdeham sekali.

"Hmm? Sebelum ni tak pernah makan ke?"

Jay geleng. "Tak pernah sebab aku tak ada kawan Muslim yang betul-betul rapat untuk dia orang jemput aku beraya atau bagi makanan." Jay jongket bahu. Sebab itulah dia cakap sebelum ini yang dia memang tiada 'kawan sebenar.'

"Oh, hmm..." Indah tunduk mencubit lengan sendiri, tiba-tiba rasa serba salah kerana Puan Diana telah menghalau Jay, padahal lelaki itu hanya mahu rasa pengalaman beraya. "Saya minta maaf pasal pagi tadi."

Arunika [ارونيكا] ✓Where stories live. Discover now