Ayam Bakar Jali

152 3 0
                                    


Pasar Ramadan Stadium Shah Alam. Tempat bertumpunya warga Shah Alam membeli juadah untuk berbuka puasa. Walaupun ada banyak pasar ramadan yang dibuka di sekitar Shah Alam, Irfan lebih suka ke sini untuk membeli juadah berbuka. Selain pilihan lauk dan juadah yang banyak dan pelbagai, pilihan makwe yang bervariasi, berbilang bangsa dan juga agama sebagai 'pencuci mata' menjadi sebab utama Irfan memilih untuk ke sini. Sedangkan Kompleks PKNS yang cuma sepelaung dari pejabatnya juga ada pasar ramadan yang tersendiri. Tapi Irfan lebih rela membuang minyak kereta untuk ke stadium. Entah banyak mana pahala puasa Irfan yang tinggal, dia sendiri tidak pasti.

Irfan di baris kedua pasar ramadan itu. Kepalanya ligat mengingat kembali apa yang dipesan isterinya pagi tadi. Kelihatan deretan gerai menjual kuih, air buah dan juga popiah SS Ali. Sedang leka Irfan melihat-lihat gerai makanan (dan juga dada perempuan), mata Irfan tertancap ke sebuah gerai. "Ayam bakar!" bisik hati kecil Irfan. Bibirnya automatik menguntum senyuman. Kepalanya ligat berputar, mengimbau kenangan 18 tahun yang lampau...

1995.

Al-Madrasah Assanawiyah Addiniyah Islamiyah Kuala Salanjur, atau dalam versi anti PPSMI-nya, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor. Namanya sudah menunjukkan lokasinya di Kuala Selangor. Terletak di tepi jalan Kuala Selangor – Tanjung Karang, sekolah ini menjadi sekolah terbaru yang dibuka oleh Kementerian Pendidikan pada waktu itu. Diriwayatkan oleh pentadbir sekolah, tujuan utama sekolah ini dibina adalah untuk menampung permintaan ibu bapa yang mula cenderung menghantar anak mereka yang mendapat keputusan cemerlang ketika UPSR, belajar di sekolah agama berasrama pula. Termasuk sekolah ini, sudah ada 3 SMKA di Selangor pada waktu itu, SMKA Simpang Lima di Sabak Bernam dan SMKA Maahad Hamidiah di Kajang. Sebenarnya terdapat 4 sekolah namun SMKA Selangor yang juga terletak di Kajang ditutup pada penghujung tahun 1994 dan baki pelajarnya dipindahkan ke Kuala Selangor.

Pada tahun ini, buat pertama kalinya sekolah ini berjaya melengkapkan kesemua tingkatan yang ada sejak dari penubuhannya pada tahun 1994. Kelompok (batch) pelopor tingkatan satu dan empat ketika tahun 1994 sudah beranjak ke tingkatan dua & lima. Ditambah dengan kemasukan pelajar-pelajar tingkatan tiga dari sekolah yang ditutup di Kajang dan kemasukan baru pelajar lepasan PMR 1994 ke tingkatan empat melengkapkan struktur sekolah tersebut sebagai sebuah SMKA yang lengkap beroperasi dengan semua tingkatan.

Sekolah ini terletak bersebelahan dengan SM Pasir Penambang. Seperti tipikalnya plan SMKA-SMKA yang wujud, jarak antara pintu pagar dengan sekolah tersangatlah jauh – pecah peluh dibuatnya kalau berjalan kaki. Ditambah lagi dengan keadaan sekolah yang baru saja dibuka. Pokok-pokok yang ditanam pun baru mencecah tinggi budak darjah enam. Padang pun belum ditumbuhi rumput; lebih banyak semalu berduri. Blok akademik bertentangan dengan kuarters guru, selepas padang bola manakala blok asrama letaknya di belakang blok akademik, dipisahkan dengan musolla. Asrama putra (Aspura) dan asrama puteri (Aspuri) hanya dipisahkan oleh dewan makan. Kedudukan Aspura pula di hujung pelan sekolah yang berbentuk seakan trapezium terbalik; membuatkannya menjadi titik paling hujung sekolah. Namun ini bukannya cerita mengenai asrama atau sekolah. Ini cerita Ayam Bakar Jali.

Irfan adalah antara pelajar yang dimasukkan ke sekolah ini akibat penutupan sekolah lamanya. Dalam erti kata lain, Irfan ialah tingkatan tiga, bersama-sama lebih kurang 40 pelajar yang lain, lelaki dan perempuan, yang dibahagikan kepada dua kelas. Kelompok Irfan bolehlah dikelaskan sebagai kelompok yang "istimewa", kerana kelompok ini sebenarnya tidaklah dialu-alukan kedatangannya ke sekolah ini. Kiranya kemasukkan mereka hanyalah by accidental akibat tutupnya sekolah lama mereka. Padahal kalau diambil kira kelayakan mereka ketika UPSR, boleh dibilang jari sebelah tangan saja berapa ramai yang dapat 3A 1B. Hampir 90% daripada mereka mendapat 4A. Sudah tentu mereka juga layak untuk ke sekolah tersebut. Entah apa masalah sebenar mereka hingga dilayan begitu sekali tidaklah pula diketahui. Mungkin hanya guru-guru yang tahu.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 19, 2015 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Ayam Bakar JaliWhere stories live. Discover now