Bab 35

36 4 0
                                    

"Indah... Shh, shh... along ada, along ada." Setelah Jay pergi, Irzan terus menghampiri Indah sebelum tubuh kecil gadis itu ditarik rapat ke dalam dakapannya. Belakang baju terasa dicengkam kuat sementara gadis itu menghambur tangis sekali lagi. Kepala Indah hanya digosok-gosok, menenangkan.

"A... along..."

"Ya..." Irzan rehatkan dagu di atas kepala adiknya sementara Indah menarik nafas panjang. Dia sudah terlalu letih.

"Indah minta maaf..." Wajah didongak lalu sisi bibir Irzan yang masih basah dengan darah disentuh sedikit. Irzan sakit kerana dia.

"Sikit aje ni, tak sakit pun. Rasa macam kena gigit semut aje. Serius." Irzan tertawa kecil, sekadar mengaburi suasana yang langsung tiada sinar ketika ini. Indah yang selalu ceria setiap pagi, hilang cerianya sekelip mata.

"Jom balik, hmm?" Wajah sembab Indah diusap penuh kasih.

Lambat-lambat Indah mengangguk dan bangun daripada duduk. Beg kertas yang tertingkup di atas pasir perlahan-lahan diangkat. Cincin-cincin kertas yang berterabur di atas pasir dikutip satu-persatu lalu diletakkan semula ke dalam beg kertas. Perlahan dan sendu.

"Along tolong." Tak tunggu balasan Indah, tangan Irzan lebih tangkas mengutip satu-persatu saki baki cincin kertas hingga habis. Selepas itu, beg kertas itu dijinjing kemas lalu lengan kanan Indah ditarik lembut supaya bangun mengikutinya.

Langkah Indah yang perlahan dan longlai ditatap dengan penuh rasa kasihan.

"Indah okey tak ni?" soal Irzan lembut.

"Indah okey." Senyuman cuba diukir payah namun kali ini, dia tidak mampu. Kakinya tiba-tiba terasa lemah. Belum sempat tersungkur, belakang tubuhnya sudah dipaut oleh Irzan lalu dengan mudah dia digendong oleh lelaki itu.

"Along... Indah dah penat... penat sangat..." Indah hembus nafas lemah dan menghambur tangis sekali lagi. "Apa salah Indah..."

"Indah tak salah apa-apa. Indah tak salah apa-apa..." Irzan mengusap lembut kepala Indah berulang-ulang kali.

......

PIPI yang melekit dek air mata disapu-sapu. Sebuah keluhan paling penat dihembus. Langkahnya diorak perlahan pada tempat tadi lalu matanya laju menangkap dua bentuk cincin kertas yang tertimbus di sebalik pasir. Kemungkinan besar Indah terlepas pandang ketika mengutip tadi.

Dua cincin itu diambil dan digenggam lembut. Setitis air matanya jatuh lagi.

"Aku minta maaf..."

.....

MATA hanya merenung sendu kipas angin yang berpusing laju di atas siling sana. Entah sudah berapa lama matanya melekap di situ. Sepatutnya hari ini dia bersemangat dan ceria. Namun, entahlah. Separuh jiwanya bagai diragut pergi.

Ktak!

Matanya turun pada pen hitam yang jatuh daripada meja, mungkin kerana ditiup angin kencang daripada kipas angin. Terus matanya mendarat pada beg kertas hadiah Jay pagi tadi. Jika tiada kejadian perit pagi tadi, sepatutnya hadiah itu sudah pasti berada di tangan tuannya iaitu Jay.

Namun Jay tidak sudi.

Sejenak, pandangannya beralih pada rak kecil di tepi meja pula yang penuh dengan susunan novel. Kebanyakannya Jay yang beli.

Indah raup wajah dan menyerabaikan rambut.

Sesak.

Sesak kerana kebanyakan benda di sekelilingnya mengingatkannya kepada Jay.

Tok! Tok! Tok!

Indah terus memaling wajah ke arah pintu dan mengubah posisi daripada baring kepada duduk.

"Along?"

Irzan menjenguk sedikit sebelum tersenyum nipis. Di tangannya, ada sebuah kotak merah kek Secret Recipe. Turut ada sebuah beg kertas besar.

"Happy birthday adik kesayangan along." Irzan tersenyum manis sambil menutup pintu bilik. Beg kertas hadiaj diletak di tepi katil sementara Irzan duduk di sisi katil. Kotak kek dibuka.

"Wah, red velvet..." Mata Indah bersinar-sinar memandang sepotong kek red velvet di dalam kotak. Terharu. Keluarga mereka memang tidak menyambut mana-mana hari lahir ahli keluarga daripada kecil lagi. Tidak pernah. Tetapi Irzanlah yang selalu sambut hari lahirnya dan dia akan sambut hari lahir lelaki itu juga. Hanya mereka berdua.

"Itu apa..." Indah sengih sambil memuncung pada beg kertas di sebelah katil. Sejujurnya, dia tiada tenaga hendak berinteraksi dengan sesiapa pun. Tetapi bukan dengan Irzan. Lelaki itu sangat memahaminya.

"Eee, sibuk aje. Makan kek ni dulu," gurau Irzan sambil menyua sesudu kek pada Indah.

Indah mencebik manja namun mulut tetap dibuka, menerima suapan kek kegemarannya itu.

"Indah rasa ni apa?" soal Irzan sambil memeluk kemas beg kertas besar itu. Sudah hampir besar dengan tubuh Indah.

Indah sengetkan kepala cuba meneka isi beg tersebut. Nampak macam lembut aje. Matanya terkedip-kedip cuba memikir. "Bantal?"

"Tet! Salah." Irzan tertawa kecil sebelum terus menghulur beg kertas besar itu. "Bukalah."

Indah sengih lebar dan mengintai sedikit isi beg yang terbuka sebelum matanya terus membuntang. Tangannya ditepuk-tepuk teruja.

"Totoro!"

Anak patung gebu bernama Totoro itu terus didakap erat. Memang sudah hampir sama besar dengan badan dia. Entah berapalah Irzan beli ini, mesti mahal.

"Terima kasih along!" Kini, tubuh Irzan pula yang dipeluk kemas.

"Sama-sama. Suka tak?" Rambut Indah dibelai lembut.

"Suka! Comel sangat!"

Irzan hanya tersenyum nipis sebagai balasan. "Kalau nak, along boleh belikan lagi untuk Indah. Asalkan Indah kena janji dengan along yang Indah jangan sedih-sedih macam ni okey? You deserve better."

"Hmm," gumam Indah perlahan. Sejujurnya, untuk dia lupakan Jay dan segala kenangan bersama lelaki itu bukanlah suatu perkara mudah. Namun demi kebahagiaan diri sendiri, dia akan cuba.

"Senyum sikit, Indah Daliya. Along tak nak tengok adik along menangis sebab lelaki macam dia. Senyum sikit, please. Along nak tengok."

Indah mengeluh dan perlahan-lahan mengukir senyum.

"Macam inilah adik along..." Kepala Indah diusap-usap lagi sebelum terhenti tatkala bunyi ketukan di pintu kedengaran.

"Umi ke?"

Irzan jongket bahu tanda tidak tahu. Lantas dia bangun daripada duduk dan membuka pintu. "Abah?"

"Surat nama Indah," ujar Encik Izham ringkas sebelum terus berlalu dari situ.

"Abah kenapa?"

"Pergi masjidlah tu." Irzan menutup daun pintu semula lantas membelek-belek surat yang tertera nama Indah sebagai pemilik surat tersebut. "Surat apa ni?"

"Along bukalah." Indah menyambung makan semula. Makan lagi penting, okey?

"Okey." Irzan duduk di sisi katil semula sambil tangan cekap membuka sampul surat putih itu. Isi surat kemudian dibuka lipatannya lalu dibaca.

"Uish, tawaran sambung belajarlah weh!"

"Seriuslah?!" Indah terus melompat turun daripada katil nak menjengket kaki mahu membaca isi surat.

Betul. Surat tawaran sambung belajar di Kuala Lumpur.

Irzan tersengih suka, "Pergilah, Indah. Ambil peluang ni."

"Along support."

Arunika [ارونيكا] ✓Where stories live. Discover now