Bab 41

30 5 0
                                    

"SAMPAI hati along." Indah menarik lutut rapat ke dada lalu menghamburkan tangis sekali lagi. Irzan di sebelah hanya menepuk lembut belakang badan adiknya itu.

"Along cuma nak Indah dengan Jay berbaik balik. Itu aje." Kali ini, kepala gadis itu pula yang diusap lembut.

"Berbaik balik? Untuk apa, along? Untuk Indah disakiti sekali lagi ke? Along tak rasa apa yang Indah rasa. Sakit sangat, along. Sakit sangat. Apa along rasa kalau orang yang along sayang tiba-tiba pergi tinggalkan along?"

"Ya, along tahu. Tapi dia layak dapat peluang kedua juga."

"Kenapa dia layak? Indah tak rasa dia layak."

"Dia layak sebab dia cuba. Sebab dia kotakan janji dia." Irzan tersenyum nipis.

Indah kerut dahi. "Janji?"

"He is a Muslim now, Indah. Dia peluk agama Islam dua tahun lepas. Setahun selepas Indah dengan dia berpisah."

Bertambah kerutan di dahi gadis itu. Kenapa tiba-tiba tukar topik pula ni?

"Dia struggle sangat, Indah. Dia nekad untuk peluk Islam dua tahun selepas kau orang berdua berpisah, itu pun lepas dua orang adik dia tu memberontak sakan. Ibu dia, alhamdulillah terima aje. Lama dia pujuk adik-adik dia. Perlahan-lahan barulah dia orang dapat terima. Nak tahu kenapa dia struggle? Sebab dia sendiri masih bertatih belajar tentang Islam tapi dalam masa yang sama, dia perlu bimbing ibu dan adik-adik dia."

"Macam mana along tahu ni?" potong Indah laju sebelum Irzan sambung bercerita lagi.

"Along, abah dengan umi dah tahu semua ini. Kami cuma rahsiakan pada Indah." Kepala Indah ditepuk-tepuk perlahan. Pipi Indah yang sedikit melekit kerana air mata, Irzan usap dengan ibu jarinya sendiri.

"Indah tahu tak siapa yang tolong ajar dia semuanya? Ajar ambil air wudhuk, ajar solat, ajar mengaji?"

Indah geleng.

Irzan tersenyum nipis. "Abah."

"Hah?" Indah memandang wajah Irzan tidak percaya, terlopong.

"Indah perasan tak yang abah selalu solat Maghrib dengan Isyak dekat masjid? Jarang sangat abah ada dekat rumah waktu macam itu."

Indah angguk. Dia juga perasan yang Encik Izham sudah terlalu jarang ada di rumah ketika waktu Maghrib dan Isyak. Dia fikir mungkin abahnya itu sibuk kerana menguruskan hal masjid. Maklumlah Encik Izham ialah seorang ahli jawatankuasa masjid juga.

"Setiap kali waktu lepas Maghrib, abah akan ajar Jay mengaji. Dari Iqra', sampailah dah masuk Al-Quran. Jay dah khatam Al-Quran dua kali tau. Sekali dengan abah, sekali lagi dengan along. Sebab along nak tengok usaha dia. Solat pun. Daripada dia tak reti solat langsung, sampailah dia dah boleh jadi imam. Sampai dia dah reti tunaikan solat-solat sunat."

"Indah. Jay tak main-main bila dia kata dia betul-betul berminat dengan Islam. Dia bukan berminat aje, tapi dia memang nekad nak peluk Islam. Benda ni, sepatutnya jadi rahsia kami saja. Tapi sebab Indah langsung tak bagi peluang pada dia..." Irzan geleng kepala. "Along tak sampai hati. Sebab along tahu apa niat dia selepas dia dapat lalui semua ni. Selepas dia dapat bimbing ibu dan adik-adik dia."

"Apa?" soal Indah dengan nada rendah. Tak terkira betapa terkejutnya dia ketika ini.

"Sebab tu along minta Indah slow talk dengan dia hari tu. Tapi Indah tak bagi peluang untuk dia. Jadi dia tak sempat nak jelaskan semua pada Indah. Padahal dia dah bagitahu along yang dia sendiri nak jelaskan pada Indah."

Indah terus tertunduk.

"Malam ni kita jumpa dia lagi ya?" tanya Irzan lembut.

"Tapi... malam ni kan abah ajak kita sekeluarga dinner dekat luar?"

"Abah ajak Jay sekali," ujar Irzan sambil tersenyum lagi. "Ambil peluang malam ni. Cakap elok-elok."

"Tapi, umi? Umi tak marah ke?"

Irzan menggeleng. "Tak. Umi sokong Jay join kita sekali malam ni. Umi dah tak marah. Sejak umi sakit tiga tahun lepas, umi dah tak marah Jay lagi. Umi juga yang suruh along cari Jay. Well, Jay tak pergi mana-mana pun. Dia ada aje. Hari-hari dia tunggu Indah dekat pantai. Hari-hari, without missing. Tapi along pernah cakap pada dia yang Indah takkan datang pantai lagi. Sebab along kesian dekat dia. Tapi itulah, dia tetap datang. Dia mengharap yang mungkin dapat berjumpa dengan Indah walaupun cuma terserempak."

Indah mengemam bibir bawah. "Indah... jahat ke selama ni?"

"Tak. Yang jahat tu cuma ego hang ni," gurau Irzan sambil menjentik perlahan dahi gadis itu.

......

"Assalamualaikum. Maaf lambat."

"Hah, waalaikumussalam. Tak apa, kami pun baru aje sampai ni. Duduk duduk."

Indah terkedip-kedip memandang Encik Izham yang ramah menyuruh Jay duduk di sebelahnya. Lelaki itu dikerling sekilas melalui hujung mata, tampak santai berpakaian
T-shirt berwarna hitam. Sejujurnya, selama Indah kenal dengan Jay, jarang sangat dia nampak lelaki itu memakai pakaian selain warna hitam.

"Jay makan kan semua lauk ni?" soal Puan Diana, memaksudkan semua lauk yang telah dipesan tadi. Semuanya adalah makanan Melayu seperti ikan siakap tiga rasa, daging masak merah dan kangkung belacan.

"Makan, mak cik."

"Hah, marilah kita makan. Nanti makanan dah sejuk tak sedap. Jay, baca doa."

Indah terus mencubit lembut lengan kanan Irzan saat dapat dia dengar dengan jelas Irzan tertawa halus. Mungkin kerana Encik Izham menyuruh Jay yang membaca doa makan.

"Sakitlah, budak," bisik Irzan dan mencubit semula lengan kanan Indah. Laju Indah menjeling.

Jay mengangguk dan menadah tangan. Indah pula terus mendongak memandang sisi wajah Jay tidak lepas. Sebelum-sebelum ini, Jay pernah menadah tangan juga ingin membaca doa juga namun hanya sebagai jenaka. Tetapi hari ini, Jay benar-benar membaca doa dan kini sedang mengetuai bacaan doa mereka.

"Indah, tadah tangan. Apa tenung anak teruna orang macam tu," tegur Encik Izham dan pantas Indah menadah tangan, menyorok wajah yang sudah bahang di sebalik tadahan tangan.

Jay tersenyum nipis dan mula membaca doa. Lancar. Selesai membaca doa, Puan Diana mula menceduk nasi putih di setiap pinggan.

"Awak nak sayur kangkung tu tak?" soal Indah, masih tidak bernada tetapi Jay terus tersenyum mendengar itu. Gadis itu menggunakan panggilan lama semula, tidak kasar seperti sebelum ini.

"Boleh juga."

Indah angguk dan menceduk sedikit sayur kangkung dan diletakkan di dalam pinggan Jay bersama dengan semua lauk yang lain, sengaja tolong kerana Jay duduk di tepi, jadi sedikit susah untuk lelaki itu mengambil lauk.

"Terima kasih."

Indah angguk dan menceduk lauk ke pinggannya pula.

"Untuk along? Tak nak cedukkan juga ke?" perli Irzan.

"Ceduk sendirilah," jeling Indah.

"Alah, ingatkan nak cedukkan untuk along sekali. Rupanya dia cedukkan untuk buah hati dia aje. Faham. Tak apa, along dah biasa kena sisih."

"Abah..." Indah ketap gigi dan menuding jari pada Irzan, mengadu. Irzan pula sudah ketawa dan buat tidak tahu apa-apa.

"Tak habis-habis mengusik si adik pun, along..." Abah hanya menggeleng dan turut tertawa.

"Makan, habis makan ni kita borak-borak."

Mereka hanya mengangguk dan senyap selepas itu, masing-masing menikmati makanan.

Rasa seperti sebuah keluarga yang lengkap.

Arunika [ارونيكا] ✓Where stories live. Discover now