Bab 36

31 7 0
                                    

Selesai mencuci pinggan, Indah mengelap tangan yang masih basah pada kain yang elok tergantung di tepi singki.

"Nak gerak dah ke, Indah?"

Indah angguk dan membetulkan awning tudung melalui pantulan peti ais yang berkilat itu. Beg galas pakaian yang elok terletak di atas meja dipandang sekilas. Sekejap lagi dia akan bertolak ke Kuala Lumpur dengan Irzan dan selepas itu, Irzan akan pulang ke rumah semula kerana kerja. Mengikut surat tawaran, dia perlu menghadiri temu duga dua hari lagi. Tetapi dia mahu bergerak sehari awal dan berehat di hotel dahulu.

"Hati-hati, Indah. Kuala Lumpur tu bukannya kecil." Encik Izham menolak kerusi perlahan lalu melangkah ke ruang tamu diikuti Puan Diana yang sedari tadi hanya diam membisu. Kenapa? Kerana daripada awal lagi Puan Diana menentang dia daripada menerima tawaran sambung belajar ini dengan alasan tidak hendak susahkan Irzan di kemudian hari kerana urusan di hotel. Namun kali ini, Indah terpaksa tulikan telinga. Sudahlah sebelum ini tawaran sambung belajar ke Indonesia terpaksa dia tolak. Kali ini tidak lagi.

"Tak apa, Indah dah biasa selok-belok Kuala Lumpur."

"Yalah tu dah biasa. Pergi Kuala Lumpur tu pun dua tahun sekali aje," perli Encik Izham sambil melabuhkan duduk pada sofa.

Indah sengih sambil menggaru kepala.

"Dah dia nak pergi sangat, pandai-pandailah jaga diri. Kalau ada apa-apa jadi, jangan menyusahkan orang pula," sampuk Puan Diana bersahaja.

Encik Izham berdecit sambil memberi isyarat mata, tanda jangan mengeruhkan suasana.

Indah mengeluh dan menggalas beg pakaiannya perlahan ke bahu. Irzan di sebelah yang mahu membantu lekas ditegah. Bukannya berat pun beg dia.

"Kami gerak dululah." Indah tunduk menghulur tangan kanannya pada Puan Diana namun hulurannya itu sepi tidak bersambut. Malah Puan Diana menatapnya dengan pandangan jijik.

Tidak mahu memanjangkan isu, Indah menghulurkan tangan pada Encik Izham dan laju sahaja Encik Izham menyambut tangannya. Indah mengucup lembut kekura tangan kasar itu. Sayang.

"Sini abah peluk." Encik Izham terus menarik Indah ke dalam dakapan hangatnya. Kepala Indah diusap-usap.

"Jaga diri dekat sana, Indah. Kalau ada orang bagi gula-gula, jangan ambil."

Indah tertawa kecil dan hanya mengangguk. Dia melepaskan pelukan dan mencium lembut dahi Encik Izham. "Bye abah..."

Encik Izham hanya angguk, "Along tu drive elok-elok. Kalau mengantuk, rehat dulu dekat RnR. Nyawa tu ada satu aje. Bukan sembilan," bebel Encik Izham.

"Okey abah." Irzan mengangguk sekali.

"Jom."

......

"Hah? Apa?" Irzan yang sedang memandu, terus tegak tubuhnya. Skrin yang melekap di telinga kiri ditekan kuat lalu talian terus dimatikan.

Indah tersentak. Dia yang baru sahaja hendak sampai ke alam mimpi, terus tersedar saat suara nyaring Irzan menyapa gegendang telinga.

"Kenapa along?"

"Kita patah balik dulu." Irzan menjawab senada. Kelajuan kereta ditambah sedikit tetapi tidaklah terlalu laju.

"Kenapa?" soal Indah pelik, memanglah mereka baru sahaja separuh jalan. Tetapi kenapa pula hendak patah balik tiba-tiba.

"Umi jatuh bilik air. Abah dah bawa pergi hospital tadi. Abah kata teruk juga." Irzan ketap bibir.

Indah terus terdiam.

Oh.

......

INDAH menguap dan mencelik mata perlahan-lahan saat bahu yang ditumpangnya untuk tidur seakan-akan bergerak.

"Along..." Indah menyenyeh mata dan mendongak memandang Irzan yang sedang sibuk menulis sesuatu di atas dua helai kertas.

"Tidur dulu, Indah. Lambat lagi ni."

"Umi kenapa?" tanya Indah sambil menggeliat perlahan. Jam tangan kiri dibelek sebentar.

Satu pagi.

Lama juga dia tertidur di kerusi menunggu hospital ini.

Irzan bersandar pada kerusi dan memicit kepala sejenak. "Umi lumpuh separuh badan. Sebelah kiri. Tak tahulah..."

"Teruk ke?"

"Teruk jugalah."

Indah mengeluh, "Habis tu Indah macam mana? Pukul berapa nak gerak ke Kuala Lumpur?"

"Tunggulah sekejap, Indah. Along banyak hal nak kena urus ni. Kalau sempat, esoklah kita gerak," ujar Irzan lalu menyambung mengisi borang hospital di dalam kertas. Indah bukan lagi menjadi perhatiannya ketika ini.

"Tapi, along..."

"Tak ada tapi, Indah."

Indah terus mencebik dan menghembus nafas berat. Perlahan-lahan dia bangun dari duduk. "Indah keluar kejap nak cari 7-Eleven."

"Hmm."

Sekali lagi Indah mencebik dan terus melangkah ke lif berdekatan. Butang ditekan untuk ke tingkat bawah. Namun belum sempat pintu ditutup, sempat lagi ditahan oleh seorang lelaki berhoodie dan bertopi hitam.

"Encik nak turun bawah juga ke?"

Lelaki itu membelakanginya dan mengangguk sekali. Kedua-dua belah tangannya diseluk ke dalam poket.

"Okey." Indah menyelit di sebelah lelaki itu dan menekan butang sekali lagi. Namun matanya sempat melirik ke kiri memandang wajah lelaki itu yang ditutupi dengan pelitup muka berwarna hitam. Sejenak, jantungnya tiba-tiba berdetak laju.

"Jay..."

Lelaki itu tampak terpempan buat beberapa saat dan mengepal penumbuk. Wajah dikalih ke kiri, hanya memandang sepi dinding lif yang terasa makin sempit dan sesak itu.

"Jay..." Indah kemam bibir. Dia tidak tahu sama ada dia berkhayal atau tidak. Tetapi lelaki di sebelahnya ini memang seperti Jay. Postur tubuhnya dan juga... bau haruman pada tubuh lelaki itu.

Sama seperti Jay.

Indah kemam bibir dan cepat-cepat mengundur ke belakang dengan tubir mata yang mula basah.

Tidak. Lelaki itu bukan Jay. Dia hanya terlalu rindukan Jay sehingga menganggap mana-mana lelaki yang hampir iras dengan Jay ialah Jay sendiri.

Ting!

Lelaki itu terus melangkah laju keluar dari lif namun laju lagi Indah mengejar langkah deras lelaki itu dan menahan.

"Jay..."

"Jay?" Indah cuba mengintai wajah di sebalik pelitup muka dan topi itu. Agak sukar tetapi dia hanya mahu cuba.

Lelaki itu mengundur ke belakang dan hanya menggeleng sekali sebagai jawapan.

Indah ketap bibir dan sekali lagi menahan lengan lelaki itu. Kali ini, setitis air matanya terus jatuh.

Lelaki di hadapannya ini memang Jay.

Mata sembab yang dia terlalu kenal itu sempat ditatapnya sebelum lengannya ditepis dan lelaki itu terus melangkah keluar dari pintu kaca hospital.

Indah tunduk dan terus menghambur tangis di situ. Dia tidak tahu mengapa Jay ada di hospital ini tetapi...

Ya Tuhan, dia amat rindukan Jay.

Arunika [ارونيكا] ✓Tahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon