Bab 1-3

784 10 0
                                    

1.

ALAN CLAY bangun di Jeddah, Arab Saudi pada 30 Mei 2010. Dia menaiki kapalterbang selama dua hari untuk sampai di situ.

Semasa di Nairobi, dia berkenalan dengan seorang perempuan. Mereka duduk bersebelahan sewaktu menunggu pelepasan penerbangan. Perempuan itu tinggi, ramping, memakai subang emas. Kulitnya merah dan suaranya mendayu-dayu seperti seorang penyanyi. Alan rasa lebih serasi dengan perempuan itu daripada kebanyakan orang dalam hidupnya, orang yang dia jumpa setiap hari. Perempuan itu kata dia tinggal di bahagian utara New York. Dan ini tidak jauh dari rumahnya di pinggiran kota Boston.

Kalaulah dia lebih berani masa itu, dia memang akan mencari jalan untuk bersama perempuan itu. Tetapi sebaliknya dia mengambil pesawat dan terbang ke Riyadh dan seterusnya ke Jeddah. Ada orang menjemputnya di lapangan terbang dan membawanya ke Hilton.

Alan mengimbaskan kad, klik, dan masuk ke biliknya di Hotel Hilton pada jam 1:12 AM. Dia segera bersiap untuk masuk tidur. Dia harus memastikan tidurnya cukup. Sebab keesokannya dia akan menempuh perjalanan satu sejam ke utara bandar itu untuk pertemuan jam 8 pagi di King Abdullah Economic City. Di situ dia dan rakan-rakan sekerjanya akan memasang sistem persidangan holografik dan menanti kedatangan Raja Abdullah sendiri. Kalau Raja Abdullah berpuas hati, baginda akan memberikan kontrak IT bandar itu kepada Reliant, dan semua masalah Alan akan selesai dengan komisen enam angka.

Jadi dia ingin badannya dalam keadaan segar. Dia ingin rasa bersedia. Tetapi entah kenapa matanya masih terbeliak selepas empat jam.

Dia teringatkan anak perempuannya, Kit, yang masih di universiti. Ia adalah sebuah universiti yang bagus dan mahal. Dia tidak mempunyai wang untuk membayar yuran pengajian anaknya untuk musim luruh. Dia tidak mampu kerana dia telah membuat banyak keputusan bodoh dalam hidupnya. Dia tidak merancang dengan teliti. Dia tidak mempunyai keberanian pada saat ia diperlukan.

Dia berfikiran singkat membuat keputusan.

Kawan-kawan sekerjanya berfikiran singkat.

Keputusannya bodoh dan mengambil jalan mudah.

Tetapi dia tidak sedar masa itu dia berfikiran singkat, bodoh, dan mengambil jalan mudah ketika membuat keputusan. Dia dan rakan-rakan sekerjanya tidak tahu keputusan mereka akan menyebabkan Alan menjadi seperti sekarang – papa kedana, hampir menganggur, dan mengendalikan firma konsultasi persendirian dari pejabat di rumahnya.

Dia telah bercerai dengan Ruby, emak Kit. Mereka berpisah lebih lama daripada mereka pernah bersama. Ruby adalah perempuan sial yang sekarang tinggal di California dan tidak pernah mengambil peduli tentang hal-ehwal kewangan Kit. Universiti adalah urusan kau, katanya. Kau kenalah belajar menjadi seorang lelaki, ujarnya.

Sekarang Kit tidak boleh mendaftar di universiti untuk musim luruh. Alan telah meletakkan rumahnya di pasaran, tetapi belum ada sesiapa yang berminat. Lain daripada itu, dia memang tidak ada jalan keluar. Dia berhutang dengan ramai orang. Antaranya adalah sepasang pereka basikal, dengan nilai berjumlah $18k, kerana mencipta prototaip basikal baru yang, dia sangka, boleh dibuat di sekitar Boston. Orang kata tindakannya bodoh. Dia juga berhutang dengan Jim Wong yang meminjamkan kepadanya $45k untuk membeli bahan mentah serta kos awal dan akhir pajakan gudang. Kemudian dia berhutang lagi $65k kepada beberapa orang kawan dan bakal rakan kongsi.

Dalam kata lain: dia miskin. Dan sewaktu dia sedar dia tidak akan mampu untuk membayar yuran Kit, dia tahu, sudah terlambat nak mencari jalan lain. Sudah terlambat nak memindahkan Kit ke tempat lain.

Bukankah ia suatu tragedi untuk seorang budak perempuan sihat seperti Kit menangguhkan satu semester di universiti? Tidak, ia bukan tragedi. Sejarah dunia yang panjang dan ruwet tidak akan perasan pun kehilangan satu semester kerana Kit budak perempuan yang pandai dan lincah. Kit akan bertahan. Ia bukan tragedi. Tidak langsung seperti tragedi.

(petikan) HOLOGRAM UNTUK RAJA - sebuah novel Dave EggersWhere stories live. Discover now