Lara Asmara

1.4K 26 5
                                    

*****
"SAMPAI bila Zul nak rahsiakan dari Iffah?" soal Iffah serius.
Zulkifli terdiam lama. Rasa bersalah menghimpit jiwanya. Bukan dirinya tidak cinta pada Iffah. Bukan dirinya tidak sayang pada Iffah.
"Zul tak ada niat nak buat Iffah kecewa," ujar Zulkifli rendah. Iffah tertawa sinis. Tak ada niat? Senangnya Zulkifli bercakap.
*****
BUAT kesekian kalinya, Iffah menitiskan air mata di hamparan sejadah. Sungguh, dia tidak tahu pada siapa harus dia luahkan rasa kesalnya. Maka, pada Sang Pencipta dia mengadu segala keresahan hati.
"Ya Allah, jika benar Ramzi bukan jodohku, maka Kau bawalah dia jauh dari hidupku. Dan Kau luputkanlah ingatanku padanya."
Terbayang kembali saat dia melihat Ramzi erat dalam dakapan Sofea sewaktu dia mengunjungi Café Ria Sabtu lalu. Ramzi tidak menolak, malah merapatkan badan Sofea ke tubuhnya. Dan bibir Ramzi hinggap di bibir mungil milik Sofea.
Iffah yang waktu itu sedang menghirup kopi segera terhenti melihat adegan sebabak itu. Malah cawan yang dipegangnya terlepas dan jatuh berderai di atas lantai. Air kopi panas yang membasahi tangan dan juga pahanya tidak diendahkan. Sakitnya bahkan tidak terasa.
"Cik okey?" tanya seorang pemuda yang prihatin. Iffah memandang sekilas ke arah pemuda itu dan menggangguk perlahan. Pemuda berusia 20-an itu memberinya sehelai tuala dan segera mengelap meja yang basah dek kerana tumpahan kopi tadi sambil melirik ke arahnya.
Iffah bangkit dari kerusi tanpa sepatah kata. Ditinggalkan not seratus ringgit di atas meja sebagai wang ganti rugi cawan yang pecah. Pemuda berusia 20-an tadi menjerit-jerit kecil memanggilnya. Namun, kakinya lebih cepat melangkah meninggalkan Café Ria, Ramzi dan Sofea.
Air mata gugur lagi. Teganya Ramzi mendustai cintanya. Teganya Ramzi menghancurkan kepercayaannya dan keluarga mereka.
"Ya Allah, temukanlah aku dengan insan yang akan membimbing aku ke jalanMu yang lurus dan Kau redhai. Kirimkanlah aku insan yang Kau ciptakan buatku. Aku mohon padaMu Ya Allah, Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sesungguhnya, Engkau sebaik-baik perancang."
*****
ZULKIFLI mencuri pandang pada gadis yang duduk di hujung Café Ria. Sudah seminggu, gadis itu menjadi pelanggan tetap di Café Ria ini. Sejak kejadian cawan kopi yang terlepas dari tangan Sabtu lalu.
Wajahnya kelihatan sugul dan tidak bermaya. Matanya bengkak dan kuyu. Perlahan, bibir tipis Zulkifli mengukir senyum. Entah kenapa, hatinya seolah-olah terpanggil untuk mendekati gadis itu.
Gadis itu memandang ke arahnya dengan pandangan kosong. Mungkin rasa dirinya diperhatikan. Namun, rasa itu dibiarkan mati. Gadis dengan kurung biru lembut itu kelihatan ayu dengan seraut wajah sendu.
Sesekali tudung yang menutupi helai rambut mengganggu apabila ditiup angin. Hanya jari-jemarinya bergerak merapikan tudung sedangkan matanya masih terpaku memandang kosong setiap inci ruangan di Café itu.
Zulkifli menghampiri.
Berdiri betul-betul di sebelah gadis itu. Mengeluarkan not seratus ringgit dari kocek seluarnya dan meletakkannya di atas meja si gadis berwajah sayu.
Gadis berwajah sayu itu mengangkat wajahnya. Memandang wajah Zulkifli dan not seratus ringgit itu silih berganti. Zulkifli mengukir senyum. Barangkali gadis ini tidak mengingatinya. Atau mungkin gadis ini tidak perasan kehadirannya seminggu yang lalu.
"Duit cik minggu lepas," terang Zulkifli.
Kerusi di hadapan Iffah ditarik perlahan. Meminta izin kepada Iffah untuk duduk di situ. Gadis itu hanya mengangguk lemah membenarkan.
Mata Iffah masih menatap not seratus ringgit yang ditindih dengan sebuah pasu bunga hiasan kecil yang ada pada setiap meja di Café Ria itu.
"Cik tak ingat duit ni?" soal Zulkifli ragu-ragu. Mustahil gadis berwajah sayu ni tak ingat langsung dia meninggalkan not itu untuk ganti rugi cawan yang pecah seminggu lalu.
Iffah geleng perlahan.
Zulkifli senyum datar. Parah. Gadis ini terluka parah. Itu sahaja kesimpulan yang boleh dia buat setakat ini.
"Saya Zulkifli. Pemilik Café ini," ujar Zulkifli memperkenalkan diri.
Iffah menggangguk maklum.
"Cik?"
"Iffah," ujar Iffah perlahan dan meninggalkan Café Ria pada hari itu. Dia akan datang lagi jika hatinya rindu.
*****
NOT seratus ringgit yang diletakkan atas meja itu dipandang sekilas. Setiap kali memandang not sekeping itu, bibirnya mengukir senyum. Kerana not sekeping ini, hubungannya dengan Iffah semakin rapat.
Seminggu ini dia sudah berusaha merapati gadis itu dan mengenalinya. Usahanya tidak sia-sia namun perlu lebih banyak waktu untuk dia mengenali hati budi gadis itu. Diam-diam hatinya mula menyukai gadis itu.
"Zul dah lama bukak Café ni?" soalan Iffah padanya yang membuat tawanya pecah saat itu.
"Sejak Cik Iffah pecahkan cawan kopi saya," jawabnya jujur sambil sengaja tayang muka kesal.
Itulah pertama kali dia lihat Iffah tersenyum. Dan sejak hari itu, Iffah dan dia menjalin hubungan yang tidak tahu mahu ditafsirkan sebagai apa. Bukan sahabat, apalagi kekasih. Namun hubungan itu yang membuat hati mereka semakin dekat. Malah boleh dikatakan, mereka berkongsi segala cerita dan rahsia. Kecuali hal yang satu itu.
*****
DI SAAT hatinya masih berbelah bahagi, Iffah mengambil wudhu', menghamparkan sejadah, dan meminta pertolongan lagi kepada Yang Maha Esa.
Jujur, dia akui, dia gadis yang biasa-biasa sahaja. Masih memilih memakai tudung segitiga daripada tudung yang berbidang enam puluh. Dalam sehari, kadang-kadang solatnya tidak terjaga. Ada masa, kerana sibuk bekerja, dia langgar semua waktu solat. Subuh dapat, Asar melepas. Apalagi mahu mengalunkan ayat Al-Quran. Lidahnya lebih senang menyanyi lagu-lagu yang mengasyikkan ketika mendengar radio.
Namun, sejak Iffah mengenali Zulkifli, semuanya berubah. Zulkifli umpama alarm untuk dirinya. Zulkifli sering mengajaknya untuk menunaikan solat jika sudah masuk waktu. Mengingatkannya untuk membaca Al-Quran selembar setiap waktu solat. Mengirimkan video ceramah agama setiap malam untuk santapan rohaninya.
Maka, jadilah dirinya yang sekarang. Dirinya yang rasa bersalah apabila melewatkan solat lima waktu. Dirinya yang rasa tidak lengkap apabila meninggalkan bacaan Al-Quran. Dirinya yang dahagakan nasihat setiap waktu.
Allahu.
"Apakah benar, Zulkifli jodoh yang Kau ciptakan buatku Tuhanku?"
Solat sunat istikharah dua rakaat ditunaikan. Memohon petunjuk Allah untuk keraguan hati yang satu. Hati yang sering dibolak balik oleh seteru manusia yang takkan pernah mengalah sehingga anak Adam dijilat api neraka.
*****
DIRINYA teresak-esak waktu itu. Sofea dan Ramzi memandangnya dengan pandangan mengejek.
Cawan yang terlepas dari tangan pecah berderai di atas lantai. Air kopi panas menyimbah ke tangan dan paha. Namun sakit waktu itu tidak terasa. Dan datanglah seorang pemuda memberikannya sehelai kain dan bertanyakan keadaan dirinya.
Pemuda itu.
Wajah pemuda itu dilihat sekali lagi. Zulkifli. Dia tidak berseorangan hari ini. Zulkifli ada di sampingnya. Air mata yang tadi mengalir laju, diganti dengan senyum yang tidak jemu-jemu.
Zulkifli membawanya ke sebuah gedung besar. Senyap. Damai. Di salah sebuah bilik di gedung besar itu, Zulkifli menghamparkan sejadah untuknya. Memberikan sepersalinan telekung dan menyuruhnya mengambil wudhu'. Zulkifli menjadi imamnya. Setelah menunaikan solat jemaah bersama, Zulkifli berpaling padanya.
"Kalau nak berubah, jangan berubah kerana saya. Tapi berubah kerana Yang Maha Esa ya," ujar Zulkifli lembut.
"Kenapa?" soal Iffah penuh tanda tanya.
"Saat Iffah berubah kerana saya, nanti satu masa jika apa-apa berlaku antara kita, tidak mustahil Iffah akan berubah semula menjadi Iffah yang dulu. Tapi percayalah, jika Iffah berubah kerana Yang Maha Esa, meskipun cerita kita berakhir dengan kesudahan yang tidak membahagiakan, Iffah akan tetap tenang dalam redhaNya."
Iffah menggangguk faham. Dan tiba-tiba Zulkifli semakin menjauh darinya. Iffah memanggil, namun Zulkifli tidak menoleh.
"Zul! Zul! Jangan tinggalkan Iffah!" laung Iffah sekuat hati hingga dia tersedar dari mimpi. Muka diraup beberapa kali.
Petunjuk apakah ini buat dirinya?
*****
BERAPA kali juga Iffah bertanya pada Zulkifli apakah alasan Zulkifli tidak membenarkan dia mencintai Zulkifli. Namun, setiap kali dia bertanya, pertanyaannya hanya dibiarkan begitu sahaja.
"Cuma, jangan jatuh cinta dengan saya Iffah," Zulkifli mengingatkan dirinya entah keberapa kalinya.
"Kenapa?" soal Iffah lagi.
"Tak boleh," ujar Zulkifli.
Cinta bukan boleh dipaksa-paksa. Bukan boleh dikatakan ya dan tidak bila-bila masa. Kadang, cinta datang pada waktu tak terduga. Pergi juga pada waktu tak terduga.
*****
GADIS yang duduk bertentangan dengannya dipandang tanpa berkedip. Gadis ini mengajaknya bersua muka, menatap empat mata.
"Saya Syifaa," ujar gadis dengan muka bujur dan berwajah seperti kacukan Arab itu. Matanya mencerlung memandang Iffah.
Iffah mengangguk. Cuba berlagak tenang walaupun hatinya sudah bagai disayat-sayat dan dihiris-hiris.
"Assalammualaikum, saya Iffah," ujar Iffah sambil menghulurkan tangan.
Huluran tangan tidak bersambut. Iffah pamer senyuman kelat. Tangan yang tadi dihulurkan ditarik kembali.
"Saya faham awak dalam dilemma dan masih mencari pasangan. Biasalah, hati perempuan ni lembut, dan sebagai manusia, normal jika kita suka benda yang baik, orang yang baik walaupun diri kita ni tak baik mana," luah Syifaa tegas seolah-olah menyindir dirinya.
Iffah senyum. Hatinya sudah seolah tahu mana arah perbincangan ini. Hal ini pasti ada kaitannya dengan Zulkifli.
"Tapi, selagi kita jaga iman kita, insyaAllah Allah akan jaga kita. Kita berubah kerana Allah, jadi baik kerana Allah, dan Allah akan bagi hidayah dalam macam-macam cara dan bentuk," ujar Syifaa lagi panjang lebar.
"Dan ingat, hidayah Allah bagi menerusi Zulkifli tu bukan lesen untuk awak bercinta dengan tunang saya. Dan ingat juga, saya tak gentar sedikit pun dengan kehadiran awak dalam kisah kami sebab awak bukan saingan saya!" ujar Syifaa dengan wajah yang merah menahan amarah. Matanya menyorot memandang Iffah dari hujung kepala hingga ke hujung kaki.
Iffah menunduk. Pipit manakan boleh terbang tinggi bersama Enggang. Belacu masakan boleh diletakkan di sebelah sutera. Syifaa meninggalkannya dengan sebuah amaran. Bidang enam puluh manakan sama dengan segitiga.
*****
"SAMPAI bila Zul nak rahsiakan dari Iffah?" soal Iffah serius.
Zulkifli terdiam lama. Rasa bersalah menghimpit jiwanya. Bukan dirinya tidak cinta pada Iffah. Bukan dirinya tidak sayang pada Iffah. Cuma, Iffah terlambat hadir dalam hidupnya. Dia sudah terlanjur cinta pada Syifaa.
"Zul tak ada niat nak buat Iffah kecewa," ujar Zulkifli rendah. Iffah tertawa sinis. Tak ada niat? Senangnya Zulkifli bercakap.
Dan Zulkifli melihat Iffah membawa diri ke gigi air. Terbayang saat pertama kali dia ditemukan dengan Iffah di Café Ria. Keadaan Iffah sama seperti waktu itu.
Iffah merenung jauh ke laut yang bergelora di hadapan. Kedengaran ombak kuat menghempas pantai seperti hatinya yang menjerit kuat memanggil nama si dia yang selama ini dipuja. Tidak disangka kisah mereka berakhir begini.
"Iffah dah cakap, jangan sorok apa-apa dari Iffah, Zul," tenggelam timbul suaranya melawan suara ombak yang menghempas pantai.
Dibiarkan ombak pantai memukul dirinya. Selayaknya dia dipukul begini. Manusia mudah lupa. Dia mudah lupa. Iffah menangis sepuas hatinya. Biarlah pantai ini menjadi saksi segala-galanya. Biarlah pantai ini membawa pergi lara hatinya yang luka parah kerana cinta.
Zulkifli tidak berani merapat. Melihat Iffah sedih dari kejauhan sudah buat hatinya terhiris luka. Apa lagi jika dia terpaksa mendengar esak tangis Iffah. Tangan meraup muka beberapa kali. Rambut yang jatuh ke dahi dikuak ke belakang.
"Zul dah cakap, jangan jatuh cinta dengan Zul, Iffah," luah Zulkifli perlahan. Ada nada kesal pada kata-katanya itu.
Mata masih memandang Iffah yang terduduk di gigi air. Kadang-kadang Iffah terlihat menekup muka dengan kedua telapak tangan. Kadang, Iffah menangis teresak-esak sambil menggenggam kuat pasir putih pantai.
Iffah menoleh ke belakang apabila merasa dirinya diperhatikan. Susuk badan Zulkifli yang tinggi dan sasa itu menyapa mata. Pandangan dikalihkan.
"Pergilah cinta. Aku redha!" jerit hati kecilnya.
*****
©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

KOLEKSI CERPENWhere stories live. Discover now