Bab 1

9.6K 145 4
                                    

Prolog

AKU memandang pasport dan tiket penerbangan di tangan dengan hati yang berbolak-balik, tidak pasti adakah keputusanku ini tepat? Terasa berat hendak meninggalkan bumi Malaysia namun tidak gamak pula hendak menolak peluang yang sudah tersedia depan mata setelah penat aku berusaha.

Ya, ini adalah keputusanku sendiri tetapi kenapa terasa bagai ada batu yang terbeban dalam hati? Kenapa terasa bagaikan kaki terikat di paksi bumi? Aduh!

Wajah mak dan ayah yang merenung, aku pandang dengan rasa sayu. Huda, Abang Ikram dan Kak Anis yang mendukung Syifa, aku renung satu per satu dengan hati yang terasa berat. Air mata terasa mengalir lebat saat tubuh kecil mak aku peluk rapat.

Dalam kekaburan mata, aku terpandang susuk tubuh itu menghampiri. Wajahnya tenang memerhati aku saat diriku didekati. Dia memandang aku dengan matanya yang redup sebelum bibirnya mengoyak sengihan yang menampakkan gigi taringnya yang manis.

Aduh, kenapa hatiku terasa bertambah sesak dan sebakku kian menggila? Kenapa dia? Kenapa mamat muka selenga?

Putih-putih melati,

Merah-merah delima,

Dalam banyak-banyak lelaki,

Kenapa mesti dia?


Bab 1

Pinggan tak retak, nasi tak dingin,

Memang aku tak hendak, memang aku tak ingin!

AKU tersengih sambil memeluk bantal pelukku erat. Wajah Lee Min Ho yang sedang asyik bertarung dengan seseorang di dalam laptop, aku tatap dengan penuh minat sambil berangan yang jejaka Korea itu sedang menyelamatkan nyawa aku. Ah, gagah perkasa sungguh jejaka berwajah jambu ini. Ahai!

Pap! Sebiji bantal melayang lalu tepat jatuh ke atas kepala aku, buatkan aku lekas menoleh sambil menggosok kepala yang masih terasa sengal.

"Woi, tak ada kerja ke ganggu orang dating?" Aku buat muka bengis kepada Hajar yang memandang dengan sengihan nakal.

"Padan muka. Ralit lagi duk tatap muka jambu Korea tu. Kau tu yang tak ada kerja, asyik-asyik layan cerita Korea, tak ada cerita lain ke nak tengok?" Hajar yang tadinya tercegat di muka pintu, menghampiri aku sebelum melabuhkan punggungnya di sisiku. Aku menegakkan badan, wajah Hajar aku tenung dengan dahi berkerut.

"Sejak bila kau kesah aku duk melayan cerita Korea ni? Selalu tak pernah ambil port pun." Aku mencebik, cerita City Hunter yang sedang ditayang di skrin laptopku, pantas aku hentikan. Mengganggu konsentrasi betullah, Cik Hajar ini!

"Aku bukan apa, sekali dua bolehlah tahan. Kalau sampai empat belas kali kau ulang tayang cerita tu sambil tersengih sorang-sorang macam tu, kau fikir aku tak risau? Kang tak pasal-pasal kawan aku sorang ni kena tahan dekat wad gila."

"Isy, mulut kau!" Aku mendengus. Bingkas aku bangun dari katil sebaik menutup skrin laptop, membiarkan laptop itu ke sleep mode. Hajar cuma ketawa sambil mengekor langkahku yang menyusup masuk ke dapur.

"Hah, macam ni kan bagus, bukannya asyik menghadap laptop saja. Buatkan untuk aku sekali, eh?" Hajar tersengih di tepiku saat aku sedang menuang susu pekat ke dalam muk, mahu membuat air kopi susu panas.

"Kau tu memang, ambil kesempatan saja, eh. Buat sendiri malas!" Aku mencebik, namun sebiji lagi muk sudah aku ambil dari rak, tidak mahu menghampakan sahabat serumahku itu.

Mamat Muka SelengaWhere stories live. Discover now