Bab 37

23 4 0
                                    

"Tak apa, along boleh jaga umi. Waktu lunch, along balik rumah. Abah tolong jaga makan minum umi aje. Mandi semua tu, along yang buat," jelas Irzan sambil mengusap lembut kepala Puan Diana yang hanya dilitupi sehelai tudung sarung hitam 

"Tak susahkan along ke? Payah nak ulang-alik dari hotel ke rumah tu." Encik Izham bersuara pula.

Indah di sudut tepi dinding hanya senyap memasang telinga, tiada niat hendak menyampuk sebenarnya. Dia juga penat memerhati segala urusan hospital umi diuruskan oleh Irzan.

"Tak apa, abah. Along okey aje. Nanti along uruskan semua. Masak pun along yang masak. Nanti abah suap umi makan aje," sambung Irzan lagi.

Indah mengeluh. Tiba-tiba rasa tiada guna sekarang. Irzan dan Encik Izham bersusah payah tetapi dia? Pentingkan diri semata-mata hendak menyambung pelajaran di Kuala Lumpur sana.

"Hmm, tak apalah kalau macam itu. Nanti kita bincang lain. Along tak hantar Indah ke KL tu ke?  Pergilah. Abah boleh jaga umi dekat sini. Dah tak ada apa-apa urusan, kan?"

Irzan menggeleng dan pandangannya terarah pada Indah semula. Baru dia perasan kewujudan Indah di situ. Dek terlalu sibuk, hingga dia mengabaikan gadis itu. Entah sudah makan atau tidak.

"Jom kita gerak." Irzan tersenyum nipis pada wajah suram Indah. "Kenapa ni, hmm?"

Indah tunduk bermain-main dengan lengan baju sendiri.

"Indah... kenapa?"

"Tawaran sambung belajar tu... tak payahlah. Biar Indah jaga umi. Along kerja ajelah macam biasa. Boleh juga Indah bantu abah jaga umi," ujar Indah perlahan.

Irzan terus mencerlung matanya, tajam. "Indah merepek apa ni? Jangan nak mengada-ada. Ingat senang ke nak dapat tawaran tu? Tak ada, Indah kena pergi juga. Jangan risau pasal kami dekat sini. Pandai-pandailah along handle umi dengan hotel tu."

"Tak apa, biarlah Indah yang jaga umi. Indah tak-"

"Indah Daliya."

Indah terus meneguk liur kesat. Wajah tegang Irzan di hadapannya dipandang gerun.

"Kenapa degil sangat ni? Tawaran tu bukan senang nak dapat. Sekarang dah dapat, nak buang macam tu aje? Indah tak payah risau pasal umi. Along pandai-pandailah jaga umi."

"Tak nak... biar Indah jaga umi. Muktamad." Indah ketap bibir. Untuk kali ini, biar dia keraskan kepala. Untuk kali ini sahaja.

"Degil." Irzan sempat menjeling sebelum terus beredar dari situ.

Indah garu kepala.

Alamak. Irzan marah dia.

......

Hari kedua.

Irzan mengelap lembut rambut Puan Diana yang masih lembab selesai mandi tadi.

"Umi lapar lagi? Nak makan tak?" soal Irzan lembut.

Puan Diana menggeleng perlahan, lemah. Tangan kanannya perlahan-lahan dicapai memegang lengan kiri Irzan.

"Hmm? Umi nak apa?"

Puan Diana ketap bibir menahan tangis. "Jay..."

Dahi Irzan terus berkerut-kerut. "Kenapa dengan dia?"

"Umi... kenapa?" Irzan dekatkan telinga pada bibir Puan Diana, biar mudah dia hendak dengar bicara wanita itu.

"Cari... Jay..."

Irzan mengeluh panjang. "Tak. Along takkan cari dia. Kenapa pula nak cari dia?"

"Dia tak salah..." tambah Puan Diana lagi.

"Apa benda umi cakap ni? Umi tak tahu kan apa yang jadi pasal Jay sekarang ni?"

Puan Diana mengukir sebuah senyuman kelat. Tangan kanannya sekali lagi naik mengelus lembut wajah Irzan. "Tolong umi, along. Cari dia. Minta maaf pada dia. Dia tak salah..."

"Yalah, nanti along cuba." Irzan kibar bendera putih. Lagipun, dia malas mahu tanya lebih-lebih.

"Ni umi nak makan lagi tak?" soal Irzan menukar topik perbualan mereka.

Puan Diana menggeleng sekali, tanda tidak mahu. "Umi takut umi susahkan along. Umi... tak susahkan along ke?"

"Umi..." Irzan tersenyum nipis sambil mengucup lembut kekura tangan kanan Puan Diana. Hanya tangan itu yang masih mampu bergerak setakat ini. "Along sayang umi... Umi kan syurga along. Umi takkan pernah susahkan along. Serius!"

Mendengar itu, tubir mata Puan Diana berair sekali lagi. Hari kedua di sini, dia sudah nampak hampir semua hikmahnya di sini.

Jika dahulu, dia kerap memaksa Irzan mendirikan rumah tangga. Tetapi jika ya anak sulungnya itu berkahwin, entah boleh atau tidak lelaki itu menjaganya ketika dia sakit seperti ini. Entah-entah isteri lelaki itu tidak mengizinkan.

"Umi minta maaf..."

Irzan tersengih. Jarang dia nampak uminya menangis. Tapi, comel juga.

Ktak!

Irzan kalih pandangan memandang pintu bilik hospital yang dibuka dari luar. Indah.

"Indah dah sampai tu. Along pergi hotel dulu, umi. Assalamualaikum." Kedua-dua belah pipi Puan Diana dikucup penuh kasih sebelum Irzan bangun melangkah ke pintu.

"Bubur ada atas meja. Kalau umi nak makan, suaplah." Sempat Irzan memberi pesanan pada Indah yang baru sahaja meletakkan beg silang di atas meja kecil.

"Okey." Indah melambai tangan pada Irzan. Sedih sedikit kerana dia terpaksa mengambil cuti panjang kerana mahu menjaga Puan Diana. Tetapi tak apalah.

Tak apa.

"Indah..."

Indah terus terpaku sebelum menelan liur. Seumur hidup, ini kali pertama telinganya mendengar suara Puan Diana memanggil namanya selembut itu. Bukan dengan nada suara tinggi seperti sebelum ini.

Indah hembus nafas berat dan mengambil semangkuk bubur ayam yang masih suam di atas meja lalu dia labuhkan duduk di kerusi.

"Makanlah," ujar Indah senada lalu menggaul perlahan bubur di dalam mangkuk. Bubur itu diceduk perlahan lalu ditiup sebelum disuap perlahan-lahan ke dalam mulut Puan Diana.

Puan Diana hanya senyap tidak menyambut suapan itu sebaliknya mengetap bibir. "Umi minta maaf."

Indah mengeluh lagi.

"Indah... umi minta maaf." Tangisan Puan Diana pecah jua. Melihat wajah tidak bersalah Indah yang kerap dia jadikan mangsa amarah, sangat menyiat hatinya sendiri.

Dia selalu menyeksa mental Indah, tetapi? Indah masih mahu menjaga dia di sini dan sanggup mengabaikan tawaran sambung belajar dan kerja.

"Indah, umi minta maaf ya? Umi tahu umi berdosa dengan Indah. Dengan semua orang. Umi minta maaf..." Puan Diana teresak-esak. Namun Indah masih kekal tidak beriak.

Dia tidak rasa apa-apa.

Kosong.

Tamat bahagian satu
Kita sedang saling memperbaiki diri atau saling melupakan?

Arunika [ارونيكا] ✓Donde viven las historias. Descúbrelo ahora