Langsir Dan Seluar Basah

2K 20 6
                                    

Tiba di balkoni, Mek Saadah membuka langsir dan pintu.

Fwoo!

Angin kencang menderu. Namun Mek Saadah buat tidak endah, meneruskan aktivitinya. Sidai pakaian. Suatu kebiasaan di rumah flat. Sudahlah tinggal di tingkat 18, bahkan lokasi flat juga berdekatan dengan Genting Highlands. Selalulah juga berpeluang merasai angin sesejuk penghawa dingin. Mek Saadah mencapai kain sarong. Kain yang terakhir.

Dan tiba-tiba...

Fwooo!

Mek Saadah segera menutup wajahnya. Bayu meniup lebih kuat dari tadi. Namun cuma seketika.

Saat itu, Mek Saadah tersedar sesuatu. Aneh. Kenapa tangannya terasa ringan?

Perlahan dia membuka mata. Eh? Mana seluar tadi?

...

Takkanlah!

Segera nenek tua itu menghalakan wajahnya ke bawah. Tampak ada sesuatu yang jatuh. Laju. Dan kemudian mendarat pada wajah seorang gadis. Tepat!

Gadis itu menjerit. Ibunya turut serta, kemudian cepat-cepat mengalihkan 'kegelapan' yang basah itu. Lantang ibu gadis itu membebel dengan nada penuh amarah. Sehingga menarik perhatian orang lain yang melalui kawasan tersebut.

Gadis itu menggeleng. Dia yang terkena, ibunya pula yang kepoh.

Tatkala gadis itu mendongak mencari tuan empunya seluar, matanya terpandang Mek Saadah.

Jelas kelihatan wajah Mek Saadah yang cuak.

Yang memandangnya itu Shahira! Anak Mak Jah, jiran sebelahnya. Segera dia menyembunyikan diri. Pintu balkoni ditutup. Langsir juga.

Melihat reaksi wanita tua itu, Shahira faham. Jadi, dialah pemilik seluar basah itu. Tetapi, mengapa sehingga begitu sekali takutnya? Sehingga perlu tutup langsir dan pintu?

Tiba-tiba, ibunya menegur. "Apa yang kamu pandang sedari tadi, Shahira?"

"Oh, tadi Shahira ternampak Mek Saadah di atas. Rasanya, ini seluar dia."

Dan wajah ibunya itu serta-merta berubah. Jelas kelihatan urat ungu di kepalanya. Seluar yang basah itu segera dirampas dari tangan anaknya, dan dihempas ke dalam tong sampah yang berdekatan.

Shahira tergamam. "Kenapa Mak buat begitu? Shahira hendak kembalikan semula seluar itu!"

"Kau jangan sesekali dekat dengan Mek Saadah!"

"Mak kenal Mek Saadah?"

"Dia itu jiran sebelah kita!"

Mata Shahira membulat. "Jiran sebelah kita? Kenapa Shahira tidak pernah nampak dia?"

"Dia memang jarang keluar. Selalu berkurung dalam rumah."

Wajah Shahira berubah bingung. "Kalau begitu, bagaimana dia hendak beli barang dapur?"

"Apa guna Poslaju?"

Sampai begitu sekali? Shahira terkesima seketika.

"Kau dengar cakap Mak baik-baik, Shahira. Jangan dekat dengan dia! Dia bekas pelacur, kau tahu? Sudahlah bekas pelacur, bekas peminum arak tegar pula! Hish, dasar orang tua parasit! Bila dia hendak mati agaknya?" Panjang Mak Jah membebel, sambil mendengus geram.

Shahira mengeluh berat. "Bekas. Mak. Dia sudah bertaubat, bukan? Tidak perlulah bercakap kasar sebegitu."

"Kau jangan banyak cakap, Shahira! Kau mahu dia jangkitkan penyakit HIV kepada kau?" Dan Mak Jah terdiam seketika, sebelum kembali kepada mod kepoh. "Ya Allah! Muka kau sudah terkena virus HIV dia! Ish! Shahira, kau balik dan pergi mandi sekarang!"

Shahira mengurut kepala yang tidak sakit. Pening melayan kerenah ibunya itu. "Mak... penyakit HIV tak boleh berjangkit. Janganlah terlalu kalut!"

"Mak tak peduli! Kau balik sekarang! Pergi mandi!"

Mak Jah melangkah pantas. Shahira mengeluh, dan mengekori ibunya dari belakang. Sambil berjalan, hatinya berdetik, 'Kalau terpaksa berdepan dengan manusia sebegini, rasanya aku pun akan lakukan perkara yang sama seperti Mek Saadah.'


CERPEN: Langsir Dan Seluar BasahWhere stories live. Discover now